webnovel

Akhirnya, Saya Boleh Mati

Editor: EndlessFantasy Translation

Anak itu sentiasa menjadi dendam yang paling dalam dan lama di antara mereka. Bermula saat darah itu tumpah di atas katil, mereka berdua telah mendapat luka yang amat dalam. Jika luka itu disentuh, ia akan membangkitkan kembali kesakitan itu.

Dua anak, kembar. Mereka digugurkan oleh wanita yang saya cintai, dengan pilihannya sendiri.

Wajah Ou Ming berubah dingin. Kedinginan itu seakan ais dan salji di musim sejuk yang sampai ke dalam tulang.

Yu Lili tersenyum melihat riak wajah itu. Dia bersandar pada katilnya dan air matanya mengalir, tetapi ketawa keluar dari mulutnya. Ia ketawa yang aneh dan seperti hilang akal. Wajahnya penuh dengan perasaan puas kerana dapat membalas dendam, sama seperti empat tahun lalu, ketika kandungannya gugur. Sungguh kejam…

Ou Ming berdiri lalu keluar dari wad itu.

Serentak itu juga, Yu Lili terkulai lemah tanpa sebarang kekuatan. Dia bersandar pada katilnya sambil menangis.

Dia sudah pergi. Dia marahkan saya. Haha…

Yu Lili menyangka Ou Ming akan membunuhnya dan membantunya untuk bebas.

Pasti bagus. Mati di tangan lelaki itu adalah perkara yang paling membahagiakan sejak empat tahun lalu.

Tetapi lelaki itu tidak melakukannya.

Yu Lili membuka mata dan melihat selimut di tepinya. Kemudian dia turun dari katilnya dan berjalan tanpa memakai selipar. Malam musim luruh itu sangat sejuk dan membuatkannya menggeletar. Dia mencapai pintu. Hanya beberapa lampu terbuka di sepanjang koridor itu dan tiada sesiapa di situ. Dia berjalan keluar perlahan-lahan.

Yu Lili masuk ke dalam lif dan melihat tingkat tertinggi ialah tingkat 13. Selepas menekan butang tingkat tertinggi itu, dia bersandar pada dinding lif dengan tidak bermaya.

Ting!

Lif itu tiba di tingkat 13. Sebaik pintu lif terbuka, Yu Lili melihat sebuah koridor.

Selepas berjalan di sepanjang koridor itu agak lama, akhirnya dia menemui satu pintu kecemasan.

Dia memasuki pintu itu. Adakah ini akan membawa ke tingkat teratas sebenar?

Kesejukan terus terasa di segenap tubuhnya. Yu Lili menggeletar. Dia menaiki tangga ke atas dan melihat satu pintu besi yang diletakkan penghadang besi. Sebaik sahaja dia menarik penghadang besi itu, pintu itu terbuka dan angin sejuk yang kuat terus menderu masuk. Tanpa sebarang persediaan, Yu Lili dipukul angin yang kuat itu dan jatuh ke tangga.

Boom!

Pintu besi itu ditiup angin dan memukul dinding dengan kuat. Yu Lili terjatuh dan kepalanya terhantuk. Tubuhnya yang sedia lemah bertambah sakit dan dia tidak mampu untuk menaiki tangga itu kembali.

Sakitnya, sangat sakit…

Air mata terus bergenangan di matanya. Tubuhnya amat lemah dan tidak berdaya, malah amat sakit sehingga dia tidak mampu bergerak.

Kenapa begitu sukar untuk mati? Membunuh diri dengan gas tidak berjaya. Terjun ke sungai dihentikan. Sekarang saya mahu terjun dari bangunan, angin pula menghalang. Adakah kerana dosa saya yang terlalu banyak, jadi Tuhan tidak mahu saya mati dengan mudah?

Yu Lili membiarkan dirinya terbaring di lantai itu seketika sehingga dia mendapat sedikit kekuatan. Dia berusaha keras untuk bangun, namun tidak mampu berdiri. Akhirnya dia merangkak menaiki tangga itu dengan kedua-dua tangannya. Angin sejuk dari luar membuatkannya menggigil. Tiba-tiba, loceng kecemasan berbunyi tanpa sebarang amaran.

Yu Lili berasa takut. Dia dapat merasakan kakinya tidak lagi berdaya dan tubuhnya meluncur turun kembali dari tangga itu. Namun Yu Lili mengetap gigi dan merangkak naik kembali sebelum akhirnya tiba di atap hospital itu. Dia melihat beberapa pakaian pesakit dan kot doktor bergantungan pada ampaian di atap itu.

Yu Lili mencari sudut hujung atap itu dan akhirnya berasa tenang.

Bebas. Yu Lili, kamu akan bebas. Akhirnya, saya dapat mati.

Siguiente capítulo