webnovel

Kalau Kau Tak Ada Aku, Mesti Kau Tak Dapat Hidup!

Editor: EndlessFantasy Translation

Luo Zhan mengeluh. "…tak, tapi aku sedang belajar, okey?"

Lu Yihan sudah tidak sanggup melihatnya lagi. Dia menjenguk bahan yang disediakan oleh Luo Zhan.

"Ketam api, gaya Kantonis?"

Luo Zhan terkejut. "Macam mana kau tahu?"

Lu Yihan menjelingnya dan mendengus dengan riak. "Aku tukang masak terhebat! Tapi bahan-bahan yang kau pilih tak elok. Tengok, bawang ni dah buruk."

Luo Zhan mengerutkan dahinya. "…aku pertama kali beli bahan mentah. Apa kau nak?"

"Hei, seseorang yang beli barang dapur pun tak pandai nak masak?" Lu Yihan terus membelek bahan-bahan itu. "Terung perisa ikan? Sup tofu kepala ikan? Rebung dengan daging? Kepak ayam? Kau nak masak apa dengan semua ni?"

"Coca-cola…"

"Okey." Lu Yihan membasuh tangannya. "Biar aku saja yang masak."

Luo Zhan melihat Lu Yihan berjalan keluar dari dapur lalu bertanya, "Hei, kau nak pergi mana?"

"Berus gigi dan basuh muka!"

"Oh!"

Selesai mandi dan menyalin pakaian, Lu Yihan kembali ke dapur.

Ketam besar yang tadinya hidup dan bergelut sudah dibunuh oleh Luo. Sepitnya sudah dipotong dari badan, tetapi ia masih bergerak-gerak.

Lu Yihan terkedu seketika. Dia tidak mampu melihatnya lagi dan terus merampas pisau dari tangan Luo Zhan. "Tolong aku. Mula-mula basuh kepala ikan itu. Buang bahagian yang merah. Bersihkan ia betul-betul kemudian basuh dengan air.

"Okey!" Luo Zhan tunduk patuh.

Lu Yihan menguruskan ketam itu dengan penuh perhatian. Apabila selesai dengan ketam itu, dia berpaling ke belakang dan melihat Luo Zhan sudahpun mula memasak.

Bau masakan semerbak memenuhi ruang dapur itu. Luo Zhan memandang Lu Yihan sambil mengangkat keningnya. Lu Yihan meletakkan ketam ke dalam bekas dan mendekati Luo Zhan, kemudian menelan kembali pujian yang mahu diberikannya.

Periuk paling besar di dapur itu dapat mengisi dua kilogram air. Ketika ini, periuk itu penuh dengan sup ikan bersama dua keping tofu yang terapung.

"Macam mana? Hebat, kan?" Luo Zhan mengangkat keningnya dengan bangga.

Lu Yihan menampak bahu Luo Zhan lalu berkata dengan garang, "Pergi! Jangan masuk dapur aku!"

Luo Zhan terpinga-pinga dan tidak tahu apa kesalahannya. Apabila melihat Lu Yihan mengangkat periuk itu dan mencurah hampir empat perlima air di dalamnya, barulah dia tersedar. "Aku letak banyak sangat air kah?"

Lu Yihan memandangnya dengan kecewa. "Bodoh, keluar dan jangan cakap kau kenal aku!"

Luo Zhan berundur dengan diam ke sudut dapur. Sekarang dia perlu lakukan sesuatu yang lain untuk habiskan masa. Lebih kurang 40 minit kemudian, Lu Yihan selesai memasak semua lauk. Kemudian dia tersedar sesuatu dan berkata, "Aduh, aku tak masak nasi lagi!"

Sebaik mendengar kata-kata itu, mata Luo Zhan bersinar-sinar dan dia berkata dengan bangga, "Aku dah masak nasi!" Kemudian dia membuka periuk nasi. Namun…"Err, apa kata kita beli nasi di kedai makan di bawah?"

Melihat kelakuan Luo Zhan, Lu Yihan tahu sesuatu yang buruk telah berlaku lagi. Dia menghampiri periuk nasi itu dan melihat sesuatu yang langsung tidak boleh dipanggil nasi. Ia seperti bubur tanpa sup… Terlalu lembik!

Lu Yihan berasa pening. Dia berkata dengan wajah garang, "Kalau kau tak ada aku, mesti kau tak dapat hidup!" Tanpa disangka, ayat itu membuatkan jantung Luo Zhan berdegup kencang. Apa… maksud dia… dengan ayat itu?

Lu Yihan tidak menyedari perubahan pada riak wajah Luo Zhan. Dia membuang nasi lembik itu dan berkata lemah, "Aku boleh buat. Pergi rebus air!"

Luo Zhan mendengar arahan itu, tetapi wajahnya semakin kemerahan. Dia cuba menenangkan dirinya dan menjawab, "Okey!"

Lu Yihan menyedari wajah kemerahan Luo Zhan dan mendengus kecil. "Sekarang kau dah tahu kau tak berguna? Muka kau dah merah. Aku ingat kau muka tebal."

Siguiente capítulo