webnovel

Kau Layak Dapat yang Lebih Baik

Editor: EndlessFantasy Translation

Kembar! Orang-orang yang mangandungkan kembar amat bernasib baik. Namun Yu Lili membunuh mereka dengan tangannya sendiri. Sungguh kejam! 

"Dia benci aku. Dia salahkan aku sebab tak bagi dia kebebasan. Kalau aku tak terlalu mengongkong, kau rasa semuanya akan berbeza?" Suara Ou Ming tidak kedengaran marah. Dia merenung langit malam itu dengan mata coklat gelapnya dan bersuara dengan sayu, "Sicheng, aku sangat cemburukan kau."

Walaupun Li Sicheng jauh dari keluarganya selama empat tahun, semuanya berakhir dengan baik. Dia mempunyai sepasang anak kembar yang menyayanginya, isteri yang menyayanginya, ibu bapa yang menyayanginya dan seorang datuk yang sayangkannya. Sungguh bertuah…

Ou Ming mengetap bibirnya sambil merenung langit di atasnya. Seolah-olah ada satu wajah yang sedang mengejeknya di langit itu. 

"Tak. Perempuan tu memang tak tahu berterima kasih. Semakin baik kau layan dia, semakin dia mahu lari," kata Li Sicheng. "Dia tak layak berada dalam fikiran kau. Kau bukan muda lagi. Ayah kau dah desak kau untuk kahwin kan?"

Ou Ming ketawa kecil lalu menumbuk Li Sicheng. "Atuk baru saja tanya tadi. Kenapa kau pun buat aku macam ni?"

"Kalau kau jumpa orang yang sesuai, kau kahwin saja. Mungkin cinta akan datang kemudian."

"Macam kau?"

Li Sicheng tersenyum tanpa jawapan. Mana mungkin sama? Ketika dia mengahwini Su Qianci, tiada sesiapa dalam hatinya. Baginya ketika itu, semua wanita sama sahaja.

Tetapi berlainan dengan Ou Ming. Ou Ming telah menanti perempuan itu selama tujuh tahun. Mana mungkin sama dengannya? Tetapi tak dapat dinafikan cadangannya adalah yang terbaik. Wajarkah jika Ou Ming dibiarkan bujang selama-lamanya? Jika ia disebabkan seorang wanita yang layak, Li Sicheng tidak akan berkata apa-apa. Tetapi ia kerana Yu Lili…

Shu--

Tiba-tiba kedengaran bunyi letupan bunga api.

Li Sicheng dan Ou Ming mendongak serentak. Bunga api yang sangat cantik menerangi langit malam yang gelap itu. Letupannya berwarna-warni dan membentuk perkataan yang besar.

"Li?" Ou Ming menaikkan keningnya sambil membaca.

Kemudian satu lagi bunga api meletup.

Shu--bang!

"Si."

Kemudian bunga api ketiga, keempat, kelima… satu demi satu meletup di langit malam itu.

"Cheng."

"Selamat."

"Hari"

"Jadi"

"Sayang"

"Kamu"

"Selamanya"

Li Sicheng, selamat hari jadi. Sayang kamu selamanya. Sentiasa dan sampai bila-bila…

Ou Ming menyusun perkataan-perkataan itu dan sedikit bingung.

Li Sicheng terus tahu dalang di sebalik letupan bunga api itu. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Kemudian bunga api itu terus meletup lagi, setiap satunya berwarna-warni dan cantik.

Telefon bimbitnya berbunyi dan Li Sicheng segera menjawab. Nama Su Qianci terpapar pada skrin. Tetapi suara yang masuk melalui corong telefon itu bukan suara Su Qianci, tetapi anak perempuan mereka. Suara Li Jianyue comel seperti biasa. "Papa, mana Papa? Nampak tak bunga api? Cantiknya!"

"Papa nampak. Mama mana?"

Li Jianyue berkata sambil tersenyum penuh misteri, "Mama cakap tak boleh beritahu Papa. Kalau Papa dah habis berbual dengan Pak Cik Ou, Papa pergi ke kolam tepi rumah seorang diri okey!" Selepas menyampaikan pesanan itu, Li Jianyue terus memutuskan panggilan.

Li Sicheng mengangkat tubuhnya dari rumput itu dan duduk. Dengan agak keberatan, dia mengalihkan pandangannya daripada bunga api itu dan menoleh ke arah Ou Ming.

Ou Ming turut bangun dan menyapu tanah pada pakaiannya. "Isteri kau sedang tunggu? Pergilah, aku nak balik ke pejabat. Esok kita jumpa lagi."

"Ou Ming."

"Ya?"

"Kau layak dapat yang lebih baik."

Siguiente capítulo