webnovel

Dia Perosak Rumah Tangga

Editor: EndlessFantasy Translation

[Dia terlalu letih dan sudah tidur. Ini Li Sicheng.]

Ia satu balasan mesej yang ringkas dan berterus-terang.

Namun Lu Yihan merenung mesej itu buat masa yang lama dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh Li Sicheng. Wajahnya yang kebiasaannya ceria bertukar muram. Lu Yihan mendengus sinis dan menggenggam erat telefon bimbitnya. Hatinya terasa amat pedih dan hancur. 

Semua emosi yang menyelubunginya seakan bertukar kepada satu kekuatan yang membuatkan dia membaling telefon bimbitnya ke pintu. Pintu kayu yang kukuh itu terus tercalar manakala telefon itu jatuh dan berkecai di atas lantai.

Lu Yihan bangun dan masuk ke bilik kerjanya untuk mengambil barang berharga yang telah dikumpulnya sejak sekian lama. Baijie, wiski dan wain merah kesemuanya dibawa keluar. Selepas meminum segelas Baijiu, dia merasakan kepanasan menjalar terus ke dalam tengkuknya. Namun dia tidak berasa lebih baik, sebaliknya semakin teruk. Dia tidak pasti ia disebabkan oleh kesan alkohol itu atau perkara lain, tetapi matanya mula terasa panas membahang dan kabur.

Li Sicheng!

Selepas meneguk beberapa gelas lagi, Lu Yihan mula sedikit mabuk dan merasakan matanya semakin sakit. Su Qianci sudah bersetuju dengan lamarannya. Jika dia mempunyai sedikit masa lagi, dia pasti dapat membawa pulang Su Qianci dan mengumumkan wanita itu adalah miliknya.

Tetapi kenapa… kenapa Li Sicheng perlu kembali pada saat-saat ini? Kenapa? Li Sicheng sudah menghilangkan diri dan dianggap mati selama bertahun-tahun. Bukankah lebih baik jika Li Sicheng mati sahaja di mana-mana? Kenapa lelaki itu harus kembali dan merampas satu-satunya kebahagiannya?

Jika dia diberikan beberapa hari sahaja lagi… Semakin dia memikirkannya, Lu Yihan merasakan dirinya semakin mengarut. Kepalanya menunduk ke atas meja sambil tangannya memegang gelas dan dia ketawa sinis. Titisan air hangat mula jatuh dari matanya ketika hatinya terasa amat pedih seakan disimbah asid. Matanya yang basah segera membuatkan pandangannya menjadi kabur. 

Li Sicheng sudah kembali dan Su Qianci amat bahagia. Gambar di Weibo itu, keluarga lima ahli. Mereka kelihatan amat bahagian bersama. Senyuman Su Qianci amat lebar dengan wajahnya bersinar dengan kebahagiaan. Senyuman itu amat cantik dan memukau.

Empat tahun lalu sebelum Li Sicheng menghilangkan diri, Su Qianci juga tersenyum seperti itu. Hanya Li Sicheng yang boleh membuatkan Su Qianci tersenyum selebar itu. Bagaimana dengan dirinya. Lu Yihan merenung dinding putih di hadapannya dan mengetawakan dirinya sendiri. "Bodoh!" Dia melempar gelas yang dipegangnya lalu membuka penutup wain yang lain sebelum meneguk terus dari botol wain itu.

Wain itu diteguk dengan rakus sehingga tertumpah ke hidungnya. Lu Yihan terbatuk dengan kuat sehingga matanya berair. Kesakitan yang dirasakan pada kepala dan matanya tidak sebanding dengan kepedihan hatinya. Akhirnya dia membenamkan wajahnya di atas meja sambil menangis teresak-esak.

Seperti yang dikatakan Luo Zhan, perosak rumah tangga orang tidak akan pernah mendapat pengakhiran yang bahagia. Malah perosak rumah tangga lelaki lebih teruk daripada perosak rumah tangga perempuan. Dia mahu merampas wanita itu, tetapi Qianqian ialah seorang wanita setia yang telah mendapat puteranya kembali. Sejak dahulu sehingga sekarang, Lu Yihan tidak pernah dapat meletakkan dirinya di antara mereka.

Banyak fakta telah membuktikan dia hanyalah seorang yang boleh diketawakan. Lu Yihan menyangka dia seorang lelaki setia kerana menanti seorang wanita selama lebih dari 10 tahun, tetapi sebenarnya itu hanyalah bahan ketawa bagi orang lain.

Siguiente capítulo