webnovel

Orang Ini Tak Mahukan Mama

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci memuncungkan bibirnya dan tidak berkata apa-apa. Dia hanya menggenggam tangan suaminya itu sambil sedikit teresak.

"Bila ayah kamu balik, Atuk akan suruh dia rotan kamu. Geramnya aku!" Kapten Li meletakkan rotannya ke tepi dengan wajah yang marah.

Liu Sao juga sudah lama tidak melihat Li Sicheng. Matanya kemerahan dan dia berkata, "Okey, yang penting sekarang tulang belakang kamu. Rehat dulu Atuk." Kapten Li mendengus dan berjalan ke sofa dengan tongkatnya.

Akhirnya selesai juga. Su Qianci menarik nafas lega kemudian menoleh ke arah dua budak lelaki yang berdiri di situ. Dia memanggil Li Jianqian. "Dasu, mari sini."

Li Jianqian mendengar panggilan itu tetapi tidak bergerak. Dia hanya merenung lelaki tinggi di sebelah ibunya itu. Li Sicheng turut memandang anak lelakinya itu dengan pandangan yang mendalam. Selepas merenung satu sama lain selama beberapa minit, Li Jianqian bersuara dengan nada yang tidak mesra, "Kamu ayah saya?"

Li Sicheng menaikkan keningnya sedikit apabila mendengar nada budak lelaki itu dan bertanya, "Kamu rasa?"

Ya, tidak syak lagi. Sejak pasangan kembar itu lahir, Su Qianci sentiasa menunjukkan gambar-gambar Li Sicheng kepada mereka dan memberitahu mereka: Ini Papa, ini ayah kamu. Tambahan pula, wajah lelaki tinggi itu amat sama dengannya. Li Jianqian tahu dia memang mirip dengan ayahnya. Setiap kali bertemu orang-orang tua, mereka akan berkata: 'Ini memang anak Sicheng, wajahnya amat mirip dengan ayahnya.'

Setiap kali mendengarnya, Li Jianqian akan menerimanya dengan sopan. Tetapi hakikatnya hanya dia tahu yang dia tidak mahu mirip dengan lelaki itu.

Su Qianci juga akan sentiasa mengingatkan mereka yang Papa belum mati dan akan balik tidak lama lagi. Semua orang menyangka ibunya itu menghidapi sakit mental, tetapi Li Jianqian tahu ia tidak benar. Dia pernah terdengar perbualan pak ciknya Li Jinnan dan ibunya. Mereka telah mencari lelaki itu sejak sekian lama. Walaupun pada awalnya tidak menemui apa-apa petunjuk, mereka tetap yakin ayahnya itu masih hidup.

Bukan itu sahaja, Li Jianqian turut terdengar perbualan di antara Mama bersama atuk dan neneknya. Dia sememangnya tahu ayahnya masih hidup.

Tetapi kenapa kamu tidak kembali selama bertahun-tahun?

Li Jianqian tidak faham. Jika lelaki di hadapannya ini benar-benar mencintai isterinya seperti yang dikatakan oleh semua orang, kenapa dia tidak kembali? Li Jianqian bertambah tidak gembira apabila mendengar jawapan Li Sicheng. Dia terus merenung lelaki itu tanpa berkata apa-apa.

Su Qianci menyedari perlakuan pelik anaknya dan menghampiri Li Jianqian. "Panggil dia Papa."

Wajah kecil Li Jianqian terus berkerut. Matanya masih merenung Li Sicheng dan dia berkata, "Tak mahu!" Kemudian dia berpaling dan menarik tangan Li Mosen. "Mosen, jom masuk ke dalam dan buat kerja rumah."

"Li Dasu!" Su Qianci berasa agak marah. Dia menarik tangan anak lelakinya itu dan berkata, "Kamu tak oleh berperangai begini. Itu Papa kamu!"

"Bukan!" Li Jianqian berpaling ke arah Su Qianci dengan wajah yang kelihatan berang. "Mama, saya selalu sangka Pak Cik Lu yang akan jadi ayah kami. Orang ini tak mahukan Mama. Kenapa Mama nak saya panggil dia Papa?"

Kata-kata Li Jianqian memeranjatkan semua yang berada di situ termasuk Su Qianci. Li Jianqian menarik tangannya dari Su Qianci lalu berlari ke dalam bilik. Su Qianci teringat kejadian di taman tema di mana dia melutut di atas tanah sambil menangis dan berkata kepada Lu Yihan: 'Dia tak mahukan saya.'

Siguiente capítulo