webnovel

Rong Xuan, Kau Terlalu Murah

Editor: EndlessFantasy Translation

Tidak syak lagi susuk tubuh itu ialah Rong Anna. Rong Haiyue terus memerhatikan gadis itu dengan sedikit kekecewaan pada matanya yang tajam. Dia teringat sesuatu yang pernah diperkatakan Li Sicheng kepadanya: Rong Anna dan Bo Xiao berkemungkinan besar adalah orang yang cuba menembak Su Qianci beberapa bulan lalu.

Disebabkan mereka takut Su Qianci dapat mengecam mereka, mereka memilih untuk membunuhnya di ibu kota? Sekarang… adakah mereka datang ke sini untuk cuba membunuh Su Qianci sekali lagi? Rong Haiyue melihat Rong Anna berjalan ke sebuah kereta hitam. Gadis itu membuka pintu dan masuk. Kereta itu terus bergerak ke jalan raya.

Rong Haiyue bergegas menahan teksi. "Kejar kereta hitam di depan." Rong Xuan segera mengikutinya. Rong Haiyue baru teringat isterinya masih ada bersamanya. Rong Xuan hanya melihat dengan tenang wajah Rong Haiyue yang jelas terkejut dan mengikuti lelaki itu masuk ke dalam teksi. Teksi itu segera mengejar kereta hitam dari jarak yang agak jauh mengikut permintaan Rong Haiyue.

Setelah beberapa minit, kereta hitam itu keluar dari kawasan bandar. Rong Haiyue menyuruh pemandu teksi untuk memperlahankan kereta supaya mereka tidak tertangkap. Selepas kira-kira lima hingga enam minit, mereka menjumpai kereta hitam itu yang telah diparkir. Selepas membayar tambang, Rong Haiyue melihat sekeliling dan mendapati mereka berada di subbandar. Terdapat sebuah gudang terbiar berhampiran mereka. Kelihatan pelbagai jenis besi buruk menimbun setinggi bukit. Gasolin dan mesin yang bercampur-baur menghasilkan bau yang amat tidak menyenangkan di sekitar tempat itu.

Rong Haiyue melihat ke arah gudang itu dan ternampak satu cahaya yang samar-samar. Rong Xuan tidak pernah melalui situasi seperti ini. Melihat riak wajah Rong Haiyue yang penuh waspada, dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya, "Apa kamu buat ni?" Mata tajam Rong Haiyue seakan ternampak sesuatu. Dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Rong Xuan dan berkata, "Kalau Li Sicheng telefon, beritahu dia saya sibuk dan mungkin tak dapat datang. Satu lagi, kamu jangan masuk, sebab kemungkinan ini tempat kumpulan penjenayah. Anak angkat kita, Rong Anna dan Bo Xiao mungkin sebahagian daripada mereka."

Rong Xuan yang terkejut memandang Rong Haiyue sambil menutup mulutnya dengan tangan.

"Telefon polis dulu dan jangan sesekali masuk. Saya akan masuk dan tengok apa yang sedang berlaku."

Rong Xuan mengangguk. "Okey." Ketika Rong Haiyue berpaling dan bersedia untuk masuk, dia memanggil, "Rong Haiyue."

"Ya?" Rong Haiyue berpaling kembali ke arah Rong Xuan dan bertanya, "Kenapa?"

Rong Xuan memandang lelaki itu buat seketika sebelum berkata perlahan, "Hati-hati."

Rong Haiyue sedikit kebingungan. Hatinya yang menyepi selama beberapa bulan terus bergelojak kembali.

Rong Xuan berundur selangkah. Riak wajahnya tidak jelas di dalam kegelapan itu. Dia berbisik, "Kamu tak nak masuk?"

Rong Haiyue tersenyum. Dia mengangguk sebelum berpaling dan terus masuk ke dalam gudang itu.

Jantung Rong Xuan berdegup laju. Nampaknya dia sudah tidak begitu membenci lelaki itu. Bermula daripada tamparan itu, kemudian ketika lelaki itu hampir membunuhnya… Rong Xuan tersenyum seakan mengejek dirinya sendiri. Di dalam kegelapan itu, dia berkata perlahan kepada dirinya sendiri, "Rong Xuan, kau terlalu murah."

*****

Su Qianci yang dirantai terus menangis dengan kuat, tetapi tiada sesiapa bergerak.

Malah disebabkan tangisan hibanya itu, orang-orang di situ ketawa semakin kuat.

Lelaki yang memukul Li Sicheng akhirnya mencampakkan paip besi itu ke tepi dan tersenyum gembira. "Li Sicheng yang mampu lakukan apa-apa sahaja di Kingstown telah dipukul oleh aku bagai anjing yang hampir mati. Hahaha. Seronoknya!"

Siguiente capítulo