webnovel

Abang Sicheng, Kamu Tiba Akhirnya

Editor: EndlessFantasy Translation

"Baik," jawab pemandu itu lalu terus membuat pusingan U secara tiba-tiba. Beberapa orang pejalan kaki di sisi jalan bertempiaran lari ketakutan. Polis trafik yang berada di situ meniup wisel berkali-kali.

Li Jinnan cuba mengejar mereka, tetapi polis trafik itu bergegas ke arah keretanya dan melambai. Polis itu terus meniup wisel dengan pandangan penuh amaran pada wajahnya. Li Jinnan menekan brek dan melihat kereta di hadapan mereka telah jauh. Tang Zhenghao berpaling ke belakang dan melambai sambil ketawa dengan wajah kemenangan.

"Bodoh!" Li Jinnan menghentak stereng dengan marah.

Dia tidak menghiraukan polis trafik yang memukul-mukul tingkap, sebaliknya mengeluarkan telefon dan menghubungi Li Sicheng. "Abang, Su Qianci diculik. Cepat balik!" Selepas memberitahu lokasi dan permintaan Tang Zhenghao, Li Jinnan dipaksa polis trafik itu untuk keluar dari keretanya.

*****

Li Sicheng berlari keluar dari Villa itu tanpa menghiraukan panggilan Ou Ming. Selepas mengarahkan De keluar dari kereta, dia terus memandu dengan kelajuan maksima terus ke gudang terbiar yang dikatakan. Matahari sudah hampir terbenam sepenuhnya ketika dia tiba. Di hadapan gudang itu, seorang lelaki berdiri sambil menghisap rokok. Sebaik melihat Li Sicheng tiba, dia bersiul. "Li Sicheng dah tiba. Keretanya pun segah tuannya."

"Mana isteri aku?!"

"Kenapa terburu-buru? Dia ada di dalam. Jangan bimbang, isteri kau dan kandungan dia masih selamat. Mari, budak baik, mari masuk bersama aku." Lelaki itu melambaikan tangan ke arah Li Sicheng sambil bersiul dan mengusik. Dia sengaja berkelakuan seolah-olah sedang bermain dengan anak anjing!

Li Sicheng menggenggam penumbuk. Wajah dinginnya menjadi semakin tegang.

Lelaki itu ketawa. "Hei, budak baik! Nah tulang untuk kau." Dia melemparkan satu bekas makanan kepada Li Sicheng. Seketul tulang yang tebal bersama beberapa butir nasi melekat padanya tergolek keluar dari bekas itu. Li Sicheng merenung tajam lelaki itu dengan matanya yang dingin. Lelaki itu berasa sedikit seram sejuk, tetapi masih berlagak angkuh. "Kau tengok apa?"

"Mana dia?" ulang Li Sicheng dengan suara yang sedingin ais.

"Ayayai, takutnya. Aku pasti akan sangka kau sedang berada di pejabat kau kalau aku tak tahu." Tang Zhenghao berjalan keluar. Tubuhnya kelihatan gempal. Dia tersenyum sinis kepada Li Sicheng lalu menghembus asap rokoknya dan berkata, "Kenapa? Presiden syarikat terhebat kita tak biasa dilayan seperti anak anjing?"

Di belakang Tang Zhenghao, Tang Mengying turut berjalan keluar. Wanita itu memakai baju kulit berwarna hitam yang ketat. Rambutnya berombak dan dia memakai solekan yang cantik sehingga menyerlahkan lagi wajahnya yang menarik. Bibir merahnya kelihatan amat menonjol.

"Abang Sicheng, kamu datang akhirnya. Saya sangat rindukan kamu," kata Tang Mengying sambil tersenyum. Walau bagaimanapun, dia tidak lagi kelihatan obses seperti biasa. Apa yang tinggal pada wajahnya hanyalah kedinginan. "Kamu datang cari saya, bukan?"

Li Sicheng memandangnya dengan mata yang dikecilkan dan tidak berkata apa-apa. Bahaya dan ugutan jelas kelihatan di dalam matanya.

Jelas, kemarahan Li Sicheng sedang meluap-luap.

Tang Mengying tersenyum dan menepuk tangannya sekali. Kemudian Li Sicheng mendengar bunyi tapak kaki beberapa orang.

Rambut Su Qianci ditarik oleh seorang lelaki manakala tangannya diikat ke belakang. Sebaik melihat Li Sicheng, air mata terus bertakung di dalam matanya.

Siguiente capítulo