webnovel

Dia Menunggu Kamu Sepanjang Malam

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng terdiam. Betul, ini memang bukan strategi yang sempurna. Tapi apa lagi yang boleh dilakukan untuk melindungi keluarganya? Sekarang dia sudah yakin mereka yang mahu membunuh Su Qianci sewaktu mereka di ibu kota tempoh hari adalah mereka yang dijumpainya hari ini. Malah dia turut merasakan seperti pernah mendengar suara wanita itu. Tetapi kenapa dia tidak dapat memikirkan siapa orangnya? Berkemungkinan besar mereka cuba membunuh isterinya kerana Su Qianci pernah melihat dan mengingati wajah mereka. Mereka merasakan Su Qianci seperti satu risiko, jadi…

Tetapi siapa mereka? Ibu kota… Kingstown… Tiba-tiba Li Sicheng teringat seseorang. Dia mengeluarkan telefonnya dan terus menghubungi Rong Haiyue.

Selepas berdering seketika, panggilan itu dijawab. Kedengaran bunyi jeritan memberi arahan dan juga bunyi tentera berkawad. "Li Sicheng?" Suara Rong Haiyue kedengaran terkejut. 

"Ya, Encik Rong."

Mata Rong Haiyue mengecil mendengar jawapan itu, tetapi dia mula ketawa. "Ada apa kamu telefon saya?"

"Kamu ada di ibu kota?"

"Ya, saya sedang perhatikan tentera baru berlatih."

"Maaf bertanya, di mana anak kamu sekarang?"

"Bukankah dia dengan kamu?" Rong Haiyue terus menjawab sebelum tiba-tiba tersedar. "Maksud kamu Anna?"

"Ya."

"Dia buat kunjungan ke UK beberapa hari lepas bersama Bo Xiao. Mereka akan balik dalam satu minggu kemudian."

"Kunjungan?"

"Ya, dia dan Bo Xiao belajar muzik. Mereka berdua ada bentukkan satu kumpulan yang dah agak terkenal. Lihatlah, mereka buat kunjungan lagi."

"Bila mereka bertolak?"

"Dua hari lepas, dalam jam lima atau enam. Kenapa kamu tanya?"

"Ingat apa yang berlaku di hotel waktu kami di ibu kota tempoh hari?"

Mana mungkin saya lupa? Mata helang Rong Haiyue berubah tajam. Dia bertanya, "Kamu curigai Anna?"

"Masih dalam siasatan, tapi ada kemungkinan."

"Mustahil, dia tak ada…" Pada asalnya Rong Haiyue mahu mengatakan Rong Anna tiada motif untuk melakukannya. Tetapi gadis itu adalah anak yang dibesarkannya, jadi dia amat mengenali Rong Anna. Jika Rong Anna tahu Su Qianci adalah anak kandungnya, gadis itu mungkin akan berdendam. Tetapi tidak mungkin perasaan dendam itu akan menyebabkannya mahu membunuh.

Rong Haiyue memikirkannya seketika sebelum berkata, "Dia tak tahu Qianqian anak kandung saya. Saya belum beritahu dia."

"Bukan disebabkan itu saja," Li Sicheng berkata, tetapi dia belum bersedia untuk menjelaskannya. "Sekarang saya tak ada bukti, tapi demi keselamatan Qianci, saya harap kamu boleh simpan perkara ini sebagai rahsia. Jangan beritahu Rong Anna saya mencurigai dia."

"Dah tentu. Minggu depan saya akan pergi ke Kingstown supaya kita boleh bercakap tentang perkara ini secara berhadapan."

"Boleh. Jumpa nanti."

"Baik."

Sebaik panggilan itu tamat, Li Sicheng teringat tentang Bo Xiao yang dijumpainya di hadapan rumah keluarga Rong. Lelaki itu mempunyai ketinggian yang sama… Walaupun gaya pakaiannya tidak sama dengan penjahat itu, tetapi bentuk tubuhnya… Lagipun Su Qianci hanya memandang lelaki itu seketika sebelum diserang pada tengah hari itu. Terdapat pelbagai perkara yang jelas tidak berkaitan, tetapi apabila digabung, ia menjadi amat jelas. Kecurigaan Li Sicheng terhadap Rong Anna dan Bo Xiao semakin menebal, tetapi bagaimana dengan bukti? Tanpa bukti, semuanya seolah-olah hanya percakapan kosong.

Renungan Li Jinnan ke arah Li Sicheng menjadi semakin dalam. Kini wajahnya bertukar kejam.

Dia berasa susah hati dan berkata, "Abang, kamu pasti tak nak pujuk isteri kamu? Dia tunggu kamu sepanjang malam dan pagi tadi."

Siguiente capítulo