webnovel

Dijual oleh Ibu Bapanya

Editor: EndlessFantasy Translation

"Dia ibu aku, bukan ibu kau! Berambus!" Cheng You tidak pernah tahu panas barannya sangat teruk. Rong Rui tetap bersikap baik walaupun dihalau beberapa kali. Apabila lelaki itu akhirnya pergi, Cheng You melemparkan kotnya ke dalam tong sampah. Kemudian dia terus menekan loceng pintu rumahnya beberapa kali. Setelah beberapa minit menekannya tanpa henti, masih tiada langsung tanda-tanda sesiapa akan membuka pintu. Suhu di sekelilingnya sudah menjadi semakin sejuk.

Cheng You mula terketar menahan kesejukan. Pandangan terarah kepada kot di dalam tong sampah. Tong itu masih baru. Tiada sebarang sampah di dalamnya kerana ia baru sahaja disalin. Ketika dia sedang berkira-kira untuk mengambil kot itu, jirannya membuka pintu. Jiran itu memegang dua plastik sampah dan terus membuangnya ke dalam tong sampah itu. Dia sempat memandang Cheng You dengan pandangan pelik sebelum kembali masuk ke dalam rumahnya.

Cheng You berasa seperti mahu menangis ketika dia menyedari dia telah menyeksa dirinya sendiri! Dia berpaling ke pintu dan kembali membunyikan loceng itu sambil tubuhnya bergetar kesejukan. Dia menjerit dengan suara serak, "Mak, Mak yang baik hati, tolonglah ada belas kasihan dan buka pintu untuk anak kamu ini!"

Tiada balasan.

Cheng You terus menjerit, "Ayah, Ayah yang baik. Saya anak kamu. Ayah nak buang saya juga?"

Ayah Cheng You berasa sangat sedih dan hampir bangun untuk membuka pintu. Walau bagaimanapun, dia duduk kembali selepas isterinya merenungnya dengan pandangan amaran.

"Saya bukan darah daging kamukah? Kenapa buat saya macam ni? Saya akan mati kesejukan!"

Masih tiada jawapan.

Hidungnya mula menjadi merah dan berair. Dia berjalan ke arah tangga dan duduk di situ sambil merenung pintu rumahnya. Selepas memerhatikannya selama beberapa minit, pintu itu masih tidak terbuka. "Teruk betul!!" Dia terus berdiri dan turun dengan perasaan jengkel.

Berdekatan flat itu terdapat sebuah kedai yang beroperasi 24 jam. Cheng You memesan secawan kopi. Ketika dia mengeluarkan telefon bimbitnya untuk membayar, dia menyedari bateri telefonnya hanya tinggal 1%.

Matanya terbeliak dan dia terus menjerit, "Cepat, dah nak mati!"

Pelayan itu segera mengambil pengimbas, tetapi sudah terlambat.

"Tak guna!" Cheng You berasa seperti hampir gila. Dia menghempaskan telefonnya ke atas kaunter dan membuatkan pelayan itu berasa takut.

"Berapa harga kopi itu?" Satu suaradalam dan tenang kedengaran dan membuatkan Cheng You terus berpaling. Dah tentulah dia!

"Oh, Encik tanya tentang kopi gadis ini?"

"Ya."

"16."

Rong Rui menghulurkan wang dan menyedari Cheng You merenungnya tajam. Dia melihat pakaian Cheng You dengan senyuman kecil. "Mana kot yang saya beri?"

"Saya dah buang!" Cheng You mengambil kopi dan telefonnya lalu mencari tempat yang hangat dan duduk. "Nanti saya bayar balik duit kopi ini. Duit kot kamu juga, berapa harganya?" tanya Cheng You dengan nada marah.

Rong Rui tidak menjawab, tetapi menanggalkan skarf yang dililit pada lehernya. Skarf itu dilebarkan menjadi seperti selendang. Cheng You terkebil-kebil melihat perbuatannya. Kemudian Rong Rui meletakkan skarf itu pada tubuh Cheng You dengan agak berhati-hati.

Cheng You tidak membantah dan membiarkan sahaja skarf itu dipakaikan kepadanya. Sungguh hangat! Skarf itu mempunyai bau minyak wangi Rong Rui. Cheng You menghirup kopinya sambil tunduk dan berkata, "Saya akan bayar balik. Berapa?"

"Kamu mampukah?" Rong Rui memandang Cheng You dengan wajah yang sedikit kecewa. "Jika semua benda boleh dibayar dengan wang, tak akan ada banyak ketidak puasan hati dalam dunia ini, Cik Cheng."

Siguiente capítulo