webnovel

Syukurlah Dia Selamat

Editor: EndlessFantasy Translation

Syukurlah dia tidak terjun. Syukurlah isterinya selamat.

Su Qianci menyandarkan kepalanya ke dada Li Sicheng dan berkata, "Kamu boleh kahwin lagi."

"Kalau saya mati, kamu akan kahwin lagikah?"

Su Qianci terdiam. Dia akan berkahwin lagikah? Tidak.

Jika suaminya itu mati sebelum dia, dia mungkin akan turut mati bersamanya. Hati Su Qianci bergetar. Dia memeluk lengan Li Sicheng dengan erat. Dia telah mencintai lelaki itu sepanjang dua kehidupannya. Walau bagaimanapun, Li Sicheng tidak pernah mengucapkan kata cinta kepadanya. Adakah lelaki ini mempunyai perasaan yang sama dengannya? Adakah Li Sicheng telah mencintainya kembali? 

Su Qianci terus menangis tersedu-sedu. Kemudian dia berkata, "Dah tentu. Buat apa saya bersama kamu lagi jika kamu dah mati? Jijiklah duduk bersama mayat." Sebaik mengatakannya, Su Qianci merasakan hatinya seolah-olah disengat jutaan lebah. Dia berkata begitu supaya Li Sicheng akan berkahwin lagi apabila dia mati.

Jangan menunggu orang mati… Ia tidak berbaloi…

Walau bagaimanapun, Li Sicheng memeluknya semakin erat seakan mahu menarik Su Qianci ke dalam tubuhnya. "Saya tak percaya. Kamu tak akan buat begitu."

"Saya akan buat."

"Kamu tak akan." Walaupun suara Li Sicheng perlahan, kata-katanya kedengaran tegas.

Su Qianci terdiam. Dia memicit-micit kolar baju Li Sicheng sambil merenung dada suaminya walaupun tidak nampak apa-apa di dalam kegelapan bilik itu. Selepas seketika, dia berkata dengan suara perlahan, "Tak ada apa yang lebih penting daripada diri kita sendiri."

"Kamu penting," kata Li Sicheng dari atas kepala Su Qianci. "Kamu lebih penting daripada diri saya sendiri." Suaranya kedengaran teramat indah di dalam bilik yang sunyi itu.

Su Qianci tunduk dan kembali menangis. Dia tidak dapat menenangkan dirinya sepanjang malam itu.

Su Qianci ditahan di hospital selama tiga hari. Selepas memastikan demamnya sudah sembuh, doktor membenarkannya pulang. Sebelum meninggalkan hospital, Su Qianci pergi ke bilik Rong Haiyue untuk mengucapkan selamat tinggal. Lelaki itu juga sedang bersiap untuk meninggalkan hospital. Dia memakai pakaian biasa dan sedang memegang sebuah beg. Su Qianci tidak melihat isterinya di mana-mana.

Apabila Su Qianci bertanya di mana isterinya, wajah Rong Haiyue kelihatan muram. "Dia sibuk, jadi dia dah balik ke ibu kota."

Su Qianci mencemuh dalam hatinya. Li Sicheng juga teramat sibuk, tetapi masih meluangkan masa menjaganya sepanjang dia di hospital. Walau bagaimanapun, Su Qianci tidak berkata apa-apa dan mendaftar keluar bersama-sama Rong Haiyue. Li Sicheng menawarkan untuk menghantarnya ke lapangan terbang dan Rong Haiyue bersetuju.

Sebaik keluar dari bangunan hospital itu, Su Qianci mencari kereta Maybach Li Sicheng. Namun kereta itu tidak kelihatan di mana-mana. Sebaliknya sebuah kereta sport diparkir di hadapan hospital itu dan kelihatan seperti sedang menunggu seseorang. "Yang belum sampai?" Su Qianci berpaling ke belakang dan memandang Li Sicheng.

Li Sicheng menunjuk ke arah Bugatti itu. "Dah."

Su Qianci memandangnya dengan tidak percaya. "Kamu beli kereta baru? Bukankah kamu tak suka kereta sport? Kenapa beli kereta ini?"

"Saja nak rasa kelainan."

Yang keluar dari kereta itu dan membuka pintu untuk mereka. Mendengar kata-kata Li Sicheng, dia mencebik dalam hatinya. Li Sicheng memang tidak akan mengaku! Hakikatnya Maybach itu telah terbabit dalam kemalangan dan bosnya itu merasakan kereta itu terlalu perlahan. Sekarang dia bukan sahaja memiliki kereta sport, malah sebuah supercar. Li Sicheng juga telah menambah dua lagi tempat duduk. Yang tidak faham bagaimana orang kaya berfikir. Walau bagaimanapun, dia tidak berkata apa-apa.

Siguiente capítulo