webnovel

Tolong Tamparkan

Editor: EndlessFantasy Translation

Tang Mengying membawa beg tangan dan sebakul buah-buahan di tangannya. Ketika dia berjalan masuk, Nenek Rong memandangnya dengan pandangan pelik. "Apa kamu buat dekat sini?" Nenek Rong tidak pernah melayan Tang Mengying dengan baik. Malah sebelum tragedi ini juga dia tidak pernah menyukai perempuan itu.

Tang Mengying tidak mengendahkan nada suara tidak mesra Nenek Rong dan berkata kepada Su Qianci, "Su Qianci, saya dengar kamu tak sihat, jadi saya datang lawat kamu."

Su Qianci tersenyum sinis dan berkata dingin, "Kamu dah tengok saya, kan? Jadi kamu boleh pergi."

Tidak mungkin Tang Mengying akan pergi secepat itu. Dia jelas tidak datang untuk melawat Su Qianci, tetapi apabila melihat wajah pucat wanita itu, dia tidak dapat mengelak daripada berasa gembira. Tang Mengying mengeluarkan satu buku daripada beg tangannya dan berkata dengan riak bersalah yang dibuat-buat, "Su Qianci, saya tahu ia tak adil bagi kamu, tapi saya dan Abang Sicheng memang ada hubungan. Dia kata dia akan bagi nama yang cantik kepada anak kami. Setiap hari saya dapat rasakan dalam perut saya yang anak ini sedang menunggu untuk bertemu ayahnya. Saya yakin Mak Cik dah tunjukkan keputusan ujian itu kepada kamu. Saya harap kamu boleh…"

"Boleh apa?" Su Qianci memandang Tang Mengying dengan dingin. "Boleh pergi dan biarkan kamu dan Li Sicheng bahagia?"

Tang Mengying terdiam tetapi riak wajahnya jelas menunjukkan segalanya. Su Qianci tiba-tiba berasa kagum. Tang Mengying yang merupakan perempuan simpanan, tetapi kenapa dia sedang memaksa Su Qianci, isteri Li Sicheng untuk pergi?

"Saya nak tengok Atuk." Su Qianci memandang Tang Mengying. "Boleh kamu bantu saya pergi ke sana?"

Tang Mengying berasa gembira kerana tidak menyangka Su Qianci akan meminta bantuannya. Bagus, lagipun dia tidak mahu menyimpan anak sial ini di dalam perutnya… Jika dia dapat menyalahkan Su Qianci atas kegugurannya, hidup Su Qianci akan hancur! Tang Mengying tersenyum dan mahu berkata sesuatu ketika Su Qianci berkata, "Kita patut berbincang dengan Atuk dan Ayah tentang hal ini." Dia menjeling perut Tang Mengying dan menyambung, "Lagipun kamu mengandungkan anak Li Sicheng, dia pasti akan layan kamu dengan baik."

Tang Mengying terpengaruh dengan kata-kata itu. Baik, sekarang semua orang percaya dia sedang mengandungkan anak Li Sicheng. Walaupun Abang Sicheng tidak mengakuinya, tetapi Su Qianci juga turut mempercayainya. Apa kata jika dia tunggu sehingga dia menjadi isteri Li Sicheng kemudian baru gugurkan kandungan ini? Tang Mengying mengangguk dan menghampiri Su Qianci untuk membantunya berdiri.

Nenek Rong yang berasa risau melihat situasi itu berkata, "Puan, biar saya yang bawa Puan…"

"Tak apa. Tang Mengying kawan baik saya dan dia tak akan apa-apakan saya." Kemudian dia menoleh ke arah Tang Mengying dan tersenyum lembut. "Kan?"

Tang Mengying semakin berasa pelik. Walau bagaimanapun, sebaik melihat senyuman Su Qianci, dia berasa lega dan mengangguk. "Dah tentu, kita patut saling bantu-membantu. Jom pergi." Dia membantu Su Qianci berjalan keluar.

Koridor hospital itu sesak dengan pesakit dan jururawat. Sebaik mereka keluar dari bilik itu, Su Qianci melepaskan tangan Tang Mengying dan memanggil. "Tang Mengying."

Tang Mengying yang sedang senang hati menjawab, "Ya?"

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja dia menjawab, satu tangan menarik rambutnya dan wajahnya ditampar dengan sangat kuat.

Pang!

Bunyi yang kuat itu menarik perhatian semua orang.

"Kau tak kisah dengan muka kau, jadi aku tolong tamparkannya untuk kau!"

Siguiente capítulo