webnovel

Seperti Pencuri

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci berpura-pura tidak mendengarnya lalu mengigit sepotong epal. Tiba-tiba, dia melihat lelaki itu menghampirinya dan menggigit epal yang sedang dimakannya.

Wajahnya berubah kemerahan dan dia terus memarahi Li Sicheng yang melakukannya dengan tenang. "Tak boleh ambil sendirikah?" Mencuri makanannya dan menggigit bahagian yang baru digigitnya? Ia dilakukan di hadapan semua orang pula! Li Sicheng mungkin tidak kisah dengan imejnya, tetapi dia kisah! Menyedari pandangan semua orang di hadapan mereka, wajah Su Qianci bertambah merah dan dia menundukkan kepalanya.

Li Sicheng kelihatan seperti tidak menyedari apa-apa dan berkata tenang, "Kamu punya lebih manis."

"Song, kita patut pergi sekarang. Sukar untuk orang bujang seperti kita untuk saksikan perkara manis sebegini." Sheng Ximing bergurau dan terus bangun.

Song Yifan kelihatan sedang gembira. Dia turut bangun dan berkata, "Baiklah. Kebetulan saya memang ada sedikit urusan untuk diselesaikan. Mari pergi."

Sambil merenung Li Sicheng dengan tajam, Su Qianci menyumbat lebihan epal itu ke dalam mulutnya lalu bangun dan menghantar mereka pergi. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Song Yifan dan Sheng Ximing, Kapten Li memberitahu dia ingin bersiar-siar. Su Qianci cepat-cepat mengejar Atuk dan sudah tentu Li Sicheng turut mengikutinya. Akhirnya ketiga-tiga mereka berjalan bersama-sama.

Kawasan kejiranan itu kelihatan cantik. Walaupun Kingstown sedang dalam musim luruh, kawasan persekitaran itu tidak banyak berubah. Seni tamannya telah direka dengan sempurna, jadi kesemuanya masih subur dan hijau.

Kapten Li terkejut. "Budak, kamu tahu rupanya cara nikmati hidup. Atuk tak sangka kawasan rumah kamu sebegini cantik."

Sambil memegang lengan Kapten Li, Li Sicheng berkata, "Kalau Atuk nak, ada sebuah rumah lagi di belakang, lebih besar daripada rumah yang kita tinggal sekarang."

"Atuk dah tua, jadi Atuk tak perlukan ruang yang luas kalau Atuk tak ada cucu untuk main bersama."

Mendengar kata-kata itu, Su Qianci memutuskan untuk tidak memberi sebarang reaksi.

Walau bagaimanapun, Li Sicheng kelihatan amat gembira untuk membincangkannya dan terus membalas, "Bila-bila pun saya boleh bagi Atuk cucu. Terpulang pada dia saja."

Kapten Li menoleh ke arah Su Qianci dan melepaskan keluhan. "Qianqian."

Su Qianci menggigil dan berdehem. "Atuk."

"Em, Atuk sangat tua sekarang dan dah tak ada banyak masa untuk hidup…"

"Mengarutlah Atuk," sampuk Su Qianci. "Atuk sangat sihat dan Atuk pasti akan hidup sekurang-kurangnya beratus tahun lagi." Pada kehidupan lalunya, Atuk sentiasa sihat walaupun ketika dia dan Li Sicheng akhirnya bercerai. Jika bukan disebabkan Tang Mengying…

Seolah-olah tidak mendengar kata-katanya, Kapten Li menyambung, "Kalu kamu dapat beri cucu untuk Atuk dukung, Atuk akan jadi sangat gembira."

Su Qianci berasa malu dan berkata perlahan, "Saya belum habis belajar lagi." Apa yang lebih penting, dia masih belum bersedia. Segala yang dimilikinya sekarang dirasakan seolah-olah dicuri daripada seseorang. Dia berasa tidak yakin dengan dirinya. Dia takut suatu hari nanti dia akan terjaga dan mendapati kesemua ini cuma mimpi. Apabila dia bangun, Li Sicheng akan hilang dan yang ada hanyalah Encik Li. Apabila dia bangun, dia masih seorang pembunuh dan akan berhadapan dengan pengakhiran yang paling ditakutinya… Su Qianci tidak dapat mengelak daripada mengeratkan genggamannya pada lengan Atuk.

Menyedari dia telah menyebut perkara itu terlalu awal, Kapten Li senyum dan berkata, "Tak perlu terburu-buru. Bila kamu dah sedia saja. Apa yang penting Qianqian kesayangan Atuk gembira. Bukan begitu, budak?"

Li Sicheng mengangguk.

Siguiente capítulo