webnovel

Bermalam di Atas Katil yang Sama?

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng berlalu meninggalkan Su Qianci dan menutup pintu bilik dengan kuat ketika dia keluar.

Bang!

Bunyi yang kuat itu membuatkan hati Su Qianci bergetar dan dia hampir sesak nafas.

Seisi rumah turut mendengar bunyi itu. Li Sicheng keluar dari rumah itu dengan diperhatikan oleh semua orang.

Qin Shuhua segera naik ke bilik mereka dan bertanya kepada Su Qianci, "Kamu berdua bergaduh?"

Su Qianci hanya menggelengkan kepalanya dan mengatakan dia letih supaya Qin Shuhua pergi.

Malam itu, Li Sicheng tidak kembali.

Keesokan paginya, orang gaji datang mengetuk pintu biliknya dan membawa keluar bagasi Su Qianci. Mata Su Qianci bengkak kerana menangis, tetapi ia bertambah baik selepas disapu sedikit minyak. Su Qianci turut melindunginya dengan mekap, jadi ia kelihatan normal.

Datuk kelihatan tidak tahu tentang pergaduhan Li Sicheng dan Su Qianci. Dia terus berbincang tentang rancangan percutian mereka dengan gembira. Kereta datuk ialah kereta Mustang klasik, manakala pemandunya adalah anak kepada leftenan yang berkhidmat dengannya dahulu.

Su Qianci mengenali kereta dan pemandu itu dari kehidupannya yang lalu kerana dia telah banyak kali menaiki kereta itu dengan dipandu oleh pemandu yang sama. Namun pada kehidupan ini, mungkin tidak akan banyak masa mereka bersama…

"Qianqian, kamu dengar tak apa atuk cakap?" Datuk kelihatan sedikit kecewa.

Su Qianci menoleh ke arah Kapten Li dan berasa bersalah. "Maaf atuk. Saya cuma rasa tak sihat sedikit."

'Tak sihat? Rasanya cuma mood kamu tak berapa baik.'

Kapten Li tidak meluahkan kata-kata dalam fikirannya itu dan melihat jamnya. "Ini dah melampau. Pada waktu ini pun dia langsung tak telefon atau hantar mesej."

"Kapten, Tuan Li Sicheng sedang menunggu kita di lapangan terbang."

Kapten Li mendengar kata-kata pemandu itu dan menggumam, "Itu saya tahulah."

Pemandu itu berhenti bercakap. Tidak lama kemudian, mereka tiba di lapangan terbang. Setelah membantu Kapten Li dan Su Qianci mengeluarkan bagasi mereka, kereta itu terus meluncur meninggalkan lapangan terbang.

Sebaik sahaja Su Qianci dan Kapten Li masuk ke ruang VIP, mereka melihat Li Sicheng sedang duduk di atas sofa dengan mata yang tertutup.

Melihat cucunya ada di situ, Kapten Li kelihatan lega. "Bila kamu sampai, budak?"

Li Sicheng membuka matanya dan menjeling sekilas ke arah Su Qianci, sebelum menjawab, "Baru saja." Selepas itu dia kembali mendiamkan diri.

Penerbangan mereka dari China ke Maldives mengambil masa selama enam jam. Perjalanan itu lancar dan mereka tiba di Maldives lewat tengah hari. Kapten Li menguruskan kesemuanya tentang percutian itu, jadi Li Sicheng dan Su Qianci hanya mengikutnya. Apabila mereka tiba di hotel, Su Qianci mendapati dirinya berhadapan masalah besar: datuk hanya menempah satu bilik untuk dirinya dan Li Sicheng.

Su Qianci berasa seram sejuk apabila memikirkan terpaksa berkongsi bilik selama enam hari bersama Li Sicheng. Setelah Kapten Li masuk ke biliknya dengan gembira, Su Qianci pergi ke kaunter hadapan dan berbisik dalam bahasa Inggeris, "Boleh kamu dapatkan satu lagi bilik untuk saya?"

"Maafkan saya, Puan. Semua bilik dah penuh sekarang. Kalau Puan nak tempah bilik lain, paling awal minggu depan baru dapat."

"Tak mungkin. Kenapa tempat ini terkenal sangat?"

Penyambut tetamu itu dapat melihat kekecewaan pada wajah Su Qianci lalu tersenyum. "Puan, tempat ini adalah tempat paling romantik di seluruh dunia, jadi semua hotel berdekatan sentiasa penuh. Rasanya semua hotel tak ada bilik yang kosong sekarang."

Su Qianci berasa amat hampa. Adakah ia bermakna dia perlu bermalam di atas katil yang sama dengan Li Sicheng sehingga habis percutian mereka ini?

Siguiente capítulo