webnovel

Dilahirkan Semula

Editor: EndlessFantasy Translation

Pada usia dua puluh tahun, dia kelihatan terlalu muda daripada usianya. Namun hakikatnya, dia sudah menjadi seorang wanita dewasa. Matanya besar dan keningnya tersusun rapi. Segala tentang wajahnya yang bujur itu amat menarik.

Terdapat banyak jenis produk kecantikan kulit pada meja hiasan tersebut, dan kesemuanya adalah jenama yang terkenal.

Sebelum dia berkahwin dengan Li Sicheng, "sahabat baik"nya Tang Mengying mencadangkan supaya dia membeli barangan tersebut, dengan mengatakan bahawa itu adalah cara untuk mencantikkan dirinya.

Dia telah mempercayai kata-kata perempuan itu pada kehidupannya yang lepas. Atas dorongan Tang Mengying, dia telah membeli kesemua barangan yang mahal tersebut, tetapi kesemuanya tidak sesuai untuk kulitnya dan akhirnya dicampakkan ke dalam tong sampah.

Li Sicheng menjadi saksi bagi kesemua itu. Ia adalah perkara yang membuatkan dia semakin membenci isterinya.

Setiap kali Su Qianci teringat tentang kejadian yang berlaku itu, dia berasa sungguh kesal. Dia selalu berfikir apa yang boleh dia lakukan jika dia dapat mengulangi masa lalu, tetapi dia tidak sangka hari itu akan benar-benar tiba!

Su Qianci tertawa kecil sebelum tawanya beransur semakin kuat. Air mata mulai membasahi seluruh wajahnya.

Dia telah mati, tetapi juga belum. Dia telah dilahirkan semula.

Pada kehidupannya yang lepas, dia telah mencintai Li Sicheng selama lima tahun dan sentiasa menunggu di sisinya. Demi menjadi wanita yang layak dan sempurna, dia belajar tentang etika, alat muzik, bahasa asing, kewangan dan pengurusan bisnes dengan usahanya sendiri. Dia belajar kesemua perkara yang Li Sicheng suka dan perlukan. Namun, walau bagaimana sekalipun dia mencuba, dirinya masih lagi tidak diterima. Apa yang ada hanyalah perbandingan dan kebencian yang berpanjangan.

Dalam kehidupannya yang lepas, dia telah hidup untuk Li Sicheng. Kini dia diberikan satu lagi peluang, dan dia akan hidup untuk dirinya sendiri.

Tuk,tuk.

Seseorang mengetuk pintu dan mengganggu lamunan Su Qianci.

"Siapa?"

Tiada sebarang jawapan, tetapi Su Qianci sudah tahu siapakah orang tersebut.

Dia tidak tergesa-gesa untuk membuka pintu. Dia membuka almarinya dan menjumpai banyak pakaian mewah. Kesemuanya telah dipilih oleh Tang Mengying. Pakaian-pakaian itu bernilai tinggi tetapi tiada satu pun yang sesuai bagi umur dan rupanya.

Dahi Su Qianci berkerut, dia mengambil masa yang lama untuk memilih. Namun akhirnya, dia memilih untuk memakai pakaian yang selalu dipakainya. Ia adalah daripada jenama yang biasa sahaja. Walaupun tidak sepadan dengan identitinya, ia sepadan dengan umur dan rupanya. 

Setelah mencapai pakaian dalamnya di bahagian atas almari, Su Qianci baru sahaja memakai seluar dalam apabila pintu bilik mandi terbuka secara tiba-tiba dengan haba panas keluar darinya.

Su Qianci terkejut. Spontan, dia menutupi bahagian dadanya dan berpaling membelakangi suaminya.

Li Sicheng memakai jubah sutera hitam dan tubuhnya yang sasa jelas kelihatan. Dengan ketinggian lebih dari 6 kaki, dia mempunyai susuk tubuh yang mantap. Rambut kerintingnya masih basah, dan matanya terhenti kepada susuk belakang tubuh Su Qianci yang bertelanjang.

Kulit yang lembut itu kelihatan seperti kain sutera terbaik, dengan beberapa kesan biru yang memperlihatkan pada dirinya betapa dahsyat malam yang mereka habiskan bersama.

Suasana secara tiba-tiba menjadi janggal apabila kedua-dua mereka terdiam.

Li Sicheng tidak berganjak, dan Su Qianci berasa malu untuk berpaling ke arahnya.

"Awak…"

Pintu itu sekali lagi diketuk, dan Su Qianci tidak menghabiskan ayatnya.

Li Sicheng mengalihkan pandangannya dan berkata, "Pakai baju."

Ringkas—tiada ruang untuk membantah.

Li Sicheng membuka pintu tersebut sedikit. Sebaik melihat siapa yang berada di luar, dia mengerutkan dahi dan bertanya, "Ada apa-apa yang kau perlukan?"

Tang Mengying yang sedang berdiri di hadapan pintu hanya dapat melihat separuh daripada muka Li Sicheng. Dia cuba untuk menjenguk ke dalam. "Saya datang ke sini untuk mencari Su Qianci. Dia belum bangun lagi?"

Siguiente capítulo