webnovel

"Untuk Ah Chu pula… Kau tolong sampaikan pesanan aku untuk dia." Suara Zhao Song menjadi lebih dalam apabila dia menghampiri Yan Xun.

Ketika askar-askar ternampak yang Zhao Song sedang menghampiri Yan Xun, mereka cepat-cepat mencapai pedang mereka dan bersedia untuk menyerang. Namun, Yan Xun pun turut mara ke hadapan.

"Beritahu dia yang aku…"

Pada waktu itu, bunyi tusukan kedengaran apabila pedang belati Zhao Song ditusuk mengenai dada Yan Xun!

"Tuanku!"

"Tuan Muda!"

"Bunuh pembunuh itu!"

Raut wajah Zhao Song kelihatan seperti pemuda itu langsung tidak mempedulikan bunyi riuh-rendah di sekitarnya, dan hanya menarik keluar pisau tersebut yang telah tertusuk di dada Yan Xun dan meneruskan tikamannya lagi! Pengawal-pengawal yang lain masih lagi berada dalam jarak yang jauh daripada kedua pemuda tersebut jadi Yan Xun terpaksa menangkis serangan Zhao Song itu sendirian. Yan Xun berundur sambil memegang pedangnya erat namun luka di dadanya begitu teruk sehingga ia menyebabkan pemuda itu langsung tidak berupaya untuk berlawan Zhao Song yang masih lagi terus mendekatinya!

Sebelum pisau belati Zhao Song sempat ditusuk pada jantung Yan Xun, Yan Xun telah mengangkat pedangnya ke atas dan jika dia menghayunkan pedang itu secara mendatar, sudah pasti dia dapat mengelar leher Zhao Song dengan mudah namun pada saat itu minda Yan Xun melayarkan segala memori lampau bersama pemuda itu lalu membuatkan tangan Yan Xun melencong pada saat akhir, membuatkan mata pedangnya terkena bahu Zhao Song yang memegang pedang itu dan mencederakannya.

Kling! Pisau belati tersebut teratuh ke tanah bersama darah yang terpancut keluar dengan banyak bak air pancut dengan tangan yang patah.

"AH!" Zhao Song mengerang dalam kesakitan sewaktu dia merebah ke tanah. Dia menekan lukanya itu sambil meronta-ronta dan begitu juga dengan Yan Xun yang turut terbaring di tanah bersama darah yang mengalir keluar dengan begitu banyak dari dadanya. Pengawal yang panik cepat-cepat meluru ke arah mereka. Sebelum sempat Cik Puan Yu menggumam, dia terdengar bunyi tangisan yang datang dari kenderaan mengangkut makanan berdekatan. Seorang askar yang memakai baju uniform bersaiz besar tiba-tiba berlari keluar dan setelah dilihat dengan teliti, itu adalah Puteri Xia, Zhao Chun'er!

Cik Puan Yu cepat-cepat mengarah, "Cepat panggilkan doktor dan penggal kepala dua orang ini!"

"Tunggu!" Suara Yan Xun kedengaran sangat memilukan. Setiap perkataan yang diujarkan menyebabkan wajahnya semakin bertambah pucat. "Lepaskan mereka!"

Orang-orang sekeliling berasa terperanjat dengan arahannya itu lalu Ah Jing pun menyampuk seperti tidak berpuas hati, "Tuanku?"

"Aku cakap…lepaskan. Mereka!"

Ah Jing ingin menyambung kata-katanya lagi namun dipotong oleh Cik Puan Yu yang berkata kepada Yan Xun, "Tuan, saya akan arahkan orang untuk hantar mereka pulang ke Bandar Zhen Huang."

Yan Xun mengangguk sambil menahan keperitan yang sedang dialaminya sebelum dia menyendeng ke tepi dan pengsan.

"Tuanku!" Teriak Ah Jing. Dia menoleh dan mengambil pedang lalu menuju ke arah Zhao Song. Namun, Cik Puan Yu sempat menahannya. "Kamu nak Tuan hilang kepercayaan kepada saya ke?" Ujarnya sambil memandang tepat pada mata AhJing.

Ah Jing terperanjat dengan kata-katanya itu lalu dia pun berkata, "Cik Puan?"

"Siapkan kereta kuda dan pilih sepuluh orang askar terbaik untuk hantar mereka berdua pulang! Beri mereka bantuan perubatan ketika dalam perjalanan dan jangan biarkan mereka mati!"

Orang-orang gaji dengan berat hatinya menurut perintah Cik Puan Yu dan meluru untuk melakukan segala persiapan. Zhao Chun'er berlari menuju ke arah Zhao Song dan lantas mendakap adiknya yang sudah dilumuri darah itu, lantas gadis yang tidak bersalah ini diselubungi dengan perasaan sedih disebabkan oleh dua orang yang paling disayanginya yang hampir berbunuhan antara satu sama lain.

Sejurus selepas itu, seorang doktor tentera tiba lalu memeriksa keadaan Yan Xun buat seketika sebelum menoleh ke arah Cik Puan Yu dan berkata, "Paru-parunya dah cedera teruk. Saya tak boleh jamin yang dia akan hidup."

Cik Puan Yu memandang lelaki tua itu dan berkata, "Tuan mesti hidup. Awak mesti lakukan sesuatu supaya dia terus hidup."

Orang tua itu berkerut dan mengeluh. "Yalah, saya cuba yang terbaik."

Seorang pengiring sedang menunggu dengan penuh kesabaran di laluan yang menuju ke Daerah Liuhe dari Xi Ma Liang. Cahaya bulan yang samar-samar menyinari sekumpulan manusia yang berjumlah puluhan ribu, namun mereka masih berdiam dan hanya memerhatikan laluan di sebelum timur, sepertinya mereka sedang menunggu sesuatu.

Para lelaki yang berada di dalam khemah utama semuanya berdiri apabila Cik Puan Yu tiba dan lantas wanita tersebut mengangkat keningnya dan bertanya dengan nada yang masih lagi tenang, "Ada apa-apa khabar tak?"

"Belum lagi." Seorang lelaki yang berpakaian hijau seperti seorang cendekiawan itu pun berdiri, kelihatan lemah lembut dan agak kurus dengan kulit wajahnya yang berwarna kuning langsat. Dia kemudiannya berkata, "Cik Puan jangan risau. Bukan ke Encik Wu suruh kita tunggu di sini jadi pasti tiada apa-apa yang akan berlaku."

"Saya tak risaukan serangan hendap itu." Wajah pucat Cik Puan Yu kelihatan sangat kontra dengan matanya yang sembap, jelas sekali wanita itu tidak mendapatkan rehat yang secukupnya, lalu Cik Puan Yu pun mengusap dahinya dan melabuhkan punggungnya ke atas kerusi sebelum menerangkan, "Kita ada peninjau yang yang berada dalam lingkungan 30 batu jadi serangan hendap boleh dikatakan agak mustahil. Saya lebih risaukan kecederaan Tuan! Nasib baik Daoya tiba tepat pada masanya. Kalau tak, saya tak boleh bayangkan apa yang akan dilakukan oleh doktor-doktor tak berguna itu!"

Kerisauan turut terpancar pada wajah mereka yang lain, kecederaan parah yang dialami oleh Yan Xun membuatkan raja muda itu nekad untuk tidak meninggalkan Xi Ma Liang. Walaupun askar-askar sudah meninggalkan tempat itu sewaktu dia pengsan, dia dengan degilnya menderap kudanya kembali ke Cerun Bie Ya. Itulah kali pertama mereka melihat perangai Tuan Muda mereka yang tidak matang dan degil itu. Pada saat ini, mereka semua sudah tertekan dan tidak ingin bercakap lagi.

Cik Puan Yu mengeluh lalu berbicara kepada lelaki yang berpakaian hijau itu, "Kong Ru, berapa ramai orang yang Daoya bawa untuk jemput kita? Askar-askar itu dah disusun dengan elok ke?"

"3000 orang askar. Tapi sebenarnya kan, awak dah masuk ke kawasan Yan Bei pun. Daerah Liuhe di hadapan sana sebenarnya di bawah pimpinan Ketua Pentadbiran Barat Daya dari Kesatuan Da Tong iaitu Encik Meng."

Cik Puan Yu mengangkat keningnya lalu bertanya, "Bukan ke Encik Meng itu seorang guru peribadi dalam Kediaman Mejar? Sejak bila pula dia sendiri jadi Mejar?"

Kong Ru hanya tersenyum. "Daerah Liuhe ini kecil saja jadi sebab itulah Cik Puan Yu tak tahu agaknya. Orang sebelum ini yang diarahkan untuk memantau Yan Bei itu seorang yang tamak kerana sejurus selepas dia dilantik, habis jawatan-jawatan di kerajaan dijualnya. Encik Meng lah yang berbelanjakan sejumlah wangnya untuk beli balik jawatan untuk memerintah bandar-bandar dari luar Ibu Negara sehingga ke Yan Bei, semuanya semata-mata sebagai persediaan untuk hari ini."

"Cik Puan!" Bunyi tapak kaki kedengaran seolah-olah seseorang sedang berlari di sebalik tirai khemah jadi Cik Yu pun gegas meluru ke hadapan dan menyelak tirai itu. Biancang yang sudah tercungap-cungap terus melompat turun dari kudanya dan berkata, "Encik Wu suruh kita berada dalam posisi kita di sini dan tunggu dia pulang bersama Tuanku."

Cik Yu hanya mampu berkerut sebelum berkata, "Bawa 200 askar berkuda ke sini dan kalau ada apa-apa hal yang berlaku, cepat-cepat laporkannya."

"Baik!"

Cik Puan Yu tiba-tiba teringat akan sesuatu lalu dia pun cepat-cepat bertanya, "Biancang, Ah Jing suruh siapa untuk hantar Putera Ketiga Belas pulang?"

Raut wajah terus bertukar suram sebaik sahaja mendengar soalan wanita itu. Askar-askar yang bertugas untuk mengawal di luar pun turut diselubungi perasaan marah, ahli-ahli Kesatuan Da Tong ini semuanya diambil dari golongan yang berstatus bawahan malah ada yang berstatus hamba. Di bawah pemerintahan Empayar Xia yang bersifat menindas, perselisihan antara keluarga yang memerintah dengan rakyat jelata telah berlaku dan oleh sebab itulah, mereka yang berkasta rendah berdendam dengan kerajaan yang memerintah. Sekarang pula, putera Empayar Xia telah mencederakan tuan mereka dengan teruk namun tetap dibiarkan terlepas hidup-hidup di bawah pantauan pengawal mereka. Jadi, tidak hairanlah mereka masih berdendam.

Biancang sedar ini bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan hal ini jadi dia sengaja membalas secara samar-samar sahaja, "Entahlah. Saya pun tak pasti. Apa kata kalau awak tanya Ah Jing sendiri saja nanti?" 

Cik Puan Yu tiba-tiba mengangkat keningnya dan menegur Biancang, "Mengarut! Kalau saya larat nak tunggu dia, saya takkan tanya kamulah!"

Wajah Biancang terus berubah merah lalu dia pun menggeserkan tangannya bersama dengan gelisah, tidak mahu kelihatan cuai di hadapan ketua Kesatuan Da Tong yang bereputasi tinggi ini jadi dia pun menggumam, "Nampaknya Ah Jing dah memilih sepuluh orang dari pasukan ke-12 sendiri."

Namun, Cik Puan Yu tidak berpuas hati dengan jawapan balas itu jadi dia pun mencucuk lagi. "Betul ke Ah Jing yang pilih sendiri?"

"Apa?" Biancang mula berasa cuak dan teragak-agak untuk membalas, "Um…ya, rasanyalah."

"Ya ke tak kamu ini?"

"Ya betul!" Jawab Biancang, "Dia yang pilih sendiri!"

Lantas dengan itu, Cik Yu pun mengeluh panjang. Kebimbangannya kini sudah terjawab. "Lega saya mendengarnya."

"Cik Puan, boleh saya minta diri dulu?"

"Pergilah."

Bunyi kuda menderap bergema sebaik sahaja Biancang pergi meninggalkan khemah utama dan kembali ke berek. Setelah memilih 200 orang secara tidak berkecuali, dia terus menuju ke Cenuram Bie Ya di Xi Ma Liang.

Keheningan mengisi malam yang dingin itu. Sejak dahulu lagi, sejarah telah banyak berubah disebabkan penipuan kecil, orang yang menipu tidak pernah mempedulikan hal tersebut manakala orang yang ditipu pula tidak pernah mengambil penipuan itu dengan serius. Jadi, penipuan itu bagaikan sebutir pasir yang jatuh ke dalam sungai yang mengalir deras namun tidak diendahkan oleh orang ramai serta tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya. Namun, di satu sudut terpencil yang jauh dari penglihatan, sebutir pasir kecil akan bergerak menuju ke benteng lalu menyebabkannya roboh dan mengakibatkan banjir. Orang akan menganggap dunia ini tidak adil tetapi mereka tidak tahu mereka sendirilah yang telah menyebabkan bencana ini berlaku. 

Biancang tidak tahu malam itu Ah Jing tidak memilih sendiri pengawal-pengawal untuk melindungi Zhao Song. Dia sangat menggelabah setelah melihat Yan Xun cedera diserang jadi dalam kebingungan itu, dia telah menugaskannya kepada orang suruhannya yang mempunyai kekuatan yang hebat dan kehandalan bertempur jadi mudah sahaja baginya untuk menghayunkan pedang yang mempunyai berat melebihi seratus kilogram itu miliknya itu. Baginya, tugas yang diberikan ini hanya mensia-siakan kebolehannya sahaja. Jadi, dia menjerit sambil menghayunkan tangannya, "Siapa yang nak pergi, boleh pergi!" Lantas dengan itu, pahlawan-pahlawan yang sudah lama berdendam dengan penindasan empayar pun pergi melakukan misi itu. Sehubungan dengan itu, sepuluh orang yang mempunyai suara yang paling kuat dan semangat yang tidak pernah gentar telah terpilih untuk mengiringi dan melindungi Zhao Song dan Zhao Chun'er pulang ke Ibu Negeri Bandar Zhen Huang. 

Segalanya turut berubah pada saat ini termasuklah impian, cinta dan juga takdir.

"Tuan," Wu Daoya perlahan-lahan berjalan ke cerun. Dia memakai mantel berwarna hijau dan keningnya kelihatan tersusun rapi walaupun ada yang sudah memutih. Namun, pergerakannya masih lagi teguh walaupun dia sudah dimamah usia. Dengan suara seraknya itu, dia berkata, "Angin kuat di sini. Jomlah kita pulang ke khemah."

"Tak apa," Lelaki itu membalas dengan nada yang dalam, jawapannya pendek namun kelesuan dan kesedihan jelas kedengaran. Cuaca tidaklah sejuk tetapi Yan Xun memakai kot luar berwarna putih bersama bulu putih di kot yang menutupi lehernya lantas menekankan lagi kulit wajahnya yang putih pucat itu. Dia berehat di atas kerusi sandar yang telah diubah suai dari pengusung bersama kain sutera putih yang menyelubungi kakinya. Dia mengeluh kecil lalu menggumam, "Biar saya ambil angin Yan Bei dulu. Dah bertahun-tahun saya tak merasainya."

Sebelum sempat Yan Xun menambah lagi, Wu Daoya sudah memahami maksudnya dengan "dah bertahun-tahun" itu. Daoya hanya mengangguk setuju. "Memang dah bertahun-tahun pun."

Yan Xun tertawa. "Saya masih ingat lagi sewaktu di ibu negara, saya ada beritahu Chu Qiao yang angin di Yan Bei harum disebabkan bunga teratai salji yang tumbuh di Pergunungan Hui Hui. Tapi sekarang saya dah tak boleh menghidunya lagi. Kalau dia ada, pasti dia cakap saya seorang pembohong."

Siguiente capítulo