webnovel

Tuan Song, Bateri Telefon Tuan Telah Habis

Editor: EndlessFantasy Translation

Wanita berambut hitam itu kelihatan seperti baru berusia 20 tahun, sedangkan dia baru sahaja mencapai umur 18 tahun tidak lama dahulu. Mungkin dia sendiri yang kelihatan tua. Sebab itukah dia dipanggil pak cik?

Lagi satu... nama dao? Dia kemudian teringat nama-nama ID dalam sembang grup chuunibyou itu. Ada yang bernama Raja Agung Gunung Kuning, Pertapa Malas Sungai Utara, Mahaguru Gua XX, Mahaguru Istana XX. Kesakitan yang dia rasakan pada hatinya semakin meningkat.

Song Shuhang terbatuk. "Kamu boleh panggil saya Song Shuhang. Lagi satu, kita tidak sepatutnya bertanya tentang nama dao sewaktu kali pertama kali berjumpa." Song Shuhang menjawab. Dia tidak mahu dianggap sebagai seorang chuunibyou.

"Oh? Maafkan saya, Senior. Saya terlupa sebentar." Bulu Lembut berasa malu. Sebagai seorang pertapa, dia tidak sepatutnya menyebut tentang nama dao dan hal-hal berkaitan di khalayak ramai. Dia terlupa tentang peraturan asas itu sebentar tadi kerana dia terlalu gembira dan teruja.

"Dan tak perlu panggil saya Senior." Song Shuhang terbatuk dua kali dan dia merasakan penyakit batuknya yang hampir pulih itu akan datang semula dan akan menjadi lebih serius.

"Baiklah." Walaupun Bulu Lembut membalas dengan penuh hemah, dia berasa muram dalam hatinya. Senior ini nampaknya bukan jenis orang yang mudah didekati? Memang betul, bukan semua orang dalam kumpulan itu mesra seperti Pertapa Sungai Utara itu.

Selain itu, senior ini juga berada di jalan Luo Xin tetapi tidak memberitahu apa-apa dalam sembang grup itu. Mungkin dia seorang yang pentingkan diri dan memang tidak berniat untuk membantu? Selepas berfikir begitu, gadis itu berasa lebih tertekan.

Sewaktu Bulu Lembut sedang berfikir, Song Shuhang menambah. "Tapi kamu boleh panggil saya Song Shuhang."

"Oh?" Bulu Lembut terkejut. "Tapi tidakkah itu kelihatan seperti kurang sopan?"

"Awak boleh terus panggil saya dengan nama Song Shuhang. Kalau awak rasa tak selesa dengan panggilan nama penuh, awak masih boleh panggil saya dengan nama Shuhang, Si Kecil Hang atau Si Kecil Song." Song Shuhang menjawab dengan tegas.

Sekiranya Bulu Lembut terus memanggilnya dengan panggilan 'senior', dia akan merasa sangat malu kerana ini adalah dunia sebenar.

"Senior... Shuhang." Apabila Bulu Lembut ingin memanggil nama Song Shuhang, dia berasa kekok dan terus menambah panggilan Senior.

Walau bagaimanapun dia cuba bertenang dan kemudian menunjukkan wajah yang gembira. Nampaknya senior ini baik orangnya, tak sama seperti senior lain yang lebih dingin dan bersikap acuh tak acuh. Kalau begitu, mungkin senior ini akan membantunya hari ini!

Song Shuhang mengeluarkan tangannya dan mengusap wajahnya dengan kuat, jelas menunjukkan dia mengalah. "Baiklah, terpulang kepada kamu hendak panggil saya apa."

"Senior Song datang ke sini untuk bantu saya?" Bulu Lembut bertanya dengan nada gembira.

"Mari kita bercakap sambil berjalan," Song Shuhang kemudian mengambil beg besar di tangannya. Lebih elok mereka berdua bercakap di tempat yang lebih sunyi kerana beg besar yang dibawa mereka akan menyusahkan orang ramai untuk berjalan di situ.

Bulu Lembut mengikut Shuhang.

"Saya telah melihat log sembang grup itu. Tempat yang kamu perlu pergi terletak di kawasan jalan Luo Xin di Bandar J. " Song Shuhang menjawab.

"Ya, kawasan jalan Luo Xin di Bandar J. Senior, tunggu sebentar, mungkinkah... " Bulu Lembut ialah seorang yang pintar dan dengan pantas dapat meneka dari cara percakapan Song Shuhang. Wajahnya kemudian menjadi muram semula. "Mungkin ini bukan jalan Luo Xin?"

"Memang betul ini jalan Luo Xin. Tetapi, ini jalan Luo Xin di Daerah Jiangnan dan bukannya di Bandar J." balas Song Shuhang sambil mengeluh.

"..." Wajah kecil molek Bulu Lembut bertukar kemerah-merahan kerana dia berasa sangat malu. Selepas beberapa ketika, dia bertanya dengan perlahan, "Senior Song tahu bagaimana nak pergi ke kawasan jalan Luo Xin di Bandar J?"

"Saya belum pernah ke sana, tetapi rasanya awak boleh menggunakan bantuan navigasi?" Song Shuhang menjawab dengan mesra.

Bulu Lembut mengetuk kepala dan sekali lagi mengeluarkan telefon usangnya itu... tetapi baru dua kali dia menyentuh skrin, telefonnya tiba-tiba mengeluarkan melodi yang lembut dan skrin telefon terpadam.

Bulu Lembut mengangkat kepalanya dan melihat Song Shuhang dengan air matanya bergenang. "Senior Song, telefon saya habis bateri."

"..." Song Shuhang sekali lagi merasakan kesakitan di hatinya. Gadis cantik berambut hitam ini nampaknya seorang yang dungu?

Tetapi dia tetap menghulurkan telefon bimbitnya. "Gunakan telefon saya."

"Terima kasih, Senior!" Bulu Lembut mengambil telefon Shuhang dan menyentuh skrin beberapa kali.

Tiba-tiba, satu melodi terdengar dari telefon Song Shuhang dan skrin telefon terpadam.

Sekali lagi, Bulu Lembut mengangkat kepalanya dan melihat ke arah Song Shuhang. Matanya yang digenangi air mata itu bagaikan diselubungi pula dengan lapisan kabus. "Senior Song, telefon ini juga sudah kehabisan bateri."

Habislah. Song Shuhang kemudian teringat semula yang telefonnya hanya mempunyai 6% bateri apabila dia keluar membeli-belah sebentar tadi. Selepas 3 jam dibiarkan dan selepas dia melayari laman web tadi, bateri telefon itu akhirnya habis.

Sewaktu dia dengan kekok mengambil semula telefonnya, Song Shuhang bertanya. "Bulu Lembut, kamu hendak cepat ke Tokong Lampu Berhantu itu?"

"Tak juga, tapi sebaiknya, saya mahu sampai secepat mungkin kerana mungkin akan ada perubahan selepas beberapa ketika." Suara Bulu Lembut masih lagi lembut. Tidak lama lagi ayahnya akan pulang dari rumah Senior Pedang Berang Melulu Tiga dan menangkapnya semula.

Ya. Mungkin kerana ini jugalah dia tidak suka melayan Pedang Berang Melulu Tiga itu.

Kalau ayahnya pulang ke rumah semula, dia tidak akan dapat keluar rumah secara rahsia lagi seperti ini.

"Jadi, awak mahu ikut saya balik ke asrama saya? Saya boleh menyemak jadual perjalanan untuk awak di komputer dan mengecas telefon bimbit awak pada masa yang sama. Tetapi jarak dari sini ke asrama saya ialah dua puluh minit, "Song Shuhang memberitahu Bulu Lembut.

Song Shuhang ialah seorang lelaki yang mempunyai keperibadian yang sesuai dengan penampilannya. Wajah dan keperibadiannya benar-benar menunjukkan dia seorang yang baik hati.

Oleh itu, mustahil untuk dia tidak mempedulikan keadaan Bulu Lembut. Selain daripada lelaki homoseksual, jarang ada lelaki yang akan membiarkan seorang wanita cantik keseorangan.

"Asrama? Senior tinggal di situ?" Mata Bulu Lembut bersinar cemerlang. "Jarak dua puluh minit itu tak jadi masalah!"

"Baiklah. Jadi, mari ikut saya?" Song Shuhang cuba bertanya.

Bulu Lembut menganggukkan kepalanya dengan kuat sambil mengheret begnya yang besar dan mengikut Shuhang dari belakang.

Song Shuhang bimbang kerana Bulu Lembut seperti mudah diculik dan kemudiannya dijual. Dua batang gula-gula lolipop sudah cukup sebagai umpan untuk menculik gadis ini.

❄️❄️❄️

Ada satu pepatah menyebut, sepakat membawa berkat.

Secara logiknya, jika dua individu bekerjasama, mereka akan menjadi lebih bersemangat.

Walau bagaimanapun... apabila Song Shuhang dan Bulu Lembut berjalan selama lima minit, Song Shuhang sudah keletihan dan mula bernafas dengan kuat.

Dia memaksa dirinya memberikan senyuman yang pahit dan memandang Bulu Lembut di sebelahnya. Kata-kata lelaki bercermin mata hitam yang kacak sebentar tadi muncul dalam minda Shuhang.

Ada banyak kelebihan sekiranya kita mempunyai kaki yang panjang, bukankah begitu? Satu langkah yang diambil Bulu Lembut menyamai dua langkahnya!

Walaupun Bulu Lembut cuba memperlahankan langkahnya, Song Shuhang masih perlu berjalan laju. Macam manalah dia tak letih?

"Senior nampaknya tercungap-cungap?" Bulu Lembut melihat Shuhang dengan ekspresi wajah yang aneh. Ini tak mungkin berlaku. Bagaimana berjalan kaki selama lima minit boleh membuatkan seorang senior yang mahir dalam pertapaan menjadi letih?

"Hu, kita tidak perlu tergesa-gesa, jadi mari berjalan dengan perlahan-lahan." Song Shuhang cuba mengawal pernafasannya.

"Baiklah." Bulu Lembut mengangguk, seolah-olah memahami, tetapi sebenarnya, dia tidak faham. Dia merasakan ada yang tak kena dengan keadaan 'senior' ini, seolah-olah staminanya lemah.

Walau bagaimanapun, dia seorang wanita muda yang bijak dan tidak akan mengganggu privasi orang lain. Memandangkan Senior ini tidak menjelaskan apa-apa, sudah pasti dia tidak akan bertanya, kalau tidak dia akan dianggap menjengkelkan.

Oleh itu, dia mengambil inisiatif dan cuba berjalan perlahan seperti Song Shuhang dengan mengurangkan langkahnya sambil mengekalkan tahap kelajuan yang sama .

Song Shuhang akhirnya berasa lebih tenang.

Kedua-duanya berjalan dengan perlahan dan meninggalkan kawasan jalan Luo Xin.

Secara kebetulan, di belakang mereka masih ada tiga orang lelaki yang sedang menilai pelbagai bentuk kaki di dataran awam itu. Mereka juga membawa beg besar dan kecil sambil meninggalkan kawasan jalan Luo Xin.

"Oh? 100 markah, aku nampak kaki yang layak dapat 100 markah!" Si gemuk, Ah Xu, menunjuk pada bahagian belakang Bulu Lembut dengan penuh rasa teruja.

Lelaki kacak yang ceria segera menegakkan badannya. "Di mana? Aku mesti kejar dia sekarang!"

"Kau pasti tak ada peluang." Lelaki berambut pendek bercakap dengan nada malas. "Ada seorang lelaki di sebelahnya."

Lelaki kacak itu memandang Song Shuhang yang berada di sebelah Bulu Lembut dan berasa sedih dengan serta-merta. "Gadis itu sudah berpunya. Tak guna!"

"Walaupun dia sudah berpunya, pasti dia seorang yang tidak setia. Selagi dia masih mempunyai tubuh badan dengan kaki yang menawan itu, masih belum terlambat untuk kau cuba memikat dia. Kau pergilah kejar dia!" Ah Xu tertawa dengan perlahan-lahan.

"Aku tidak suka mengganggu hubungan orang lain." Lelaki kacak itu mempunyai prinsip yang tegas.

Tiba-tiba, dia terpandang belakang tubuh Song Shuhang. "Hei, bukankah kita pernah lihat lelaki itu?"

"Ya. Aku tidak hairan kalau kau biasa melihatnya. Sewaktu kita sedang berbincang tentang wanita dengan 100 markah di dataran awam Luo Xin, dia duduk di sebelah kita. " Lelaki berambut pendek terus membalas dengan malas.

"..." Si gemuk Ah Xu.

"..." Lelaki kacak.

Dia duduk di sebelah kita, dia duduk betul-betul di sebelah kita... kata-kata ini berulang-ulang di telinga lelaki kacak itu.

Dia kemudian tiba-tiba berlutut. "Dia inikah yang digelar Tuhan Penaklukan?!"

Siguiente capítulo