Song Shuhang kini berada di Daerah Jiangnan. Sebagai seorang yang jarang menolak permintaan, dia tidak akan menolak permintaan kecil seperti menunjukkan jalan. Buat masa sekarang, dia pun tidak boleh berbuat demikian walaupun ingin membantu, sebab dari bandar kolejnya ke Lapangan Terbang Jiangnan mengambil masa dua jam untuk sampai dengan kereta. Sebab akhirnya, Jiangnan merupakan bandar yang setaraf negara dan mempunyai kawasan yang luas.
Lagipun, Shuhang tidak biasa dengan kawasan Bandar J dan tidak pernah mendengar nama Tokong Lampu Berhantu.
Dia hanya tahu Bandar J berada di tepi Daerah Jiangnan dan merupakan bandar yang terkenal di China.
Ini adalah kerana Bandar J merupakan tempat peranginan keagamaan, di mana orang akan dipersonakan oleh pelbagai jenis agama. Semasa perayaan keagamaan setiap tahun, jemaah-jemaah akan berkunjung ke bandar dan menyebabkan bandar menjadi penuh sesak.
Mencari tokong kecil di sana bukan sesuatu yang mudah, kerana ada banyak tokong lain dibina di sana.
"Nama kawasan Jalan Luo Xin macam pernah dengar. Tapi dengar dari mana ya?" Shuhang bergumam.
Song Shuhang mengunyah pau kukus sambil menggoyang di atas kerusi goyang. Berfikir tentang kawasan Jalan Luo Xin, dia cuba untuk mengingat kembali dari mana dia pernah mendengar nama ini.
Fungsi ingatan otak manusia memang pelik. Benda akan tertimbul dalam minda tanpa disedari, tetapi apabila anda cuba untuk mengingat kembali sumber kenangan tersebut, memang sukar untuk melakukannya.
'Rasanya saya pernah dengar nama ini daripada berita?' Song Shuhang tidak mahu membazir sel otak untuk perkara ini dan berhenti berfikir tentangnya.
❄️❄️❄️
Bulu Lembut menarik bagasi besarnya ke lorong teksi.
Dengan segera, beberapa teksi menuju ke arahnya dengan cepat—rupa-rupanya, mempunyai paras yang cantik memanglah kelebihan yang bagus di mana-mana sahaja. Kalau tidak, saiz bagasinya yang begitu besar akan menjadi halangan kepada teksi untuk menghampirinya.
"Cik, nak pergi ke mana?" Sebuah teksi merah mengambil tempat di hadapan. Pemandunya seorang pak cik pertengahan umur yang mukanya berbentuk segi empat dan bertutur Mandarin dengan loghat Jiangnan.
"Awak tahu di mana Tokong Lampu Berhantu?" Bulu Lembut bertanya. Suara lembutnya sangat berbeza dengan rupanya yang muda dan bertenaga. Tapi perbezaan ketara ini membuatkan dia lebih menawan.
Pak cik tersebut berfikir sejenak dan menggelengkan kepala, "Tokong Lampu Berhantu...tak pernah dengar ni."
Hati Bulu Lembut tenggelam dengan kekecewaan apabila pak cik bermuka bentuk segi empat itu menggeleng kepalanya dan pipinya menjadi merah.
Nasib baik, pak cik bertanya lagi, "Awak tahu kawasannya dekat mana?"
"Ya, ia berada di kawasan Jalan Luo Xin!" Bulu Lembut terus menjawab.
"Kawasan Jalan Luo Xin, saya tahu, saya memang biasa dengan tempat tu. Saya tinggal di sana. Tapi nama tokong tu betul ke? Saya dah lama tinggal dekat sana dan tak pernah dengar Tokong Lampu Berhantu," Pak cik itu menjawab dengan serius.
Atas sebab-sebab profesional, dia memang sangat kenal tempat itu. Dia bagai telah memijak setiap inci kawasan tersebut, tetapi dia tidak pernah mendengar nama Tokong Lampu Berhantu.
"Oh?" Muka kecil Bulu Lembut menjadi merah lagi, tetapi dia menjawab dengan teguh, "Kalau macam tu tolong bawa saya ke kawasan Jalan Luo Xin!"
Dia bercadang untuk bertanya-tanya selepas sampai di sana. Jika tiada sesiapa yang mengetahuinya...dia terpaksa menghubungi ayahnya. Tetapi itu pilihan yang terakhir. Dia hanya akan berbuat demikian jika tiada cara yang lain.
"Cik, awak nak cepat ke? Kalau tak mengejar masa, boleh naik bas ke kawasan Jalan Luo Xin. Kalau naik teksi mahal sikit, sebab perlukan masa dua jam untuk sampai ke sana," pak cik bermuka bentuk segi empat menjelaskan.
Bukan dia tidak mahu mendapatkan duit itu, tetapi perjalanan dua jam memang berharga mahal. Dia memang tidak tahu betapa jauhnya tempat itu, dan kalau dia tidak memberitahu jarak dan harga sebenarnya sebelum dia naik teksi, mesti berlaku pertikaian apabila sampai ke destinasi nanti.
"Tak apa. Bawa saja saya ke sana," Bulu Lembut tersenyum malu. Duit bukan masalah baginya.
Selepas mengesahkan dengan penumpangnyanya itu, pak cik bermuka bentuk segi empat itu bergembira dalam hati. Dia akan mendapat duit yang banyak daripada perjalanan ini.
"Ok. Naiklah kereta dan letakkan bagasi awak di dalam but kereta." Pak cik berkata. Dia membuka but kereta dan pintu keretanya untuk membantu mengangkat bagasi itu.
Tetapi selepas dia membuka pintu dan memandang belakang, dia sangat terkejut sehingga tidak dapat menutup mulutnya yang berbentuk O.
Dia nampak gadis kecil itu meletakkan bagasi besarnya di atas tapak tangannya...betul-betul meletakkannya di atas tapak tangan, bukan mengangkat, bukan memegang, atau apa-apa; dia seperti meletakkan piring kecil ke atasnya. Dia meletakkan bagasi dengan ringan ke atas tapak tangannya dan memasukkannya ke dalam but kereta.
Adakah bagasi tersebut sebenarnya ringan dan hanya kelihatan seperti berat sahaja?
Sementara berfikir, dia terasa bahagian belakang keretanya merendah sedikit. Dia sudah bertahun-tahun bekerja sebagai pemandu teksi sehingga hampir bergabung menjadi satu dengan keretanya. Dia mampu menganggarkan berat objek itu apabila bahagian belakang keretanya menjadi rendah.
Bagasi itu mempunyai berat sekitar 60kg, ataupun lebih. Mungkin seberat seorang lelaki dewasa.
Gadis ini atlet angkat berat ke? Hebatnya kekuatan dia. Dia menelan air liur secara rahsia. Nasib baik, dia pemandu yang baik hati. Lelaki berniat jahat yang bercadang untuk mengganggunya secara seksual pasti akan dibunuh dalam sesaat.
Bulu Lembut tidak perasan apa yang dilakukan memang mengejutkan dan terus masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat duduk belakang.
"Hey, cik, kekuatan awak sangat hebat! Duduk betul-betul ya." Pak cik bermuka bentuk segi empat itu ketawa, dan menekan minyak. Teksi merah itu keluar dari lorong dan menuju ke kawasan Jalan Luo Xin.
❄️❄️❄️
Dalam Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah
Bulu Lembut Pulau Roh Kupu-kupu (telefon): "Senior Sungai Utara, saya sedang menuju ke kawasan Jalan Luo Xin, tapi pemandu teksi ini tidak mengenali Tokong Lampu Berhantu. Saya akan bertanyakan penduduk tempatan selepas saya sampai, mungkin akan ada orang yang mengenalinya."
"Ok, saya sudah bertanyakan beberapa orang, tapi buat masa sekarang, tiada orang yang mengenalinya. Bagaimanapun, saya akan menghubungi awak jika mendapat apa-apa petunjuk." Pertapa Malas Sungai Utara menjawab.
"Terima kasih, Senior 😊" Bulu Lembut menjawab sambil menggenggam tangannya secara rahsia. Dengan jawapan Pertapa Malas Sungai Utara, dia lebih yakin sedikit—sebenarnya, ini pertama kali dia bergerak untuk perjalanan jauh seorang diri. Biasanya, ayahnya akan menemani setiap kali, atau dia hanya berjalan di sekitar Pulau Roh Kupu-Kupu.
Dia merasa sedikit teruja.
❄️❄️❄️
Song Shuhang belum lagi membaca log mesej di atas...kerana dia telah pergi ke kedai buku untuk tengok-tengok buku sebab tidak ada apa nak dibuat.
Dia memegang buku yang disewanya dahulu, yang belum habis dibacanya. Bagi dia, jika dia tidak boleh membaca buku itu dengan percuma, buku itu akan kehilangan tarikannya.
Ia seperti mee segera 'Kong kacak1'. Rasanya sangat berbeza jika dimakan kering dan jika dimakan selepas direbus dalam air panas.
Sebelum dia keluar, entah sebab apa, dia membawa telefon bimbitnya bersama—Song Shuhang tidak mempunyai tabiat membawa telefon bimbit bersamanya pada setiap masa.
Telefon bimbit zaman sekarang semakin banyak fungsi, dan saiznya pun semakin besar. Sekarang memang tidak dapat cari telefon bimbit yang hanya ada fungsi membuat panggilan. Disebabkan telefon bimbitnya terlalu besar, dia menggunakannya sebagai telefon tetap.
'Tinggal 7% kuasa bater, sepatutnya cukup.'
Bateri tinggal sedikit sahaja, ia mungkin boleh bertahan sepanjang tengah hari jika dia hanya menjawab panggilan atau mesej teks.
Dengan itu, dia mengambil telefon bimbit dan buku sewanya bersama-sama, dan pergi ke kedai buku untuk tengok-tengok buku dengan gembira.
❄️❄️❄️
Masa berlalu dengan cepat.
Selepas lebih kurang satu jam setengah.
'Peliknya, saya bangun dengan tak betul ke hari ni?' Dengan rasa hairan, Song Shuhang meletakkan buku tebal yang ada dalam tangannya kembali ke rak buku—dia tidak dapat menumpukan perhatian!
Dia tidak dapat menumpukan perhatian pada buku-buku ini, tidak kira buku novel, buku teori memandu, buku komik atau buku klasik. Ini kali pertama dalam seumur hidupnya dia menghadapi perkara sebegini.
"Peliknya." Song Shuhang bergumam. Dengan itu, dia mengeluh dan mengambil sebuah buku secara rambang dan menuju ke kaunter.
Jika dia tidak dapat menumpukan perhatian kepada buku itu, tidak masuk akal untuk dia tengok-tengok buku lagi.
Dia berfikir untuk seketika dan membuat keputusan untuk melepak di sekitar bandar kolej.
Apabila berfikir tentang tempat untuk melepak, anda mesti terfikir mengenai tempat peranginan yang berdekatan dengan Bandar Kolej Jiangnan—Syurga Penggemar Makanan.
'Jom pergi makan makanan yang sedap!'
❄️❄️❄️
Syurga Penggemar Makanan merupakan blok kedai makanan yang sedang berkembang maju dan terletak dua blok dari Bandar Kolej Jiangnan. Berjalan kaki dari Kolej Jiangnan ke sana akan mengambil masa dua puluh minit, tetapi jarak itu tidak menjadi halangan kepada penggemar makanan.
Di sini, anda boleh mencari apa-apa sahaja yang anda ingin makan, seperti benda yang berkepak, berterbangan di langit—kecuali kapal terbang, ataupun benda yang berdiri di atas lantai dengan empat kaki—kecuali perabot. Anda boleh mencuba pelbagai jenis makanan yang enak.
Ia pernah dipanggil 'Syurga Penggemar Makanan' dan 'Syurga Makanan Sedap' entah berapa kali sehingga nama sebenarnya pun sudah dilupai.
Nama sebenarnya apa ya?
Song Shuhang memandang ke arah papan tanda blok: 'Selamat Datang ke Kawasan Jalan Luo Xin,' tujuh perkataan emas bersinar di bawah cahaya matahari.
Oh, ya. Namanya kawasan Jalan Luo Xin. Bagusnya nama ini.
Dipenuhi pemikiran yang rawak, Song Shuhang memasuki blok itu.
Dia berhenti dengan tiba-tiba selepas mengambil beberapa langkah ke depan. Dia kembali ke papan tanda dan merenung tujuh perkataan emas itu.
Selamat Datang ke Kawasan Jalan Luo Xin!
Ya, dia membaca dengan betul. Kawasan Jalan Luo Xin.
Song Shuhang tergamam.