webnovel

Lari Bersama-sama

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng mencebikkan bibirnya dan bersandar. Itu adalah kali pertama dia berasa tenang sejak lebih sebulan lalu. Su Qianci tidak menghiraukannya dan terus memandu.

Tiba-tiba dia tersedar sesuatu dan bertanya, "Kedai itu di mana?"

"Shili Mingdu."

Su Qianci kebingungan dan menoleh ke arah Li Sicheng. "Bukankah itu di belakang kita?"

"Ya."

 "… Kenapa kamu tak beritahu awal-awal?"

"Kamu tak tanya."

Su Qianci mengetap giginya dan merasakan seperti mahu menghumban Li Sicheng keluar dari kereta itu. Dia membuat pusingan U dan memandu ke tempat yang disebut.

"Belok kanan, kita turun di situ," kata Li Sicheng dengan tenang. Su Qianci meletakkan keretanya di tepi jalan. Hujan masih mencurah turun. Li Sicheng mengambil payung lalu membuka pintu. "Tunggu di situ." Mata Su Qianci terkebil-kebil. Li Sicheng mahu menggunakan payung itu bersamanya? Adakah lelaki itu menyangka dia tidak membawa payung di dalam kereta? Su Qianci memuncungkan bibirnya lalu keluar dari kereta sambil memegang payungnya. Payungnya sangat keperempuanan, ia berwarna merah jambu dan mempunyai lukisan kartun sedang bercium.

Su Qianci mengunci kereta dan terus berjalan ke hadapan. Mata Li Sicheng menjadi gelap. Dia berkata, "Kedai itu agak jauh. Ikut saya."

"Okey."

Ia memang agak jauh. Selepas berjalan selama 20 minit, hujan mula reda dan mereka tiba di satu lorong sempit. Lorong itu bersih dan dihias cantik. Ini kali pertama Su Qianci datang ke tempat sebegini, jadi dia berasa agak terkejut. "Saya tak sangka tempatnya sangat cantik."

Li Sicheng menutup payungnya dan masuk ke kedai yang mempunyai papan tanda bertulis "Jenama Tak Lapuk Dek Zaman". Sebaik masuk ke dalam, Su Qianci terus tertarik dengan aroma sedap dari daging dan snek di situ. Dia membaca sejarah dan asal usul kedai itu dan berasa berminat dengannya.

Li Sicheng memesan beberapa jenis daging. Dia menjeling Su Qianci dan kemudian menoleh ke arah payung yang ditinggalkan Su Qianci di tepi pintu. Selesai membaca sejarah kedai itu, Su Qianci berjalan melihat rak-rak yang ada. Apabila Li Sicheng datang menghampirinya, lelaki itu telah membawa dua beg plastik di tangannya.

"Jom."

"Okey."

Hujan menjadi lebat kembali, tetapi air yang membanjiri jalan tidak begitu tinggi. Mereka boleh berjalan dengan mudah. Su Qianci mengambil payung yang diletakkannya berhampiran pintu dan terkejut. Disebabkan mereka tidak akan lama di kedai itu, dia tidak mengikat payungnya. Walau bagaimanapun, sebaik mengambil payungnya, hanya batang payung sahaja yang berada pada tangannya. Dia melihat batang payung yang dipegangnya dan kepala payung itu yang berada di lantai. Dia berasa amat marah sehingga menghentakkan kakinya. "Apa ini? Siapa yang buat ia jadi begini? Tak guna."

Li Sicheng yang berdiri di belakangnya berkata dengan suara dingin, "Mesti ada orang yang terpijak. Tengoklah kesan tapak kaki itu." Kelihatan kesan tapak kaki yang kotor dan basah ditinggalkan pada kepala payung itu.

Su Qianci melihat bekas tapak kaki itu dan berasa kecewa. Dia baru sahaja membeli payung itu kerana sukakan coraknya. Ini kali pertama dia menggunakannya, tetapi ia telah rosak. 

Li Sicheng menjelingnya sekilas dan berkata tenang, "Ia cuma sebatang payung."

"Tapi sekarang hujan lebat. Saya akan basah lencun tanpa payung ini." 

"Saya ada payung." Li Sicheng mengambil payung besar hitamnya dari rak di situ dan berkata, "Jom pergi."

Apa? Dia nak mereka berkongsi payung? Su Qianci menggumam, "Hujan sangat lebat. Kita berdua akan basah kalau kita berkongsi payung…"

"Kalau begitu, biar kita basah bersama-sama."