webnovel

Dia Melarikan Diri

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Lelaki tua itu memandang Su Qianci dan menepuk tangannya lalu berkata, "Kapten itu betul-betul bertuah. Semua cucunya berjaya dan salah seorang dah ada isteri yang sangat cantik. Suami kamu anak kedua, bukan?"

"Ya…"

"Saya rasa dia yang paling hebat antara adik-beradiknya. Seluruh ahli keluarganya berada dalam tentera tetapi dia jalankan bisnes walaupun ditentang semua orang dan bisnesnya berjaya. Itu hebat. Kamu bertuah berkahwin dengan lelaki seperti itu."

Su Qianci hanya tersenyum dengan berat hati.

Song Yifan berkata kepada lelaki tua itu, "Macam biasa, dua."

"Baik!" Perhatian lelaki tua itu kembali kepada Song Yifan. "Dua pesanan Song."

Su Qianci tergelak kecil sebaik mendengarnya. Apa yang dimaksudkan dengan pesanan Song?

Melihat anak angkatnya itu tersenyum, Song Yifan tahu dia telah membawanya ke tempat yang betul. "Ayah pelanggan tetap kedai makan ini. Mereka semua kenal Ayah dan tahu apa kegemaran Ayah."

Kedai makan itu telah menjadi popular kerana Song Yifan pelanggan tetap mereka. Reputasinya sangat berkesan untuk perniagaan mereka. Tidak lama kemudian makanan mereka tiba. Ia mi dengan pes kacang. Pes itu sangat sedap. Su Qianci mengambil penyepit dan mengacau mi itu perlahan-lahan. Song Yifan yang sedang kelaparan terus makan dengan pantas. Manakala Su Qianci makan sedikit demi sedikit kerana moodnya masih tidak baik.

Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam dan hari sudah gelap. Telefon Su Qianci berdering dan bergetar di atas meja mereka. Satu nama terpampang pada skrin: Abang. Su Qianci terus meletakkan telefonnya dalam mod senyap. Selepas panggilan itu berhenti, dia mematikan telefon itu dan meletakkannya ke dalam beg tangannya.

Song Yifan yang sedang makan melihat perkara itu dan bertanya, "Kamu berdua bergaduh?"

Su Qianci tidak menjawab dan menyambung makan mi di hadapannya.

Li Sicheng sudah hampir gila. Sebaik tiba di rumah, dia mencari Su Qianci di dalam dan luar rumah tetapi tidak menemuinya. Su Qianci tidak menjawab panggilannya malah mematikan telefon. Su Qianci seorang yang agak pendiam jadi tidak mungkin ada rumah kawan atau rakan sekelasnya yang dia akan pergi. Kingstown sangat besar, ke mana dia pergi? Lokasi pertama yang berada dalam fikiran Li Sicheng adalah kampus universitinya. Dia menyuruh Cheng You mencari Su Qianci di sana.

Lokasi kedua yang difikirkan Li Sicheng adalah tempat Lu Yihan berada. Sebaik memikirkan kemungkinan isterinya sedang menghabiskan masa bersama Lu Yihan, Li Sicheng merasakan hatinya membara. Dia memandu ke Hospital Pertama Kingstown dan meluru masuk ke dalam wad Lu Yihan. Tangan Lu Yihan masih dicucuk dengan jarum IV dan dia sedang duduk bersama laptop di hadapannya. Tangannya yang tidak dicucuk sedang menaip di papan kekunci. Dia terkejut apabila melihat Li Sicheng dan bertanya sinis, "Encik Li, apa khabar?"

"Mana dia?"

"Dia?" Lu Yihan segera memikirkan Su Qianci. "Kamu cari Qianqian?"

Qianqian!

Panggilan mesra itu menambahkan kemarahan Li Sicheng. "Dia datang lawat kau hari ini?"

"Ha, dengan suami macam kamu, dia nak jumpa kawan pun susah. Mana mungkin dia berani nak datang lawat saya?"

Li Sicheng menggenggam penumbuknya. Walaupun dia tidak mahu mengakuinya, Su Qianci mungkin telah melarikan diri tanpa memberitahu sesiapa. Li Sicheng keluar dari wad Lu Yihan dan ternampak seorang kanak-kanak sedang bermain piano mainan. Langkahnya terhenti seketika ketika dia teringatkan seseorang.