webnovel

Bukti di Sebalik Skirt

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Su Qianci disahkan mengalami sedikit konsusi selepas dia dihantar ke hospital. Nasib baik ia tidak serius, jadi dia boleh balik ke rumah selepas berehat sebentar. Li Sicheng telah memohon cuti sakit untuknya selama beberapa hari, jadi Su Qianci tidak perlu pergi ke kolej. Walau bagaimanapun, keluarga Li dan Tang Zhenghao mendapat tahu mengenai hal tersebut. Pada hari ketiga Su Qianci bercuti sakit, mereka memanggil dia untuk datang ke rumah lama.

Apabila Su Qianci tiba di rumah lama, Tang Zhenghao membawa isteri dan anaknya datang ke rumah itu. "Minta maaf pada Qianci!" Tang Zhenghao kedengaran tegas.

Mata Tang Mengqing bengkak sewaktu dia berkata dengan terpaksa, "Bukan salah saya. Dia jatuh sendiri."

Su Qianci dengan pantas memahami apa yang cuba dilakukan oleh mereka. Sambil ketawa mengejek dalam hatinya, Su Qianci memandang Tang Mengqing seolah-olah perempuan itu telah mengatakan sesuatu yang bodoh. "Jika saya mampu buatkan diri saya alami konkusi dengan hanya jatuh, badan saya pasti tiga kali ganda lebih berat."

"Su Qianci, jangan cuba mengenakan saya," Tang Mengqing mengetap gigi.

"Mengqing!" Tang Zhenghao melenting. "Kamu masih nak nafikannya? Qianci tidak sihat, dan kamu perlakukan dia sebegitu. Saya tak mahu mengaku kamu anak perempuan saya."

Puan Tang dengan pantas menarik Tang Mengqing ke belakangnya dan memandang suaminya dengan pandangan yang menyalahkan. "Kamu tahu apa dia dah buat pada anak perempuan kita? Dan kamu menyebelahi orang luar?"

"Beritahu saya bagaimana Su Qianci buli anak perempuan kamu. Yang saya tahu, Su Qianci alami konkusi. Anak perempuan kamu telah membawa malu kepada keluarga Tang dan kepada saya juga." Daripada kata-katanya yang lantang itu, Tang Zhenghao jelas telah mengetahui tentang hal pengguguran Tang Mengqing.

Su Qianci terkejut dan berundur ke belakang, lalu terlanggar seseorang. Dia terus menoleh ke belakang dan mendapati orang itu adalah Li Sicheng. Li Sicheng sedang berdiri sambil menonton 'drama' di hadapannya dengan wajah yang dingin.

Kapten Li yang mendengar kekecohan itu berjalan keluar dengan tongkatnya. "Apa yang berlaku?"

"Kapten Li," Tang Zhenghao memanggilnya dan menceritakan mengapa dia dan keluarganya berada di situ.

Tang Mengqing berkata dengan terdesak, "Dia yang pukul saya dulu. Dia juga mencakar saya dengan kuku jarinya dan ia masih terasa sakit."

"Mana kesan kecederaan? Tunjukkan kepada kami," Qin Shuhua berkata, "Jika kamu menuduh seseorang, kamu perlu ada bukti. Jika kamu tidak tunjukkan kepada kami apa-apa bukti hari ini, kamu mesti minta maaf kepada Su Qianci."

Qin Shuhua bercakap dengan nada yang tegas dan membuatkan Su Qianci teringin menepuk tangan. Li Sicheng mengecilkan matanya apabila menyedari isterinya kelihatan teruja. Dia tahu Su Qianci bukan seseorang yang mudah dibuli, jadi dia percaya kata-kata Tang Mengqing dia telah dicakar oleh Su Qianci.

Tetapi mengapa Su Qianci tidak takut?

Li Sicheng menoleh ke arah Tang Mengqing dan melihat gadis itu meletakkan tangan di bahagian kelangkangnya sambil menjerit, "Di sini!"

Li Sicheng mula faham dan tersenyum sinis.

"Angkatlah skirt kamu." Su Qianci menyilangkan tangannya, langsung tidak kelihatan takut.

Tang Mengqing kelihatan terkejut dan mula teragak-agak. "Mana boleh saya buat begitu?"

Terlalu ramai lelaki di situ. Bahkan Tang Zhenghao sendiri tidak sepatutnya melihat anak perempuannya melakukan perkara itu.

Su Qianci mengangkat keningnya dan berkata, "Kamu tidak berani, kan?"