webnovel

Bab 165

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Chu Qiao hanya berdiri dengan senyap buat seketika sehingga suara tentera tadi lenyap di sebalik kepekatan malam sambil salji menyelimuti wajah pemuda itu namun ia langsung tidak mencair. Kemudian, angin yang bertiup seakan-akan menarik lengan baju wanita ini dan lantas mengingatinya pada impian lamanya. Langit begitu jauh dan luas. Walaupun dunia ini besar, namun ia terasa bagaikan mereka seperti telah diabaikan pula. Banyak perkara yang terdetik dalam fikiran Chu Qiao buat masa ini, termasuklah mengenai visinya sewaktu kecil dahulu, kegigihan mereka untuk menjadikan rancangan mereka nyata dan juga saat berharga yang penuh dengan harapan itu. Wanita ini juga memikirkan tentang penjara gelap dan dingin yang telah menempatkan mereka bertahun-tahun dahulu dan apabila pemuda itu menggenggam tangan Chu Qiao untuk menghangatkannya. Yan Xun telah memberitahu pelbagai perkara tentang Yan Bei dengan wajah yang ceria, telah melakarkan gambaran emping-emping salji, rumput dan kuda di sana bersama dengan Dataran Huolei dan termasuklah Pergunungan Huihui. Kata pemuda itu, rakyat di Yan Bei ini sangat berkerja keras, baik hati dan hidup bermuafakat, hanya keamanan dan ketenangan sahaja kualiti yang diungkapkan oleh Yan Xun, seakan-akan Yan Bei ini sama dengan sebuah utopia.

'Yan Bei, Yan Bei…' Chu Qiao mendongak kepalanya perlahan-lahan bersama air mata yang mengalir di pipi, berdiri tegak dengan bentuk tubuhnya yang bagaikan sebatang lembing yang sedang ditegakkan. Emping-emping salji tidak henti mendarat di atas bahunya. 'Tiada sesiapa yang akan melindungi kamu lagi. Biar aku saja yang lakukan tugas itu. Kita akan tunggu mereka untuk kembali.'

Tiada sesiapa yang akan menjangkakan Bandar Beishuo akan tumbang dengan kadar yang secepat ini, dihapuskan dalam masa lima hari setelah diserang tanpa henti oleh Zhao Qi. Kalau bukan disebabkan peralatan pertahanan yang telah ditinggalkan oleh Chu Qiao kepada Para Tentera Beishou, Yan Bei pasti akan dijajah oleh Xia.

Pada saat ini, Cao Mengtong berdiri di atas tembok bandar sambil melihat ke arah tentera Xia yang sedang menghampiri mereka, berasakan seperti tanah bumi sedang bergegar dibawah tapak kakinya. Terdapat seperkara yang masih tidak difahami lelaki itu, iaitu ke manakah tenteranya yang berjumlah lebih sejuta orang itu pergi? Bagaimanakah dia boleh dikalahkan dengan sebegitu teruk walaupun dengan usaha kerasnya? Namun, lelaki itu tidak mempunyai masa untuk memikirkan hal ini lagi apabila Lu Zhi menerpa ke sisinya sambil menjerit, "Jeneral, masa untuk larikan diri! Tentera Xia dah mengejar kita!"

"Lari?" Cao Mengtong menoleh dan bertanya dengan nada yang terkejut. "Lari?"

"Ya!" Ujar Lu Zhi. "Xia An dah lari bersama Pasukan Tentera Beishuo. Saya dengar Bandar Chidu masih belum tumpas lagi. Gadis Chu Qiao itu dah pertahankan bandar bersama tentera-tentera dia. Kita boleh larikan diri ke Bandar Lan melalui Chidu. Jeneral, cepatlah. Kita dah tiada masa!"

"Lari?" Cao Mengtong terlalu terpana untuk memberi sebarang reaksi lain. Maklumlah, rambutnya sudah mula memutih walaupun dalam masa beberapa hari sahaja, jadi lelaki itu menggumam bersendirian, "Tak boleh. Saya tak boleh larikan diri."

"Jeneral! Orang tua pengecut Xia An itu dah larikan diri. Dialah jeneral yang bertugas untuk mempertahankan Beishuo. Dia dah pergi jadi kenapa kita perlu tunggu di sini lagi?"

Cao Mengtong mengeluh kesedihan sambil menggunakan sepasang mata tuanya untuk memandang Lu Zhi lalu membalas, "Dia boleh larikan diri tapi saya tak boleh. Lu Zhi, saya ketua kepada semua komander yang bertugas untuk menentang tentera Xia. Kalau saya pun lari, habislah Bandar Beishuo."

"Beishuo tetap akan musnah walaupun Jeneral tak larikan diri! Jeneral, tolonglah jangan berkeras lagi!"

Cao Mengtong menggeleng kepalanya. "Tak mungkin. Lu Zhi, kalau kamu nak lari, pergilah lari."

Lu Zhi hanya terpegun. "Jeneral betul-betul tak nak pergi?"

Cao Mengtong membalas dengan penuh keyakinan, "Tak nak."

"Kalau begitu saya pun tak nak!" Lelaki tersebu berkata dengan canggung. "Kita hanya akan menempuhi kematian saja. Jeneral dah banyak mendidik dan menjaga saya sama seperti ayah kandung saya sendiri. Kalau saya mati, lebih baik saya mati bersama jeneral!"

Cao Mengtong yang berasa terharu setelah mendengar kata-kata Lu Zhi itu mula menitiskan air matanya sebelum menepuk bahu pemuda itu dan mengujar, "Kamu hanya nampak kebaikan seseorang itu apabila kamu dalam bahaya. Lu Zhi, tak sia-sia saya mendidik kamu."

"Jeneral, tolong beri saya 20 ribu orang tentera. Saya akan keluar dari bandar dan menentang musuh sampai mati!"

"Baiklah!" Ujar Cao Mengtong. "Saya akan beri tentera peribadi saya kepada kamu. Mereka tentera yang paling taat pada Yan Bei dan merupakan tentera dari Pasukan Tentera Kedua yang paling handal. Lu Zhi, jangan hampakan saya!"

"Saya tak akan hampakan Jeneral!"

Sejam selepas itu, pintu gerbang di sebelah utara Bandar Beishuo dibuka dan Lu Zhi bersama-sama tentera peribadi Cao Mengtong terus mencuri semua barangan berharga yang terdapat di bandar sebelum larikan diri. Jeneral tua yang sedang berdiri di atas tembok bandar itu sedang merenung rakan seperjuangannya yang dipercayai itu melarikan diri lalu dia terus meludah darah lantas terkulai ke tanah.

Pasukan Tentera Xia telah melancarkan serangan mereka sekali lagi dan menimbulkan kekacauan di dalam bandar itu yang menyebabkan semua rakyat jelata terus bertempiaran dengan panik. Pintu gerbang utara seterusnya ditutup ketat oleh para pegawai dari Jabatan Undang-undang Ketenteraan di bawah perintah Cao Mengtong untuk menyekat sesiapa daripada melarikan diri.

Suasana terus menjadi riuh-rendah apabila Pasukan Tentera Xia memasuki kawasan bandar itu dengan bau hamis darah dan teriakan untuk membunuh yang berlaung kuat di sekeliling bandar. Para tentera tersebut bergegas memasuki bandar dalam 200 langkah, lantas mengeluarkan tangga dan mula memanjat tembok bandar. Apabila matahari terbenam, pemandangan dihiasi dengan warna merah terang. Ini merupakan serangan terakhir daripada tentera Xia untuk hari ini dan lantas isyarat serangan terus diberikan, berhasrat untuk menawan Bandar Beishuo pada hari itu juga!

"Menyerah kalahlah! Mereka yang menyerah kalah pasti akan hidup!" Jerit 300 tentera Xia yang mempunyai suara yang lantang yang dihantar oleh Zhao Yang untuk ke pintu gerbang bandar dan lantas menjerit. Sesetengah rakyat Bandar Beishuo ingin membuka pintu dan menyerah kalah namun sebelum sempat mereka berbuat demikian, mereka telah dibunuh oleh para pegawai kerajaan. Bunyi meronta-ronta kini semakin hampir dan bau hamis darah tentera Xia kini dapat dihidu.

"Jeneral! Jeneral! Platun ketiga memerlukan bantuan!" Seorang tentera yang sedang berlumuran darah merangkak ke arahnya.

Cao Mengtong memandang ahli tentera tersebut lalu menggeleng kepalanya sebelum menghunus pedangnya dan mengambil dua langkah ke hadapan dengan aura membunuh. Bilalah kali terakhir jeneral tua ini menjejakkan kakinya di medan perang? Selama ini, dia telah dicemuh dan dikenali sebagai seorang jeneral yang sering meninggalkan tugasnya namun lelaki tua itu telah membuat kesilapan yang sangat besar di saat dia mengambil satu-satunya peluang untuk menjadi gagah pula. Jika Cao Mengtong mendengar kata gadis Chu Qiao itu… Pada waktu ini, memori tersebut berlegar-legar dalam fikirannya. Dia menggeleng kepalanya dan tertawa pada diri sendiri. Apa gunanya memikirkan tentang hal itu sekarang? Dia tersenyum kelat dan membalas, "Sayalah pasukan bantuan terakhir."

"Jeneral!" Pegawai tersebut terpana, dengan air mata yang kini membasahi pipi. "Jeneral dah berusia lebih 60 tahun. Ketidakcekapan sayalah yang telah membuatkan jeneral terpaksa bertempur di medan perang."

Jeneral tua itu melambaikan tangannya dan berkata perlahan-lahan, "Mari lawan sampai mati bersama-sama!"

"Baiklah!"

Tiba-tiba, sebuah bunyi yang kuat tiba-tiba berkumandang di luar bandar, nampaknya Pasukan Tentera Xia telah melaungkan bunyi isyarat kecemasan mereka. Para tentera Xia yang sedang bertempur itu terus terkaku setelah mendengar bunyi tersebut lalu mereka menoleh dalam keadaan panik.

Cao Mengtong dan pegawai dari platun ketiga turut terpegun, mendongak kepala mereka dan memandang ke arah kaki langit untuk mendapati sebuah bayang-bayang hitam yang panjang kini sedang menghampiri mereka. Tidak lama kemudian, bayang-bayang hitam itu menjadi lebih besar dan akhirnya sekumpulan tentera yang berpakaian hitam muncul dari ufuk dan sedang menghampiri bandar dengan pantas. Warna bendera merah dan putih berkibar di atas mereka ibarat bebola api yang terbakar di udara!

"Pasukan bantuan dah tiba!" Para tentera itu bersorak keriangan dan sorakan mereka itu telah menenggelami segala bunyi lain.

"Itu pasukan kita! Pasukan bantuan kita dah tiba!"

"Garison Utusan Barat Daya! Itu Jeneral Chu!"

"Jeneral Chu dah sampai! Kita terselamat!"

Pada saat itu, para tentera berpakaian hitam itu melaungkan laungan perang yang lantang. "Demi kebebasan!"

Formasi mereka amat tersusun rapi apabila mereka mara ke hadapan bersama bunyi deram-derum yang mengekori belakang mereka. Pasukan itu menjadi semakin besar dan akhirnya menampilkan seramai 20 ke 30 ribu orang tentera elit, menghayunkan pedang di udara sambil menggunakan kaki untuk mengawal kuda mereka. Sewaktu matahari terbenam, pahlawan-pahlawan tersebut mula menyerang tentera Xia dengan gaya yang menggerunkan, menunggang kuda lalu membelah musuh!

"Garison Utusan Barat Daya! Mereka pengkhianat itu!" Berbanding sorakan kelegaan di Bandar Beishuo, sorakan daripada para tentera Xia lebih kedengaran panik. Walaupun mereka mempunyai askar yang lebih ramai, tetapi mereka langsung tiada masa untuk mengubah formasi mereka kerana mereka langsung tidak menjangka untuk diserang dari belakang. Tambahan pula, ahli Pasukan Tentera Barat Daya Zhao Qi bukanlah secekap Pasukan Tentera Barat Laut Zhao Yang dan Garison Utusan Barat Daya pula sangat handal. Dalam sekelip mata sahaja, askar di belakang telah ditumpaskan.

"Hidup Jeneral Chu!" Para tentera yang sedang berdiri di atas tembok Bandar Beishuo bersorak sambil memeluk antara satu sama lain dengan penuh keriangan.

"Jeneral!" He Xiao mara ke hadapan dan menjerit, "Jumlah mereka melebihi kita. Kita tak patut bertempur dengan mereka dalam jarak yang dekat."

Chu Qiao menggeleng kepalanya dengan tegas dan membalas dengan nada rendah, "Pasukan tentera kita mempunyai semangat untuk hidup yang tinggi. Kita dah banyak kali kecapi kemenangan yang mustahil dan itulah yang menaikkan semangat kita. Sekarang ini tentera Xia masih lagi tak dapat nak mengenal pasti identiti kita lagi. Kalau kita tak rebut peluang ini, kita tak akan dapat peluang sebegini lagi pada masa hadapan!"

Pasukan tentera itu mara ke hadapan dengan pantas dan telah berjaya menumpaskan seramai 100,000 orang di belakang sebelum sempat perintah daripada khemah utama Pasukan Tentera Xia sampai ke belakang. Chu Qiao mengarahkan pasukan tenteranya untuk mengabaikan para tentera yang tidak sempat ditumpaskan dan terus mara ke khemah utama!

Mimpi ngeri buat Pasukan Tentera Xia kini bermula. Walaupun bilangan pasukan tentera Yan Bei sedikit namun mereka semua merupakan tentera elit yang sangat berpengalaman dalam medan pertempuran. Jadi, tindak balas mereka sangat pantas dan tangkas, lantas menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam medan perang itu.

"Kalian semua, kekal di posisi! Serang!" He Xiao berdiri di hadapan sambil diikuti oleh pemegang bendera yang mengibarkan bendera di udara. Chu Qiao berdiri di tengah-tengah pasukan tentera sambil menunggang kudanya ke hadapan. Para tentera yang lain pula bagaikan meluahkan rasa tidak puas hati mereka setelah sekian lama kepada Empayar Xia apabila mereka menyerang tentera Xia dengan mudah tanpa mempedulikan nyawa mereka.

"Serang! Susun semula semua formasi!" Zhao Qi menunggang kudanya dan menjerit dengan lantang, berhasrat untuk menstabilkan pasukan tenteranya. Dia telah mengabaikan arahan yang telah diberikan komander pasukan bantuannya dan telah mara ke dalam medan peperangan. Namun, pada saat itu, sebatang anak panah telah menusuk ke dalam dadaya dan lantas para komander yang lain meluru ke hadapan untuk melindungi putera maharaja ini daripada terkena lebih banyak panahan. Zhao Qi lantas terjatuh daripada kudanya dengan penuh panik untuk mengelak daripada malapetaka yang bakal datang.

Pasukan tentera itu masih lagi meluru ke hadapan dengan pantas. Chu Qiao yang mengecam wajah Zhao Qi itu terus mendarat daripada kudanya ke atas belakang pemuda itu sambil merenungnya dengan tajam. Slash! Sebelum sempat Zhao Qi menjerit, kepalanya telah dipancung oleh Chu Qiao!

"Zhao Qi dah mati! Berundur cepat!"

Boom! Seperti guruh yang menyambar bumi, tentera Xia yang seramai 400,000 orang itu segera berundur sementara Chu Qiao sedang memegang kepala Zhao Qi dengan wajah yang kelihatan tegas tatkala dia berdiri tegak di atas kudanya.

Pasukan Tentera Xia mula menjadi huru-hara. Cao Mengtong yang berdiri di atas tembok bandar bertindak dengan segera apabila jeneral tua itu mengarah, "Buka pintu gerbang bandar! Buka pintu gerbang bandar! Bunuh mereka semua!"

Pintu Gerbang Bandar Beishuo kini dibuka. Tentera yang pada mulanya keberatan untuk berlawan terus meluru keluar dari pintu gerbang dan akhirnya berjaya menumpaskan Pasukan Tentera Xia!

Pada hari ke-27 dalam bulan kesepuluh, Chu Qiao mengabaikan Bandar Chidu dan membakar keseluruhan bandar tersebut yang telah membuatkan Zhao Yang pun terhenti dalam langkahnya apabila pemuda itu hanya mampu melihat Chu Qiao melarikan diri bersama pasukan tenteranya yang kurang dari 10,000 orang itu. Pasukan tentera wanita muda ini telah bertemu Lu Zhi dan tentera peribadi Cao Mengtong sewaktu dalam perjalanan ke Beishuo, dan pasukan tentera peribadi jeneral tua itu terus berubah sikap sebelum membunuh Lu Zhi dan menyertai Garison Utusan Barat Daya setelah Chu Qiao mendapat tahu Lu Zhi telah mengkhianati Beishou. Setelah itu, di bawah pimpinan Chu Qiao, mereka menuju ke belakang pihak lawan dan memulakan serangan tergempar mereka dan menyebabkan tentera Xia kalah teruk di Dataran Huolei iaitu di hadapan pintu Bandar Beishuo.

Dalam pertempuran itu, kira-kira 70,000 orang musuh telah ditumpaskan. Kebanyakan daripada mereka telah dipijak oleh kuda perang sehingga mati apabila mereka cuba untuk melarikan diri. Kira-kira 30,000 orang musuh telah ditangkap sebagai banduan perang manakala komander Garison Utusan Barat Daya iaitu Chu Qiao, telah membunuh marsyal pihak lawan, Zhao Qi dengan tangannya sendiri. Pemuda itu merupakan putera maharaja ketiga Xia dan waris yang paling berkelayakan untuk menaiki takhta sebagai maharaja. Hal ini sememangnya memberikan impak yang sangat besar terhadap Pasukan Tentera Xia.