webnovel

Bab 157

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Dalam masa kurang dari dua jam, lebih 3,000 orang rakyat Yan Bei telah berkumpul di hadapan pintu gerbang bandar dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk sehingga ada sesetengah daripada mereka yang telah menghamun para pengawal pintu gerbang manakala ada juga yang sedang menangis dan merayu-rayu supaya membenarkan mereka masuk ke dalam bandar itu. Namun, semuanya hanya sia-sia sahaja.

Matahari terbit empat jam kemudian dan sebuah bayang-bayang hitam yang lantas membentuk sebuah barisan tiba-tiba muncul di ufuk barat. Bayang-bayang tersebut terdiri daripada 7,000 ekor kuda pertempuran yang dikaburi oleh selapisan kabus dan kini mereka sedang menghampiri pintu bandar dengan pantas tanpa sebarang formasi dan akhirnya tiba dalam sekelip mata sahaja. Para tentera yang sedang mengawal pintu gerbang Bandar Beishuo itu terus melaporkan hal tersebut kepada komander mereka namun sebelum tentera Xia di bahagian timur menyerang, tentera di bahagian barat telah menghunuskan pedang mereka dan bersiap-sedia untuk berlawan. Timbalan Jeneral Cheng Yuan yang bertugas di bahagian pertahanan pintu barat mula berasa khuatir. Kalau bukan disebabkan maklumat yang disampaikan oleh Xue Zhiyuan, pasti teruk akibatnya tadi.

Rakyat mula berteriak panik dan bertempiaran lari ke arah pintu. Namun, pada saat ini, siapa yang bakal membuka pintu gerbang buat mereka?

Bunyi keriang-keriut tiba-tiba kedengaran di atas tembok, datang dari pembukaan busur silang gergasi. Timbalan Jeneral Cheng Yuan berdiri di atas tembok bandar tersebut dengan sehelai mantel hijau besar sambil memegang pedang dan memandang pemandangan di hadapannya pemuh cemuhan, berfikir sendirian, 'Ini hanya pasukan tentera yang kurang daripada 10,000 orang saja, tapi mereka berangan nak pecah masuk ke Bandar Beishuo. Teruskanlah bermimpi!' Dia kemudian berkata dengan santai kepada orang-orang suruhannya yang berdiri di sebelahnya, "Jangan beri muka dan hapuskan saja mereka semua itu. Nama kita akan menjadi nama pertama yang terpahat dalam pertarungan di Beishuo ini!"

Sun He, salah seorang daripada orang suruhannya berkerut. Dia yang berada dalam keadaan dilema itu bertanya, "Tapi, masih ada ramai rakyat jelata di luar pintu gerbang itu."

Chen Yuan mengangkat keningnya dan membalas dengan dingin, "Rakyat jelata? Saya tak nampak pun." Setelah itu, dia beredar dari pintu gerbang bandar itu dan kembali ke biliknya untuk berehat.

Cuaca terasa sangat dingin pada waktu itu jadi ia terasa seperti membuang masa sahaja jika dia terus berada di tembok bandar itu setelah melihat musuhnya yang hanya dalam bilangan kecil sahaja.

Sun He segera mengetahui niat sebenar Cheng Yuan jadi dia menoleh dan mengarahkan komander berpangkat sederhana di sebelahnya, "Rakyat di bawah itu merupakan tentera Xia yang sedang menyamar. Mereka menggunakan cara ini untuk menipu kita supaya kita tak melepaskan anak panah kepada mereka. Setelah kita buka pintu, pasti orang-orang ini akan mengkhianati kita dan bunuh kita semua! Kita akan dibunuh beramai-ramai bersama Bandar Beishuo!"

Mereka yang hadir mula berbincang. "Anjing-anjing Xia itu licik betul dan juga suka membuli. Kalau kita tak bunuh mereka semua, jatuhlah maruah kita nanti."

Tahap keriuhan mula bertambah di pintu gerbang bandar dan seluruh pasukan tentera terus menghentikan langkah mereka tidak jauh dari situ. Seorang tentera yang memakai mantel berwarna hitam yang kelihatan seperti komander tentera itu mara ke hadapan sebelum membuka topinya untuk menampakkan wajah jelita seorang wanita. Gadis itu kemudiannya berkata dengan kuat, "Saya Chu Qiao, komander dari Bahagian Strategi Ketenteraan. Di belakang saya ini tentera saya, Garison Utusan Barat Daya. Kami dah tumpaskan tentera Xia tadi. Sila buka pintu dan benarkan kami masuk!"

Walaupun suaranya tidak kuat, tetapi semua orang di atas tembok bandar itu dapat mendengar suaranya dengan jelas. Selepas dia menghabiskan kata-katanya, mereka di tembok bandar itu tertawa. Kalau bukan disebabkan Jeneral Xue, mereka pasti akan terpedaya. Berdasarkan ceritanya, Jeneral Chu sudah pun terkorban dalam usaha untuk melindungi negaranya. Tetapi, tentera ini masih berani menggunakan panji-panji tentera Chu Qiao untuk menipu mereka? Garison Utusan Barat Daya? Pasukan apa itu? Pasukan pemberontak ke?

Sun He tidak pernah melihat wajah Chu Qiao sebelum ini dan hanya melihat bayangannya sahaja untuk beberapa kali. Pada masa yang sama, tentera itu juga berada begitu jauh, tambahan pula dengan kabus tebal yang menyelebungi mereka jadi sudah tentulah dia tidak dapat melihat wajah mereka lantas pemuda itu memberanikan diri untuk mendengar arahan Cheng Yuan dan kemudian dia melepaskan ketawa dengan dingin sambil melambaikan tangannya. "Untuk kebebasan! Bunuh mereka semua!"

Bunyi laungan peperangan yang sungguh kuat sekali lagi berkumandang pada masa itu! Lebih 300 anak panah telah dilepaskan di udara sebagai respons kepada kata-kata Chu Qiao sebentar tadi. Mereka seperti awan gelap gergasi yang melitupi langit. Anak panah-anak panah tersebut akhirnya sampai pada tentera Chu Qiao!

"Lindungi Jeneral!" Tentera dari Garison Utusan Barat Daya mara ke hadapan. Lebih sepuluh orang askar muda menggunakan tubuh mereka untuk melindungi Chu Qiao.

Busur silang tersebut telah diubah suai secara peribadi oleh Chu Qiao. Ia sangat kuat dan mampu melepaskan 38 anak panah dalam satu masa. Anak panah tersebut yang didorong dengan daya yang hebat mampu bergerak dengan sangat pantas, antara senjata terbaik di dunia untuk mempertahankan bandar. Anak panah itu jugalah yang telah tertusuk pada badan sepuluh orang tentera tadi. Setelah itu, mereka pun merebah ke tanah sambil kelihatan seperti seekor landak.

"Lindungi Jeneral!" He Xiao mara ke hadapan sambil membidas sebatang anak panah dengan menggunakan pedangnya. Ratusan tentera menyusul di belakangnya untuk melindungi Chu Qiao tanpa sekalipun mempedulikan nyawa mereka. Tiada pertahanan ataupun baju zirah yang melengkapkan mereka, hanya mengikut Chu Qiao dengan harapan dapat masuk ke dalam Yan Bei dengan selamat, jadi mereka tiada masa untuk membentuk formasi yang sempurna. Apabila anak panah pertama sampai ke mereka, badan mereka sudah pun melayang ke mana-mana.

Seorang askar muda merenggut tangan Chu Qiao untuk menariknya ke belakang dan lantas sebatang anak panah menusuk dada pemuda tersebut yang menyebabkan darahnya terpancut pada wajah Chu Qiao. Namun, askar itu tidak melepaskannya dan terus menderap kudanya sambil menjerit, "Lindungi Jeneral! Bantu saya!" Namun, kuda pertempuran itu segera dipanah lalu menyebabkannya rebah ke tanah dan askar tadi berguling-guling di atas tanah sebelum berdiri semula untuk membantu Chu Qiao berundur.

"Musuh! Lindungi Jeneral!" Lebih ramai lagi orang yang telah mara ke hadapan sehingga babak itu kelihatan seperti sebuah ombak berwarna hitam yang sedang beralun. Selepas sebarisan askar telah dipanah, sebarisan lagi akan mara ke hadapan tanpa menunjukkan sebarang kelemahan, ketakutan, mahupun niat untuk berundur. Setelah mereka keluar dari lingkaran serangan itu, ramai mayat yang terdampar di atas tanah.

"Hahaha!" Bunyi gelak tawa tentera Yan Bei bergema dari tembok bandar.

Chu Qiao telah rebah ke tanah. He Xiao berlari ke sisinya lalu terjerit risau, "Jeneral! Cik Puan tak apa-apa ke?" Para tentera itu memberi laluan kepada He Xiao. Apabila dia tiba di samping gadis itu, matanya terbeliak sambil menempik, "Tak guna! Berani betul mereka menghina jeneral!"

"Jeneral He, jangan berkata apa-apa lagi," Wajah Chu Qiao lantas timbul di sebalik dakapan tentera itu. Nadanya kedengaran pilu dan wajahnya pucat. Matanya sudah berkaca namun tiada lagi air mata yang dapat menitis. "Dia dah mati. Dia selamatkan saya." Chu Qiao melepaskan cengkaman askar itu dan berdiri perlahan-lahan. Mereka yang lain terkejut apabila mendapati di belakang askar itu telah tertusuk lebih daripada sepuluh anak panah ibarat seekor landak. Tiga atau empat daripada anak panah tersebut telah tertusuk pada jantungnya manakala yang lain sudah pun patah. Sepertinya dia sudah jatuh berkali-kali sewaktu dia berlari. Mungkin dia sudah mati tetapi dia masih mengekalkan gayanya ketika berlari. Tiada sesiapa yang tahu jenis kekuatan ini. Chu Qiao kemudiannya menanggalkan mantel hitamnya dan memakaikannya kepada askar itu. Gadis itu kemudiannya bertinggung untuk menutup mata askar itu.

Swoosh! Wanita muda itu berdiri sebelum berjalan ke arah pintu Beishuo.

"Jeneral!" Para tentera lantas menjerit dengan serentak.

He Xiao merupakan orang pertama yang menghalangnya sambil menjerit, "Jeneral! Jangan!"

Mata Chu Qiao kelihatan dingin dan perasaannya pula dihurungi perasaan marah. Dalam sekelip mata sahaja, lebih 100 orang daripada mereka sudah pun mati manakala lebih 300 orang daripada mereka sudah tercedera. Mereka semua ini sudah mengikutnya dengan sebegitu lama bermula dari pemberontakan mereka di Zhen Huang sehinggalah ke Yan Bei. Oleh kerana Chu Qiaolah mereka telah memaksa diri untuk menjadi perompak di pergunungan dan hampir memulakan peperangan dengan Empayar Tang. Pada dasarnya mereka ingin kembali ke Yan Bei kerana Chu Qiao. Tanpa mengira seteruk mana pun negara itu, mereka pasti akan menghunuskan pedang mereka tanpa teragak-agak dan berbesar hati untuk melindungi tanah air mereka itu.

Mereka dikenali sebagai pengkhianat yang tidak dapat dimaafkan pada masa lalu. Mereka juga merupakan penurut yang telah diabaikan di Xia kerana tidak berguna dan dibenci oleh semua! Namun, mereka jugalah orang pertama yang memulakan pemberontakan di Xia sebagai langkah pertama buat Yan Xun menentang Xia. Pemberontakan terkenal di Zhen Huang telah dimulakan oleh mereka. Penghapusan puluhan tentera di bahagian barat laut juga mereka yang lakukan. Walaupun mereka diabaikan, mereka tidak lupakan tanggungjawab dan ketaatan mereka.

Mereka mempercayai Chu Qiao sepenuh hati mereka dan telah menjadikan wanita ini sebagai sumber motivasi kepada mereka. Namun, pada saat ini, Chu Qiao hanya membawa malapetaka sahaja kepada mereka!

Wanita itu menolak He Xiao ke tepi dengan marah sebelum sambung berjalan ke hadapan. He Xiao cepat-cepat melutut di hadapannya dan menjerit, "Jeneral! Kami tak pasti yang mereka itu kawan atau lawan tapi Bandar Beishuo sudah salah faham terhadap tentera kita. Kalau Cik mara juga, Cik mungkin tak berpeluang untuk hidup! Jangan lakukannya!"

Swoosh! Chu Qiao menghunuskan pedangnya dan berkata dengan dingin, "Ke tepilah!"

"Jeneral! Jangan lakukannya!" Setelah dia menghabiskan kata-katanya, puluhan tentera turut mara ke hadapan dan berlutut bersama He Xiao di atas tanah.

Chu Qiao mengangkat keningnya dan berhasrat untuk mara lagi. Tiba-tiba, seluruh tentera itu berlutut di hadapannya. Suara 7,000 orang bergema dengan serentak, "Jeneral! Jangan lakukannya! Kalau Jeneral nak pergi juga, sila langkah mayat kami dulu!"

Chu Qiao terpaku di tempatnya. Dia kemudian menoleh ke arah para askar yang telah terkorban dengan kematian yang sungguh dahsyat dan perlahan-lahan Chu Qiao memejamkan matanya. Perasaan amarahnya mula membuak-buak sekali lagi sebelum wanita muda ini menghela nafas perlahan-lahan supaya dapat mengatasi segalanya sedikit demi sedikit.

"Sediakan kuda. Masuk dalam formasi menyerang!"

Swoosh! Para tentera di tembok bandar Beishuo berasa terperanjat. Panji-panji tentera tengah mereka telah dipanah dengan jarak anak panah yang dilepaskan pula lebih jauh jika dibandingkan dengan jarak busur silang gergasi yang biasanya. Namun, pihak musuh berjaya mencecah jarak ini dengan busur silang biasa. Kekuatan lengannya kini terasa gentar!

He Qiao meletakkan busur silangnya ke bawah. Suasana berubah sunyi. Rakyat-rakyat yang menyahut perintah negara pun berasa terkejut.

Chu Qiao menunggang kudanya dan bergerak ke hadapan perlahan-lahan bersama bendera merah dan putih di atas kepalanya, berdiri lebih kurang 100 langkah di luar kawasan serangan sambil memandang pihak musuh dengan dingin. Dia kemudiannya berkata dengan lantang, "Saya Chu Qiao, seorang pegawai dari Bahagian Strategi Ketenteraan. Saya nak berjumpa dengan ketua tertinggi kamu!"

Cheng Yuan baru sahaja keluar dari biliknya namun sebelum sempat dia mengetatkan tali pinggang mantelnya, dia telah terdengar suara Chu Qiao dan terkaku di situ. Bendera putih dan merah berkibar tinggi di luar dan kelihatan seperti bebola api pada waktu pagi yang berkabut. Raut wajah askarnya kelihatan tegas dan menggerunkan. Perasaan amarah mereka seperti sehelai mantel gergasi yang boleh membaluti mereka pada bila-bila masa sahaja. Dia melihat pasukan tentera di luar dan lantas mengetahui pasukan tentera ini bukanlah tentera yang boleh ditangkap dengan menggunakan para tentera tidak berkebolehannya itu. Selain jumlah yang ramai, mereka langsung tiada kelebihan lain.

"Saya Chu Qiao, pegawai dari Bahagian Strategi Ketenteraan. Saya nak berjumpa dengan ketua tertinggi kamu sekarang!" Chu Qiao mengulangi kata-katanya lagi. Wajah Cheng Yuan terus berubah pucat. Sun He yang berada di sampingnya turut berasa takut dalam sudut hatinya setelah melihat wajah tuannya itu. Kalau benarlah…Apabila memikirkan hubungan dia dengan Yan Xun, tangannya menggeletar.

"Jeneral, dia… Jangan beritahu saya dia…"

"Bodoh!" Cheng Yuan mengecilkan matanya perlahan-lahan. "Kamu memang merosakkan segalanya."

"Sediakan kuda! Beritahu seluruh tentera untuk ikut aku keluar dari bandar ini untuk menentang mereka. Kalau kita terlepas seorang pun, lebih baik kita mati saja!" Tempik Cheng Yuan lalu mengatur langkahnya yang panjang.

Sun He mengikut di belakangnya dengan segera sambil bertanya, "Jeneral! Kalau betul, jadi kita…"