webnovel

BAB 01

SEJAK jam empat pagi tadi Shadrina dan Mak Timah sudah celik mata menyediakan kuih-muih untuk jualan mereka hari ini. Beginilah kehidupan dua beranak ini setiap hari demi mencari sesuap nasi.

Selepas solat Subuh tadi, Shadrina terus bersiap untuk ke warung Mak Jemah. Semua juadah sudah siap, tinggal disusun sahaja di dalam bekas plastik untuk di bawa ke warung Mak Jemah yang berada di hadapan kampung.

"Mak, biarkan ajelah, Rin boleh buat," tegah Shadrina yang baru keluar dari biliknya sambil melangkah laju menuju ke arah emaknya di meja makan. Nasi lemak di atas dulang yang masih belum disusun ke dalam bakul, ditarik menghampirinya. Punggung dilabuh di sebelah Mak Timah.

Mak Timah mengeluh halus sambil memandang anak gadisnya itu. Banyak perngorbanan yang telah anaknya itu lakukan. Sejak suaminya meninggal dunia, Shadrinalah yang selalu membantunya mencari rezeki.

Mujur hanya dua beranak. Kehidupan Shadrina tidak sebebas dan semewah remaja-remaja seusianya yang lain. Dikala usia Shadrina 13 tahun, anaknya itu sudah mula membantunya mencari rezeki.

"Mak tu kena banyak berehat. Semua ni biar Rin aje yang buat," ujar Shadrina lagi sambil menyusun nasi lemak ke dalam bakul.

"Mak dah sihat sikit lepas Cikgu Shahril bawa mak ke klinik, semalam," jawab Mak Timah lalu terbatuk kecil.

"Amboi mak, sebelum ni beria-ia Rin ajak mak pergi ke klinik, beria-ia mak kata tak teruk sakit mak tu. Bila Cikgu Shahril ajak, nak pula pergi ke klinik? Mak dah jatuh cinta dengan Cikgu Shahril ke?" Seloroh Shadrina sekadar ingin menceriakan suasana pagi itu.

"Isy, kamu ni, ke situ pula. Gila ke apa kamu ni? Kalau kamu tu yang jatuh cinta pada Cikgu Shahril tu, barulah betul." Tergelak juga Mak Timah mendengar gurauan anak gadisnya itu. Seketul apam dicapai lalu disumbat ke dalam mulut.

Shadrina masih tertawa sambil menyusun donat gula ke dalam bekas plastik.

"Kenapa Rin pula nak kena jatuh cinta dengan Cikgu Shahril tu? Rin anggap dia macam cikgu Rin ajelah mak. Dia banyak tolong Rin dalam pelajaran masa Rin sekolah dulu. Tak lebih dari tu," jelas Shadrina tetang hatinya pada Shahril.

Dia hanya menganggap lelaki itu hanya sekadar gurunya sahaja semasa di sekolah dahulu. Shahril juga banyak membantu keluarganya. Sering menjenguk keadaan emaknya jika ada masa terluang. Jika lebih pun, dia hanya bisa menganggap lelaki itu seperti abangnya sendiri.

Mak Timah tidak membalas kata-kata anak gadisnya itu. Apam di mulutnya dikunyah habis.

"Cikgu Shahril tu banyak bantu kita. Sejak dia mengajar kamu masa kamu di tingkatan enam dulu, sampai sekarang dia ambil berat pasal mak, pasal kamu, pasal keluarga kita. Banyak dah kita terhutang budi pada dia, Rin."

Tangan Shadrina mendadak perlahan dari menyusun donat ke dalam bekas di hadapannya. Kata-kata emaknya itu seolah tersirat satu niat yang membuatkan dia tidak selesa.

"Semalam, Cikgu Shahril datang dengan hajat besar."

Terasa kesat air liur yang ingin ditelan selepas mendengar lanjutan kata-kata Mak Timah itu. Shadrina mula dilanda cemas dan gelisah.

"Hajat besar? Hajat apa mak?"

"Dia nak kamu sambung belajar ke peringkat universiti. Keputusan STPM kamu pun baik, kan?"

Lega Shadrina selepas mendengar jawapan emaknya itu. Sangkanya hajat besar itu sesuatu yang sukar untuk dia penuhi.

"Ingatkan fasal apalah tadi. Suspen sungguh. Ikutkan hati, memang Rin nak sambung belajar, mak. Tapi, yuran belajar di universiti tu mahal. Tapi tak apalah mak, dah ada STPM pun dah boleh cari kerja. Rin ingat, Isnin nanti Rin nak cari kerja dekat bandar. Kalau dapat kerja, Rin letaklah kuih muih dan nasi lemak ni dekat warung Mak Jemah. Balik kerja, Rin ambil duit jualannya."

"Apalah ada dengan STPM tu Rin. Kamu ingat tak penat ke, bangun pagi nak siapkan kuih-kuih ni semua. Siang kamu kerja. Balik nak beli bahan mentah. Malam buat bahan kuih. Larat ke kamu tu nanti?" Mak Timah tidak berapa setuju dengan perancangan Shadrina.

"Ala mak, sama aje. Kalau Rin belajar kat universiti, siapa nak jaga mak? Kalau dah habis belajar, tetap kena kerja juga, kan?" Shadrina mempertahankan kehendaknya. Tangannya laju menyusun bekas kuih ke dalam bakul.

"Ya, tu mak tahu. Sekurang-kurangnya kalau kamu bekerja nanti, dapatlah kerja yang baik sikit. Kalau kamu mohon kerja dengan sijil STPM kamu tu, kerja apa yang kamu boleh dapat? Kerja kilang? Paling tinggi pun, kerani aje Rin."

Sebenarnya ada yang ingin disampaikan Mak Timah kepada anaknya itu. Tapi masih belum terluah.

"Mak, tu Rin tahu. Nak sambung belajar ke universiti tu, kosnya tinggi mak."

"Itulah hajat besar Cikgu Shahril semalam. Nak biayai kos pembelajaran kamu sehingga ke menara gading."

"Dia nak mohonkan biasiswa untuk Rin?"

"Bukan."

"Dah tu?"

Mak Timah memandang anaknya, lama. Walaupun berat untuk diluahkan, tapi demi kebaikan masa depan anaknya itu dia pasrah jika ini ketentuan Tuhan.

"Bila kamu jadi isteri dia yang sah, dia akan penuhi impian kamu tu." Mendatar nada suara Mak Timah menuturkan kata-katanya.

"Apa?" Shadrina terkejut besar.

** STPM - Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

# # # #

"ASSALAMUALAIKUM mak," ucap Shafiz lalu melabuhkan pungungnya di atas kerusi yang bersebelahan dengan emaknya. Dia memandang juadah sarapan yang ada di atas meja untuk seketika.

"Mak masak nasi goreng ni?" tanya Shafiz sambil membetulkan duduknya. Brief case diletak di atas kerusi kosong di sebelah.

"Nasi goreng ni aje mak masak. Kuih-muih ni semua mak beli kat kedai tepi jalan depan tu. Macam biasa," jawab Puan Zainab sambil menyenduk beberapa senduk nasi goreng masakannya ke atas pinggan di hadapan Shafiz.

"Shafiyah mana?" tanya Shafiz, menukar topik perbualan.

Shafiyah adalah adik keduanya yang masih menuntut di sebuah universiti tempatan. Manakala adik perempuan bongsunya yang baru berusia 16 tahun kini masih bersekolah di sekolah berasrama penuh tidak jauh dari rumah mereka.

"Emmm, adik kamu tu, selagi matahari tak tegak dekat atas kepala, jangan harap dia nak bangun," jawab Puan Zainab yang sudah masak dengan peranagai anak daranya yang seorang itu. Minumannya dihirup sedikit.

"Belum bangun? Anak dara apalah dia tu, bangun lewat. Malanglah siapa jadi suami dia nanti. Sepatutnya dia bangun awal, bantu mak sediakan sarapan."

"Ala, biarlah dia. Dia tengah cuti semester tu. Lepas penat perah otak sebab belajar, bagilah dia peluang berehat." Tintas Puan Zainab, mengambil ringan akan hal itu.

"Tak boleh dibiarkan, mak. Dia tu perempuan. Kalau dia dah terbiasa macam tu sampai ke tua, lelaki mana nak jadikan dia bini?" Nasi goreng masakan emaknya mula disua ke dalam mulut selepas membaca bismillah di dalam hati.

"Isy kamu ni, doakan macam tu pula."

"Bukan mendoakan mak. Mengingatkan." Shafiz membetulkan.

Diam. Masing-masing sedang enak menjamah makanan.

"Oh ya, mak ada sesuatu nak bagi kamu rasa." Puan Zainab baru teringat. Pantas dia melangkah menuju ke dapur.

Tidak sempat Shafiz ingin bertanya, kelibat emaknya sudah hilang di sebalik dinding dapur.

"Ini dia," Puan Zainab muncul dengan sebiji kek coklat lalu dihidangkan di hadapan anak lelaki tunggalnya itu.

Semenjak dia kematian suaminya enam tahun lalu, Shafizlah menjadi harapannya untuk menjadi ketua keluarga dan menjaga dua lagi anak perempuannya. Jika tidak kerana Shafiz, mungkin hidupnya tidak sesenang sekarang. Kesenangan yang dia rasai ketika ini semuanya hasil titik peluh anak sulungnya itu. Dia hanya menumpang sahaja.

"Mak buat ke?" Tanya Shafiz, hairan sambil memandang emaknya yang begitu teruja memotong kek coklat di hadapannya.

"Mak buat? Mak manalah pandai buat kek macam ni." Puan Zainab mula menghidangkan kek coklat yang sudah dipotong ke atas piring kecil yang dibawa bersama sebentar tadi.

"Cubalah rasa," suruh Puan Zainab, beria-ia sekali sambil meletakkan piring kecil di tangannya di hadapan Shafiz.

"Mak, sabarlah, Shaf tengah makan nasi goreng mak ni, kan?"

"Ala, rasa kek ni sekejap aje, lepas tu kamu sambunglah makan nasi goreng tu." Puan Zainab tetap memaksa sambil mencuil sedikit kek coklat itu lalu disua ke mulut Shafiz.

Hendak atau tidak, terpaksa juga Shafiz membuka mulut.

"Macam mana? Sedap tak?"

"Emm… sedap, rasa coklat," jawab Shafiz, jujur.

"Memanglah rasa coklat, tak kan rasa bahulu gulung pula. Apalah kamu ni."

Shafiz tersengih sumbing sambil mengunyah habis isi mulutnya.

"Mak buat kek ni?" tanya Shafiz lagi.

"Cuba teka." Meleret senyum di bibir puan Zainab.

"Kalau mak tak buat, confirm mak beli," selamba Shafiz menjawab sambil menyuap nasi goreng ke mulutnya.

Senyum ke telinga Puan Zainab tadi terus kaku lalu hilang dalam sekelip mata.

"Kamu ni memang tak boleh haraplah. Dah banyak kali dia hantar macam-macam jenis kuih dan kek ke sini. Masih tak boleh nak teka dengan betul." Kedengaran seolah merajuk pula nada suara Puan Zainab ketika menuturkan kata-katanya itu.

"Takkan Zenia yang bagi kut?" Tebak Shafiz, musykil.

"Ya lah, siapa lagi? Tak kan Cik Puan Senah jiran sebelah kita tu kut? Zenia seorang aje yang selalu datang sini bagi makanan dan ambil berat pasal kamu, tau?" perli Puan Zainab, sinikal. Sakit hatinya dengan anaknya itu. Sudah tahu lagi mahu bertanya.

"Ooo… kenapalah mak tak cakap dari awal. Tak perlu nak berahsia sangatlah mak dengan Shaf." Suapan terkahir nasi gorengnya dikunyah habis. Kemudian kopi suamnya pula diteguk sehingga habis.

"Mak ingatkan, kamu suka. Tapi mak tengok kamu macam biasa aje? Kamu tak suka dengan Zenia ke? Zenia tu baik, suka jenguk mak dekat rumah ni. Selalu bagi kek, kuih dan macam-macamlah. Mak dia pun bukan orang lain dengan mak. Kawan baik mak juga."

Mendengar kata-kata emaknya itu tahulah Shafiz, pasti isu jodoh akan dibangkitkan.

"Dah mula dah mak ni." Gumam Shafiz sambil mencapai brief casenya.

"Mak bukan apa Shaf, umur kamu tu dah masuk 30 tahun. Apa orang kata? 30 series? Sepatutnya kamu dah kahwin. Lagipun Zenia tu okey apa? Baik, cantik, moden, bijak. Apa lagi yang kamu nak?"

Shafiz tidak mengendahkan kata-kata emaknya itu. Tangan kanan emaknya dicapai lalu disalam dan dikucup mesra.

"Kamu dengar tak apa mak cakap ni Shaf?" tanya Puan Zainab bila melihat anaknya itu nampak tergesa-gesa mahu meninggalkan ruang makan itu.

Tidak sampai hati pula Shafiz mahu membiarkan emaknya terpinga-pinga.

"Mak, Shaf anggap Zenia tu macam kawan baik Shaf aje, mak. Shaf dah lambat nak ke pejabat ni. Malam nanti kita jumpa lagi ya mak? Assalamualaikum," balas dan pamit Shafiz lalu terus meninggalkan ruang makan itu – menuju ke pintu utama rumah.

"Kawan pun boleh kahwin, kan?" Pertanyaan Puan Zainab itu disambut sepi. Seketika kemudian, dia mengeluh halus. Nampaknya, rancangannya ingin menjodohkan Zenia dengan Shafiz tidak mendapat balasan positif dari Shafiz. Apa yang perlu dia lakukan supaya anak sulungnya itu menyukai Zenia, si calon menantu pilihannya itu?

Hazel Jay

Cik_Bintangcreators' thoughts
Nächstes Kapitel