LAMA Ying Hua termenung di sudut katil itu. Kepala dan sakit pada tubuhnya sudah semakin pulih. Tiada lagi rasa sakit yang teramat seperti semalam. Awal pagi tadi lagi dia sudah menjengah kepalanya ke tingkap. Memerhati keadaan sekeliling, di luar kawasan biliknya. Begitu ramai pengawal yang mengawal di sekitar kawasan itu. Kalau dia lompat dari tingkap itu pun, belum tentu dia dapat melarikan diri dari mereka yang ramai itu.
Dia melepaskan keluhan yang berat. Tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Akhirnya dia sudah sedar bahawa apa yang berlaku itu bukanlah mimpi semata-mata. Ianya benar-benar realiti. Realiti yang tidak pernah masuk akal. Hanya ada dalam dramanya sahaja tetapi ia berlaku dalam hidupnya.
Makanan yang terhidang di hadapannya hanya dipandang tanpa perasaan. Biarpun perutnya minta diisi tetapi seleranya benar-benar mati. Akalnya hanya berfikir untuk kembali ke tempat asalnya semula.
"Tuan puteri, kenapa tak makan?" tanya Xin Xin lembut. Entah bila dia muncul namun pertanyaan itu hanya dibiar sepi.
"Pute..." Belum sempat Xin Xin bersuara lagi, Ying Hua memotong pantas.
"Saya bukan tuan puteri awak."
Xin Xin membisu. Dia masih bingung apabila melihat wanita itu berkali-kali menidakkan hal itu. Mana mungkin wanita yang berada di hadapannya bukan tuan puteri yang dia kenal. Wajah itu langsung tak berubah, masakan dia salah.
"Nama tuan puteri Wu Xiao Hua. Xin Xin takkan pernah salah untuk kenal tuan puteri," ujar Xin Xin, mempertahankan dirinya.
"Nama saya Wu Ying Hua. Memang nama keluarga saya Wu tapi nama saya Ying Hua. Ying Hua. Bukan Xiao Hua." Ying Hua menegaskan kembali. Ditekan keras nama Ying Hua itu untuk menunjukan perbezaan nama mereka.
"Tuan puteri dah hilang ingatan. Jadi Xin Xin akan ingatkan tuan puteri semula. Nama tuan puteri Wu Xiao Hua," balas Xin Xin. Sudah tugasnya sebagai pembantu peribadi tuannya itu. Mereka membesar bersama-sama sejak kecil lagi jadi dia tahu segalanya tentang tuan puterinya itu. Meskipun sikap sudah berbeza tetapi dia anggap itu hanya bersifat sementara.
"Nama saya Wu Ying Hua!" Ying Hua sudah bengang.
"Wu Xiao Hua, tuan puteri." Xin Xin juga tidak mahu mengalah.
"Saya bukan berdarah diraja. Sini bukan tempat saya. Saya cuma orang kebanyakan. Awak semua dah salah orang," ujar Ying Hua lagi. Entah berapa kali dia mahu bersuara tentang itu. Memanggilnya puteri adalah begitu asing di halwa telinganya. Akhirnya dia hanya mampu mengeluh sahaja.
"Saya nak balik," sambung Ying Hua.
"Ini tempat tuan puteri. Ke mana lagi tuan puteri nak balik?" tanya Xin Xin.
Ying Hua melepaskan keluhan kecil. Tuan puteri, tuan puteri, tuan puteri. Berdesing telinganya waktu itu. Sudah ditegur pun, gadis bertubuh kecil itu seakan-akan tidak mengerti.
Ah... dahsyat sangat la sampai masuk dalam salasilah keluarga royal ni. Ni kalau orang lain, confirm menjerit tak ingat dunia. Al maklumlah bergelar puteri. Masalahnya aku tak nak duduk sini. Desis Ying Hua sendirian.
Mengenangkan pula dengan putera muda yang ditemuinya semalam. Kata-kata berupa amaran itu seakan-akan berniat hendak membunuhnya. Cukup dengan pandangan tajam itu sahaja membuatkan seluruh tubuhnya menggigil.
"Nama awak Xin Xin kan?" Ying Hua mengubah topik. Nampak macam si gadis itu begitu lurus bendul. Mana la tahu boleh gunakan gadis itu untuk melarikan diri dari kawasan asing ni.
Xin Xin mengangguk laju. Wajahnya tampak gembira. "Tuan puteri dah ingat?"
"Saya dengar lelaki semalam sebut nama awak," balas Ying Hua. Ingat apa bendalah. Dia bukan tuan puteri yang mereka kenal. Dia cuma seorang perempuan yang tersesat sahaja.
"Lelaki? Maksud tuan puteri, Putera Yan?" Xin Xin terkebil-kebil.
Ying Hua mengangguk. Oh! Nama dia Yan rupanya.
"Dia bencikan saya ke? Kalau benci kenapa nak kurung saya dalam bilik ni. Lempar ajelah saya ke tepi jalan. Lagipun saya bukan nak sangat pun hidup kat sini," bebel Ying Hua.
"Tuan Putera Yan adalah suami tuan puteri. Walaupun tuan puteri hilang ingatan, tuan puteri perlu tahu tentang hal penting tu." Xin Xin mengingatkan semula. Dia perlu mengingatkan puteri itu apa yang telah dilupakan. Terutamanya hal penting seperti itu.
"Hah?" Mata Ying Hua terbeliak.
Xin Xin mengangguk.
Mata Ying Hua terkebil-kebil. Wahh! Dengan tiba-tiba aku ada suami pula! Gumam Ying Hua sendiri. Patutlah gelarannya Puteri Yan. Satu persatu kejadian di situ mengejutkannya. Tiba-tiba dapat title puteri. Tiba-tiba ada suami. Jangan tiba-tiba ada anak pula!
"Anak?" Ying Hua bertanya dengan wajah penuh pertanyaan. Berdegup kencang juga nak tanya pun.
Serta merta Xin Xin tersenyum. "Tuan puteri ada ramai anak!" Tangan Xin Xin mendepa seperti ingin memberitahu tuannya memiliki anak yang ramai.
Ying Hua ternganga. Serentak itu menelan air liur. Oh my god! Aku muda lagi kot!
Seraya itu Xin Xin tersengih apabila melihat perubahan wajah Ying Hua. "Xin Xin gurau aje. Tuan puteri tak ada anak."
"Hah?" Ying Hua terus bangun dari duduknya. Dia mencekak pinggang. "Kamu!"
Xin Xin menayang gigi putihnya. "Xin Xin lebih suka kalau tuan puteri macam ni. Xin Xin tahu tuan puteri hilang ingatan. Pasti ada banyak perkara yang tuan puteri fikirkan. Jadi kalau boleh Xin Xin tak nak tuan puteri tertekan."
Ying Hua membisu. Agak tersentuh dengan kata-kata itu. Dia kembali duduk di birai katil itu dengan wajah muram. Hari ini terlalu banyak maklumat yang mengejutkan buatnya. Tetapi memandang muka Xin Xin, gadis itu nampak boleh dipercayai dan begitu taat pada tuan puterinya. Tetapi dia bukan tuan gadis itu.
Aduh... macam mana la dia nak terangkan segalanya. Nampak macam tak masuk akal pula. Silap-silap dia dituduh gila pula. Kira cukup bagus mereka menyangka dia lupa ingatan. Kalau tidak entah apa yang akan jadi. Mungkin dikurung di penjara bawah tanah seperti dalam drama agaknya.
Wu Ying Hua oh Wu Ying Hua... tak sangka ada saat luar biasa yang berlaku dalam hidup kau. Satu perkara yang tak masuk akal. Macam mana la aku nak balik ni? Takkanlah aku kena hidup kat dunia asing ni pula? Keluhnya lemah.
Ying Hua merebahkan tubuhnya di katil. Wu Xiao Hua adalah nama yang asing buatnya. Dan lelaki asing itu adalah suaminya. Kini dia seolah-olah berada di dunia yang dia masih belum dilahirkan pada waktu ini. Entah zaman bila agaknya, dia sendiri tidak pasti.
Kalaulah aku tahu hal buruk macam ni terjadi, aku takkan biarkan diri aku jatuh sakit. Aku sedar dari pengsan aje terus ada kat dunia lain. Confirm lepas ni aku tak nak jatuh sakit sampai macam ni lagi. Sempat Ying Hua mengomel dalam hatinya. Nak sedapkan diri sebenarnya. Iyelah, dah 'dilempar' ke dunia entah ke mana sendirian tanpa orang dikenali. Itu adalah satu perkara yang menakutkan.
Sangat menakutkan.
********************
"TUAN muda. Pembunuh yang jadi tahanan kita di dalam penjara mati dengan tiba-tiba." Yuan Zhen segera memaklumlah kejadian itu dengan segera. Belum sempat pun mereka ingin mendapatkan maklumat dari tahanan itu, dengan tiba-tiba pula dikhabarkan mati.
Shu Yan menghela nafas. Yakin kejadian itu adalah dirancang. Mustahil tahanan yang yakini sihat tanpa sebarang penyakit boleh mati dengan tiba-tiba. Dia tahu semua itu berkaitan dengan kekacauan yang berlaku sebelum ini. Cumanya dia masih belum dapat maklumat yang lengkap dan tepat.
Dia akhirnya berjaya untuk mengangkap salah seorang sekumpulan pembunuh yang menyerangnya di kediaman. Lelaki itu hanya cedera di bahagian kaki selepas terkena pedang miliknya. Sepatutnya dia sudah dapat menyoal lelaki itu tetapi kerana fikirannya sibuk dengan perihal Xiao Hua, dia terlupa tentang sekumpulan yang menyerangnya itu.
"Xiao Hua macam mana?" tanya Shu Yan, seperti ada sesuatu yang bermain di fikirannya.
"Puteri Yan masih berada di kediaman. Dia langsung tak keluar dari bilik. Dan..."
"Dan apa?" Shu Yan yang membelakangnya Yuan Zhen terus berpaling menghadap lelaki itu.
"Seharian dia tak nak makan. Xin Xin dah cuba pujuk tapi dia..." Belum sempat Yuan Zhen menghabiskan kata-katanya, Shu Yan mencelah.
"Tak perlu pujuk dia. Kalau dia nak makan, dia akan makan. Kalau dia tak nak makan, tak perlu paksa dia. Dia tahu cari makan sendiri kalau lapar."
Yuan Zhen hanya membisu. Hati putera keempat itu kelihatan begitu keras sekali. Riak wajahnya juga banyak berubah. Berbeza dengan Putera Shu Yan yang dia kenal sebelum ini. Bibir yang sering melemparkan senyuman itu sudah tiada lagi.
"Xiao Hua... dia takkan lama berpura-pura. Suatu hari nanti dia akan penat. Dia masih lagi cuba untuk guna helah yang sama untuk tarik perhatian," sambung Shu Yan lagi. Dia kembali duduk di ruangan mejanya itu.
"Tuan muda..."
"Yuan Zhen, saya tahu apa yang awak nak katakan. Saya lebih kenal siapa Wu Xiao Hua. Kalau dia pilih untuk jatuh sakit, biarkan dia. Itu pilihan dia," ujar Shu Yan tegas. Dia tahu lelaki itu cuba meredakan amarahnya tetapi dia tetap dengan keputusannya. Takkan pernah berubah pun.
Yuan Zhen menunduk hormat. "Maafkan saya tuan muda."
"Tentang kumpulan pembunuh tu, saya rasa awak dah tahu apa yang patut dibuat. Untuk masa akan datang, perlu lebih berhati-hati. Masih ada mata yang memandang gerak geri kita," pesan Shu Yan. Kerana kelalaiannya, mereka kehilangan bukti penting.
Dia yakin dalam masa terdekat ini sekumpulan pakaian hitam itu akan menyerangnya lagi. Tidak kira apa jua situasi, matlamat mereka adalah untuk membunuhnya. Sebagai putera keempat dalam keluarga diraja Wang, dia antara putera yang memiliki pelbagai kelebihan. Kerana kelebihan itu, dia sering menjadi tumpuan untuk diserang. Apatah lagi dia juga seorang penentang kejahatan yang sangat kuat. Bersama kuasanya yang mengawal tentera wilayah Shuxia tu, ramai yang cuba mengambil kesempatan darinya.
"Dan Xiao Hua... jangan terlepas pandang gerak geri dia. Dia akan selamat kalau dia berada di pihak yang benar. Kalau sebaliknya, dia akan tahu akibatnya. Kejadian itu mungkin akan berlaku untuk kali kedua kalau dia masih tidak berubah."
Tangan Shu Yan sudah mencapai buku di atas mejanya itu. Dia membuka perlahan, melihat isi kandungan buku itu. Matanya menatap tetapi fikirannya melayang. Dia tidak tahu perasaan apakah yang perlu ditonjolkan ketika itu. Xiao Hua, isterinya hidup semula selepas 'mati'. Tapi perasaannya penuh kacau bilau. Antara benci dan sayang.
"Andaikan Puteri Yan berubah, adakah tuan muda akan beri peluang kepada dia?" tanya Yuan Zhen penuh minat.
Sebanyak mana benci sekalipun, dia yakin masih ada sayang di hati putera muda itu. Mana mungkin sayang itu hilang dengan begitu sahaja. Sewaktu 'kematian' Xiao Hua, biarpun putera itu tidak mengalirkan air mata tetapi dia tahu hati itu penuh dengan kesakitan. Dia dapat melihat bagaimana puteranya memangku tubuh kaku Xiao Hua waktu itu. Tiada tangisan namun hanya tinggal pandangan yang penuh kasih sayang.
Shu Ya mendongak memandang Yuan Zhen. "Dia pilih jalan yang saya benci. Walau macam mana berubah pun Xiao Hua, dia tetap dah khianati kepercayaan yang saya bagi pada dia."
Terus membisu Yuan Zhen mendengar kata-kata itu. Ternyata putera keempat itu masih lagi dalam kesakitan.
Mata Shu Yan terus menatap pada bukunya. Cukuplah dia memikirkan tentang Xiao Hua. Hatinya terlalu pedih apabila mengenangkan apa yang berlaku sebelum ini. Wu Xiao Hua masih hidup. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan selepas ini. Wajah apakah dia perlu tunjukkan pada wanita itu selepas ini.
Wu Xiao Hua... andai semua itu tak pernah berlaku, kita pasti akan bahagia seperti pasangan lain.
Terima kasih sudi membaca karya saya.
Kalau suka, jangan lupa ADD TO LIBRARY ya. :)