webnovel

BAB 4

" Saya harap awak bersabar menunggu kedatangan saya. Kita berpisah tidak lama, cuti pertengahan tahun nanti saya akan datang ke pangkuanmu".

"Jangan berjanji Iqie. Entah-entah kau akan terpaut dengan kejelitaan orang di sana. Saya tak kisah. Saya tahu, saya sedar siapa saya..." Setiap kali dia merendahkan diri menyebut kekurangan, Haziqrie akan menghalangnya daripada terus bersuara.

Pantas tangan Haziqrie yang beria-ia menyuruh Aein Najla menulis nama negeri kelahirannya untuk penempatan mengajar. Dia sudah berangan dan menganyam masa depan sekiranya mereka bertugas di negeri itu, mudahlah meneruskan perancangan indah untuk hidup bersama. Namun, manusia hanya boleh merancang, Tuhan juga yang menentukan segalanya.

Aein Najla berjaya mendapat tempat mengajar di Batu Rakit, Terengganu, sebaliknya Iqie sendiri telah tercampak ke alamat asing di bumi kenyalang.

"Kita nikah dulu." Haziqrie membuat cadangan tahap menatap surat panggilan melaporkan diri. Tidak tenteram fikirannya. Ternyata nasib tidak berpihak kepadanya. Semua andaiannya jauh meleset daripada jangkaan. Tersasar jauh dari landasan impian.

"Jangan buat kerja gila Iqie. Mana mungkin boleh mengadakan majlis kenduri kahwin dalam masa terdekat yang singkat dan

begini. Keluarga awak pun belum berjumpa dengan orang tua saya untuk merisik atau melamar. Walaupun zaman sudah berubah moden dan canggih, tapi saya tetap mahu ikatan kita dilakukan dengan cara beradat." Aein Najla tidak bersetuju dengan perancangan yang dilakarkan oleh lelaki di hadapannya itu.

Haziqrie menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Betul juga. Memang dia mengakui bahawa dia belum membuat langkah pertama untuk menyunting dara pujaannya itu. Orang tuanya pasti mahu melihat calon menantu terlebih dahulu. Mahu disoal asal keturunan. Perlahan dia melepaskan keluhan. Keluhannya disambut juga daripada Aein Najla. Dia juga mahu proses hubungan mereka direstui oleh kedua-dua orang tua mereka dengan cara yang terbaik.

"Saya anak bongsu, anak perempuan seorang, pastilah kedua-dua orang tua saya mahu mengadakan majlis yang sempurna walau tidak secara besar-besaran. Mereka pasti mahu menjemput semua sanak saudara. Aein Najla berjeda sebentar. Dalam hatinya terkembang anganan. Kalau boleh dia mahu biar seluruh penduduk kampungnya turut hadir ke majlis perkahwinannya.

"Nanti apa pula kata keluarga kita, Haziqrie. Orang kampung saya pula akan membuat persepsi buruk yang keji kiranya kita teburu-buru bernikah. Saya sendiri belum membuka mulut bercerita tentang saya kepada kedua-dua orang tuamu. Mengapa Iqie? Kau seolah-olah tiada kesungguhan mahu memperisterikan aku," sungut Aein Najla meluahkan perasaan kesalnya.

Apabila persoalan itu diajukan, Haziqrie bungkam. Tergamam tanpa penjelasan. Dia sedar amat sukar mahu memulakan bicara kata untuk bercerita atau meminta kedua-dua orang tuanya melamar gadis pujaannya itu. Ibunya yang sering mengutamakan darjat keturunan sesiapa yang bakal menjadi menantu itu. Ibunya itu perlu dijaga hati dan perasaannya. Doktor sendiri telah memberitahunya supaya tidak ada isu panas yang menyebabkan ibunya mengalami gangguan perasaan dan kejutan. Jika keadaan itu berlaku, boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini terjadi kepada ibunya. Paling buruk jika ibunya akan pergi terus menyahut panggilan Ilahi.

"Sabarlah sayang... saya perlukan masa yang bukan sedikit untuk memujuk mama. Harap awak mengerti," keluh Haziqrie berat sesuai menuturkan kata-kata.

"Saya faham keadaan awak. saya pun harap saya bersabar. Tidak lari gunung yang dikejar. Kalau tali ikatan jodoh kuat mengikat kita, kita akan bersama juga. Setahun bukannya lama, Iqie. Sama-samalah kita bersabar." Dalam hati Aein Najla turut berdoa agar istana cinta mereka dapat teguh terbina juga. Biarlah walau lambat mana sekalipun, biar musim berlalu tahun berganti, saya akan setia menanti.

"Gunung memang tak lari, sayang... Saya takut awak yang lari meninggalkan saya. Saya takut awak dikebas orang lain." Dia mencuit hidung Aein Najla.

"Saya akan cuba untuk setia demi keunggulan cinta kita. Tetapi jangan lupa takdir Tuhan. Andai tidak tersurat jodoh kita bersama, awak tidak dapat jua saya miliki. Saya tidak mahu awak menuduh saya curang. Saya harap kita tabah dengan ketentuan Ilahi." Aein Najla bersuara perlahan.

Tetapi hatinya juga berdetik irama kehairanan dan persoalan demi persoalan berlagu dalam fikiran. Mengapa Haziqrie belum membuka langkah permulaan dengan menceritakan tentang jalinan hubungan cinta mereka. Haziqrie juga tidak pernah mengajaknya berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Terengganu itu. Mengapa? Haziqrie seolah-olah tiada kesungguhan untuk melamarnya menjadi permaisuri hidupnya. Rahsia apa yang mahu disembunyikan daripadaku? Misteri sungguh.

Masakan aku yang perlu membuka mulut bertanya semua itu? Persoalan demi persoalan berbaur dan bersarang di kotak minda Aein Najla. Tebal berinci-inci dirasakan mukanya seandainya dia yang membuka mulut bertanya. Tapi jawapan-jawapan itu masih berada di luar tabir mindanya.

"ASSALAMMUALAIKUM..."

Aein Najla bingkas bangun dari perbaringan. Habis punah segala ingatannya akan seraut wajah Haziqrie dan kisah-kisah mereka. Dia segera menuju ke tingkap. Mulutnya menjawab perlahan ucapan salam. Serak suaranya kerana baru bangun daripada tidur.

"Cikgu Aein Najla sudah sihat ke?" kedengaran suara lelaki di luar.

Aein Najla segera menjenguk di jendela. "Oh, Cikgu Daniel. Alhamdulillah, cikgu. Cikgu dari mana?"

"Saya dari sekolahlah, sudah pukul 2.00 lebih ni. Sengaja singgah bertanya khabar. Esok cikgu datang sekolah? Cikgu naik apa? Cikgu Hani kata cikgu naik bas. Betulkah?" Daniel menghujani Aein Najla dengan soalan demi soalan.

Mengapalah lelaki ini begitu ambil berat tentang diriku? Sudahlah semalam dia mengangkatku dan menghantar ke klinik, kemudian hantar pulang ke rumah pula. Baik betul... Ada udang disebalik batukah? Aein Najla tertanya sendiri.

"Insyaallah... Esok saya ke sekolah. Saya memang naik bas. Bas awal, pukul 6.30 ada. Kenapa cikgu?" Tangan Aein Najla masih memegang cermin tingkap. Tidak terlintas dihatinya mahu mempelawa guru itu masuk ke rumahnya.

"Err... saya ni cuma menyampaikan pesanan Cikgu Hanim. Dia menyuruh saya mempelawa cikgu menumpang kereta saya esok. Kalau cikgu tidak keberatan, setiap hari pun boleh. Saya tinggal di kawasan dekat-dekat sini juga. Cikgu kan tidak berapa sihat lagi, nak tunggu bas pagi-pagi nanti kena angin... sejuk, cikgu.

Aein Najla menggaru-garu kepalanya yang bertudung. Segala yang dituturkan oleh guru itu kedengaran ikhlas mempelawa. Akan tetapi, tidak manis dipandang orang kalau mereka berdua-duaan dalam satu kereta. Satu per satu wajah kedua-dua orang tuanya terpamer di ruangan minda. Pesanan orang tuanya masih jelas tertulis di cermin hati agar menjaga nama baik keluarga. Wajah Haziqrie turut muncul. Apa reaksi Haziqrie nanti sekiranya berita itu sampai ke sangkar pengetahuannya? Oh, tidak.

"Terima kasihlah, Cikgu Daniel. Saya tidak dapat terima pelawaan cikgu. Saya takut ada yang salah sangka. Takut memberi persepsi yang tidak baik. Saya naik bas sahaja. Bukan jauh pun. Mintak maaflah ya," ujar Aein Najla begitu berdiplomasi dan mengatur alasan munasabah.

"Cikgu takut buah hati cikgu cemburu?" Sengaja Daniel menyerkap jarang. Namun dalam hatinya berdoa agar anggapannya itu adalah salah dan tidak benar. Akan terputuslah harapannya andai guru baru yang mula bertapak di hatinya itu sudah mempunyai calon suami. Alangkah kecewanya.

"Err...err... bukanlah macam tu." Tergagap-gagap Aein Najla menafikan.

" Saya tunggu cikgu di depan rumah ni pagi esok." Cikgu jangan naik bas. Berebut-rebut dengan pelajar dan pekerja kilang, bahaya cikgu. Saya ikhlas nak tolong cikgu. Nanti bila cikgu sudah betul-betul sihat atau sudah ada kenderaan sendiri, terpulanglah cikgu mahu terus menumpang saya atau tidak." Daniel sudah berpaling menuju ke keretanya. Aein Najla memandang kosong.

SEMPURNAMA sudah masa berlalu. Bulan Februari muncul kini. Aein Najla meneruskan tugas hariannya. Rumah, sekolah... sekolah, rumah. Menghadap wajah pelajar setiap hari. Kemudian pulang ke rumah sewa.

Aein Najla hanya menumpang kereta Daniel seminggu cuma itu pun pada asalnya dia terlewat bangun kerana kesan ubat yang dimakan. Bas yang dikejar, terlepas. Kebetulan saat itu, Daniel sudah setia menantinya. Setelah dia benar-benar sihat, dia kembali menaiki bas. Tidak mahu dia terus berdekatan dan bermesra dengan guru muda itu. Sebenarnya dia takut andai hatinya sendiri akan terpaut dengan ketampanan wajah dan kebaikan budi kepunyaan Daniel.

Daniel yang sejak awal memang mahu memikat Aein Najla terpaksa akur dengan syarat Aein Najla pada hari pertama dia bersetuju menumpang keretanya untuk seminggu sahaja. Aein Najla seumpama merpati yang jinak makan di telapak tangan kanan, tetapi bila mahu ditangkap oleh tangan kiri, ia akan terbang tinggi.

Sudah sebulan juga Haziqrie berada di Sarawak Bumi Kenyalang. Sejak sebulan itu baru sekali dia menelefon. Itu pun sering terputus talian.

Aein Najla mengharapkan lambaian cinta daripada Haziqrie. Namun hampa. Penat sahaja dia menunggu. Secebis berita pun tidak dikirimkan Haziqrie.

Aein Najla masih memikirkan, mungkin dia sibuk dengan tugas yang bersangkutan dengan pelajar-pelajarnya. Entah-entah Haziqrie mengajar jauh di kawasan pedalaman. Dia membuat spekulasi sendiri bagi memujuk hati.

Hampir setiap malam Aein Najla membuka kotak inbox mengharapkan ada e-mel Haziqrie yang masuk ke kotak pesanannya. Namun masih hampa. Jauh dari lubuk hatinya dia tetap berdoa semoga Haziqrie selamat di perantauan. Semoga cintanya masih lagi terpahat di hati untuknya. Ukiran cintanya tetap utuh tersemat di dada.

~Apa khabar kau di sana, kekasihku

Semoga engkau tak lupa padaku

Jangan biarku menunggu, jangan biarku tertunggu

Sepinya di hatiku menunggumu

Serangkap lagu Ramlah Ram bergema di corong radio ketika itu memang sesuai dengan keadaan dirinya.

"Assalammualaikum... Adik! Adik!"

Mendengar panggilan salam dan nama panggilannya dipanggil, Aein Najla berlari ke muka pintu. Ceria wajahnya menyambut orang yang disayanginya. Petang Khamis itu dirasai begitu gemilang dengan kehadiran orang tersayang.