webnovel

Nama Dia Alice (Bahagian 1)

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Dalam perjalanan balik, tahap makhluk-makhluk ajaib yang ditemui Linley semakin rendah. Sebaik sahaja Linley tiba di bahagian luar, semua makhluk yang bertembung dengannya hanya dari tahap tiga dan empat. Ia tidak memberi sebarang ancaman kepadanya. Walaupun begitu, Linley masih tidak berani untuk lalai.

Doehring Cowart mengembara di sisi Linley tetapi dalam fikirannya, dia sedang risau. Sekarang, Linley kelihatan tenang dan stabil. Namun, apabila dia mula menyerang, dia tidak menunjukkan sebarang belas kasihan. Matanya kini terpancar aura yang dingin dan menggerunkan.

Doering Cowart masih ingat ketika lelaki muda ini mula-mula menjejakkan kaki ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, mata Linley penuh dengan keikhlasan. Dia orang yang sangat mempercayai.

Selepas teragak-agak untuk seketika, Doehring Cowart berkata kepada Linley. "Linley."

Sambil berjalan turun dari gunung, Linley berpaling dan melihat ke arah Doehring Cowart. "Ya, Atuk Doehring. Ada apa?"

Doehring Cowart mengangguk sebelum berkata dengan serius, "Linley, sebelum kamu masuk ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, Atuk beri amaran supaya kamu jangan begitu mudah mempercayai seseorang. Niat sesetengah orang tidak begitu mudah untuk kita faham. Atuk mengingatkan kamu supaya sentiasa berwaspada."

Linley mengangguk tanda setuju. "Atuk Doehring, kata-kata Atuk memang betul. Kita tidak boleh terlalu mudah untuk percaya pada orang. Jika saya dengar amaran Atuk tempoh hari, dada saya tak akan ada parut pisau ini."

Doehring Cowart menggelengkan kepalanya. "Walaupun kita patut terlalu percaya kepada seseorang, kita juga tidak boleh terlalu berjaga-jaga. Jika tingkah laku kamu berkekalan seperti ini, bagaimana kamu mahu bergaul dengan orang lain nanti? Ingat, kamu tak boleh terlalu dingin dan kurang peka terhadap perasaan orang lain. Namun dalam masa yang sama, kamu tak boleh percaya membabi buta. Kepercayaan ialah sesuatu yang perlu dibina dalam jangka masa yang lama. Jangan terlalu mudah percaya kata-kata orang lain."

Linley seorang yang sangat bijak. Dia telah banyak membaca buku semasa di Institut Ernst dan sejak dia berada di rumah lagi. Dia faham maksud di sebalik kata-kata Doehring Cowart. Sungguhpun begitu, setelah menempuh kehidupan tanpa simpati selama dua bulan di sini, menjadi saksi kekejaman manusia malah melaluinya sendiri, matanya telah terbuka. Untuk dia mempercayai manusia lagi mungkin sangat sukar.

"Atuk Doehring, saya faham." Linley mengangguk.

Doehring Cowart diam-diam mengeluh, tapi dalam masa yang sama dia juga gembira. 'Nasib baik Linley ada Bebe, Si Tikus Bebayang Kecil ini dan juga kawan-kawannya di Institut Ernst. Sekurang-kurangnya dia tak akan menjadi terlalu tak berperasaan.'

Doehring Cowart masih lagi ingat beribu-ribu tahun dahulu, apabila Empayar Pouant masih lagi kukuh berdiri. Ada seorang pejuang Agung tahap Dewa yang juga selalu berpakaian putih. Lelaki berjubah putih ini ialah seorang Dewa Pedang yang sangat terkenal. Dia juga seorang yang sangat angkuh dan suka menyendiri.

"Atuk Doehring. Jika Ayah tengok semua teras Magicite ini, apa agaknya reaksi dia?" Linley tiba-tiba berpaling ke arah Doehring Cowart sambil tersenyum. Pada ketika ini, mata Linley dipenuhi dengan perasaan yang dahagakan pujian dari ayahnya.

Dia kelihatan seperti seorang budak yang baru mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan dan sedang menantikan pujian dari ayahnya.

"Linley, kamu bercadang untuk memberi semua duit ini kepada ayah kamu?" tanya Doehring Cowart sambil tersenyum.

Linley mengangguk. "Sudah tentu. Semua teras Magicite ini bernilai 70,000 syiling emas. Saya cuma perlukan wang belanja untuk makanan. Beberapa dozen syiling emas setahun tahun sudah memadai. Tetapi Ayah perlu uruskan semua urusan puak kami dan juga perlu sediakan duit pengajian bagi Wharton. Sudah tentu saya akan bagi semua teras Magicite ini kepada Ayah."

Linley tidak mahu menjual sendiri semua teras Magicite ini. Lagipun, dia tiada pengalaman dalam membeli mahupun menjual benda seperti ini. Dia mungkin tidak tahu jika dia ditipu.

"Haha, Atuk percaya Ayah kamu pasti begitu gembira hingga melompat-lompat." kata Doehring Cowart sambil ketawa dengan kuat.

Linley juga tidak boleh menahan daripada turut tersengih. Dia terus mempercepat langkah untuk segera pulang.

Kini, Linley tidak peduli pun untuk membunuh makhluk ajaib tahap tiga dan empat. Dia terus berjalan turun dari pergunungan itu. Apabila sampai ke satu anak sungai, langkahnya terhenti seketika apabila terdengar tempikan kuat dari seekor makhluk ajaib yang bercampur dengan jeritan dari manusia yang sedang bertempur dengannya.

"Hrm? Jika mereka berani masuk ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, mereka sekurang-kurangnya mestilah seorang pejuang tahap lima. Tapi di kawasan ini, makhluk ajaib yang ada hanyalah di tahap tiga atau paling tinggi tahap empat. Jadi mengapa pertarungan mereka sangat lama dan begitu riuh?" Linley ingin tahu.

Jika di kawasan tengah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, makhluk ajaib yang akan muncul selalunya di tahap lima, enam dan kadangkala tujuh. Banyak pertempuran yang kuat akan berlaku. Tapi di kawasan luar begini, ia agak jarang berlaku. Pertempuran selalunya akan berakhir dengan cepat.

Linley melompat tujuh hingga lapan meter ke atas pokok. Kemudian, dia meniti dari dahan ke dahan untuk melihat adegan pertempuran.

Setelah tiba, Linley meninjau pertempuran itu dari kedudukannya di atas pokok.

Dia melihat dua orang lelaki dan dua orang perempuan sedang terlibat dalam pertempuran berdarah dengan Babi Perang Mengerikan. Seorang remaja yang sedang memakai perisai putih sedang menjerit sambil menetapkan arah pertempuran. "Bro Kedua, jangan berlari ke sana ke sini macam orang gila! Lindungi Alice [Ai'li'si']! Saya akan tarik perhatian babi bodoh ini. Niya [Ni'ya], jangan panik. Sasarkan anak panah kamu pada organ pentingnya!"

Keempat-empat orang sangat jelas tidak berpengalaman. Apabila berhadapan dengan bahaya, mereka mula panik. Hanya ketua yang memakai perisai putih sahaja kelihatan boleh diharap.

'Berani betul mereka. Budak yang memakai perisai putih itu mungkin pahlawan tahap lima. Yang lain semuanya cuma pejuang tahap empat, paling tinggi.' Linley menggeleng kepalanya. Mereka bertiga itu memang berani untuk datang ke sini walaupun belum mencapai tahap lima.

Seorang remaja berambut merah mula menjerit cemas. "Abang Kalan [Ka'lan], bukan Abang kata kawasan luar hanya ada makhluk ajaib tahap tiga dan empat? Ini makhluk ajaib tahap lima!"

Kalan, ketua kepada kumpulan itu juga tidak mampu berbuat apa-apa. Sebagai seorang pahlawan tahap lima, ia sepatutnya tidak berbahaya untuk membawa beberapa orang rakan masuk ke kawasan luar Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Tapi dia tidak menyangka mereka akan terserempak dengan makhluk ajaib tahap lima.

*Whooosh!* Lebih daripada sepuluh lembing tanah meletus keluar dari tanah di bawah Babi Perang itu. Tiga daripadanya menembusi tubuh Babi Perang itu, tapi mereka semua patah dan hancur kerana kulit Babi Perang itu yang keras.

*Aummm!*

Babi Perang Mengerikan itu menoleh penuh marah kepada satu-satunya ahli sihir dalam kumpulan itu, sebelum mula meluru ke arah ahli sihir itu dengan laju. Serangan Babi Perang itu begitu menakutkan sehingga percikan api kelihatan terkeluar dari lubang hidungnya. Adegan ini terus menyebabkan remaja lain panik.

"Lari! Alice, cepat elak!" jerit Kalan dengan kuat.

Gadis yang bernama Alice itu mempunyai rambut berwarna emas dan sepasang mata yang redup. Alice yang melihat keadaan berbahaya ini cuba melarikan diri dengan panik. Tapi Babi Perang Mengerikan ini ialah makhluk ajaib tahap lima. Walaupun ia tidak begitu bijak, ia lebih bijak dari binatang biasa.

Babi Perang Mengerikan itu mengejar Alice.

Melihat Babi Perang itu mengejarnya, Alice cuba menyelamatkan diri tetapi tergelincir dan tersadung pada satu akar dan tersungkur mencium tanah. Dia memalingkan kepalanya dan melihat mata berang Babi Perang itu yang semakin menghampirinya. Melihat fizikal Alice yang lemah, Babi Perang Mengerikan itu mampu membunuhnya dengan hanya sekali sondol.

Alice kelihatan begitu takut.

Dua lelaki dan seorang perempuan itu terkesima sepenuhnya, tidak tahu apa yang patut dibuat. Tidak mungkin mereka sempat menyelamatkannya.

"Alice!" Remaja bernama Kalan itu menjerit kuat dengan begitu sesal. Walaupun dia seorang pahlawan tahap lima, dia masih tidak punya banyak pengalaman.

*Deram-derum!*

Tujuh hingga lapan lembing tanah tiba-tiba terpacak keluar dari tanah. Walaupun Babi Perang Mengerikan itu mempunyai kulit yang tebal, dua dari lembing tanah itu berjaya menusuk kulitnya yang tebal masuk ke dalam daging. Darah merah merembes keluar dari luka itu.

Tetapi…

Lembing tanah itu hanya mengenai dagingnya. Ia tidak menyebabkan apa-apa kecederaan kepada organ dalaman yang penting.

*Grrrrrr!* Babi Perang Mengerikan itu mengangkat kepalanya dan meraung sakit.

*Swish!* Satu pisau belati hitam tiba-tiba datang dari atas, menusuk mata Babi Perang itu seperti kilat. Mata Babi Perang itu meletup dan pisau belati hitam itu menikam masuk terus ke otaknya. Seluruh tubuh Babi Perang itu menggeliang-geliut kesakitan sebelum akhirnya terjelepok ke tanah. Tidak lama selepas itu, ia tidak lagi bergerak.

Kalan, Niya dan Alice begitu terkejut sehingga jantung mereka hampir terkeluar dari tubuh mereka.

Mereka melihat seorang pahlawan muda berpakaian biru menggunakan pisau belati hitam mengeluarkan teras Magicite dari Babi Perang itu dengan begitu mahir. Dia kemudian berpaling untuk pergi. Kalan orang pertama dari mereka berempat itu yang tersedar dahulu. Dia kemudian terus menjerit memanggil, "Saudara, sila tunggu!"

Nächstes Kapitel