webnovel

Musim Bunga Berlalu, Musim Luruh Tiba (Bahagian 2)

Redakteur: EndlessFantasy Translation

'Linley, dapatkah kamu merasainya?' Suara lembut Doehring Cowart kedengaran dalam minda Linley.

'Atuk Doehring, saya boleh merasainya. Ada banyak bintik-bintik cahaya rona tanah. Sangat banyak… Terlalu banyak. Gugusannya begitu padat. Ada beribu-ribu, tidak, puluhan ribu. Seratus bintik-bintik cahaya rona tanah terapung baru sahaja melepasi tangan saya.' Apabila dapat merasakan begitu banyak bintik-bintik cahaya rona tanah terapung-apung di sekelilingnya, Linley berasa sangat gembira.

Mendengar berita ini, Doehring Cowart sangat gembira.

'Bagus. Sekarang, perlahan-lahan, ikut arahan Atuk. Jangan fikirkan apa-apa. Jangan bersuara...' Dengung suara Doehring Cowart yang memukau membantu Linley untuk meninggalkan takafurnya. Pada masa yang sama, dia melepaskan kawalannya ke atas intipati tanah. Dengan serta-merta kepadatan intipati tanah di sekeliling mereka kembali normal.

Selepas tersedar daripada takafurnya, Linley merasakan dirinya sangat bertenaga, berbeza daripada sebelum ini. Walaupun dia sudah sedar sepenuhnya, Linley masih dapat merasakan beberapa ayunan daripada intipati tanah yang berhampiran biarpun tidak seketara ketika dia sedang bertakafur.

"Atuk Doehring, saya masih dapat merasakan pergerakan bintik-bintik cahaya rona tanah. Betul! Walaupun sudah tidak begitu jelas sekarang, saya masih dapat merasainya." Linley berasa sangat teruja.

Ini merupakan langkah pertama baginya masuk ke dalam dunia sihir. Linley berasa sangat takjub.

"Apa kamu kata? Kamu masih dapat merasainya?" Doehring Cowart kehairanan kerana ketumpatan intipati tanah kini berada di paras normal tambahan pula Linley tidak lagi bertakafur. Jika dia masih dapat merasai intipati tanah berhampiran walaupun dalam keadaan sedar… Maka daya tarikannya terhadap intipati tanah…

"Kenapa Atuk Doehring senyap saja? Bagaimana kekuatan daya tarikan saya terhadap unsur tanah?" Linley bertanya gementar.

Linley tidak tahu sama ada dia telah melakukannya dengan baik ataupun tidak.

"Bagus. Sangat bagus. Daya tarikan kamu terhadap intipati tanah sangat tinggi." Wajah Doehring Cowart berseri-seri dengan senyuman. "Berdasarkan pengetahuan Atuk, mungkin cuma satu dalam seribu ahli sihir yang mempunyai kekuatan daya tarikan terhadap intipati tanah seperti kamu. Benar."

Jantung Linley berdegup kencang, tidak keruan. Dia terlalu teruja hingga tidak tahu apa yang hendak diperkatakan.

"Tetapi sudah tentu, daya tarikan unsur hanya satu bahagian. Tenaga spiritual ialah bahagian yang paling penting! Jika diberikan masa yang cukup, daya sihir seseorang secara semula jadinya akan diperkukuh. Namun begitu, memperbaiki tenaga spiritual sesuatu yang sangat sukar bagi seorang ahli sihir," kata Doehring Cowart dengan bersungguh.

Linley menarik nafas dalam dan mengangguk.

"Kini, tiba masa untuk ujian kedua, untuk menguji tenaga spiritual kamu." Wajah Doehring Cowart serius ketika memandang Linley.

Linley juga tahu ujian tenaga spiritual ini merupakan suatu yang sangat penting.

"Atuk Doehring, apa yang patut saya lakukan?" Linley memandang Doehring, cuba bersedia dari segi mental.

"Tiada apa-apa." Doehring Cowart ketawa.

"Uh…" Linley terkejut.

"Atuk roh cincin Naga Pusar manakala kamu tuan cincin Naga Pusar itu. Tentulah Atuk dapat merasai kekuatan roh kamu! Tidak perlu ujian untuk mengujinya. Atuk boleh beritahu kamu sekarang juga!" Doehring Cowart tersenyum ke arah Linley.

"Saya... Bagaimana dengan tenaga spiritual saya?" Linley menahan nafasnya.

Kekuatan atau kelemahan tenaga spiritual seseorang menentukan nasibnya.

"Tenaga spiritual kamu sepuluh kali ganda lebih kuat daripada orang yang sebaya dengan kamu." Doehring tersenyum sambil bercakap.

Linley berasa sangat teruja. Sepuluh kali ganda!

Itu bukan angka yang kecil.

Akan tetapi Doehring Cowart meneruskan, "Secara amnya, hanya seorang daripada sepuluh ribu orang yang mampu menjadi ahli sihir terutamanya kerana syarat tenaga spiritual yang tinggi. Syarat paling minimum untuk menjadi seorang ahli sihir ialah memiliki paras tenaga spiritual lima kali ganda lebih tinggi daripada seseorang yang sebaya dengannya. Paras sepuluh kali ganda meletakkan kamu di tengah-tengah kumpulan ahli sihir yang sederhana."

Keterujaan Linley tadi terus luntur.

"Jika orang lain yang melatih kamu, paling tinggi kamu akan menjadi ahli sihir tahap kelima atau keenam. Namun begitu... kerana yang melatih kamu adalah Atuk, situasi sekarang berbeza." Doehring Cowart mengurut janggutnya berpuas hati. Sinar matanya dipenuhi keyakinan.

Linley tiba-tiba tersedar.

Ya, Doehring Cowart adalah Ahli sihir Agung tahap Dewa!

"Asalkan kamu bekerja keras, Atuk amat yakin kamu boleh mencapai tahap kelapan. Tetapi adakah kamu boleh menjadi ahli sihir tahap kesembilan ataupun tahap Dewa? Itu bergantung kepada pemahaman dan pengalaman kamu sendiri," kata Doehring Cowart dengan nada yang serius. "Jika kamu tidak berusaha bersungguh-sungguh, Atuk bimbang kamu tidak akan dapat menjadi ahli sihir tahap keenam. Ketika itu, kamu tidak boleh salahkan sesiapa."

Pengajar sihir yang mahir hanyalah sebahagian daripada proses.

Apa yang lebih penting ialah usaha seseorang itu.

"Atuk Doehring, jangan bimbang. Saya tidak akan menghampakan kamu, ataupun bapa saya ataupun puak Baruch." Ketika itu, minda Linley dipenuhi gambaran batu roh di hadapan dewan pusaka berserta nama-nama termasyhur dan kisah yang diukir di belakangnya.

Untuk mengembalikan kegemilangan puak Baruch!

Dada Linley dipenuhi dengan kehangatan yang mendidih!

"Bagus. Mulai esok, Atuk akan mula melatih kamu." Doehring Cowart memandang ke arah Linley, matanya bersinar. Kini, tubuh Doehring Cowart kembali memancarkan keyakinan diri dan kebanggaan yang dimiliki oleh ahli sihir tahap Dewa!

Mulai esok, Linley akan mula menjalani kehidupan yang sukar dan sangat mencabar.

Dia tidak boleh mendedahkan kewujudan Doehring Cowart kepada bapanya. Setiap pagi dan petang, dia masih perlu menghadiri latihan fizikal. Selepas latihan pagi, dia akan mengikuti sesi pelajaran dengan bapanya mengenai politik, agama, upacara keagamaan, peperangan, geografi, seni… dan pelbagai pelajaran lain.

Hanya pada waktu petang, dahulunya waktu senggang Linley, dia akan berlari ke timur pekan Wushan, bersembunyi di tempat yang sunyi dan mula belajar prinsip asas sihir di bawah tunjuk ajar Doehring Cowart. Dia belajar bersungguh-sungguh ketika tempoh takafurnya untuk menyerap dan memproses daya sihir.

Selain itu, setiap hari selepas makan malam, Linley akan menghabiskan banyak masa untuk bertakafur.

Setiap hari, Linley akan memperuntukkan masa selama enam jam untuk tidur. Masa selebih dihabiskan untuk latihan fizikal, pelajaran intelektual, latihan sihir dan bertakafur. Enam jam waktu tidur setiap hari, sejujurnya tidak mencukupi. Sebenarnya, bertakafur memakan banyak tenaga, lebih memenatkan daripada kehidupan kebanyakan orang. Setiap hari, sepanjang enam jam yang diperuntukkan, Linley pasti tidur dengan lena.

Penuh. Masanya terisi penuh.

Setiap hari berlalu seperti ini, hari demi hari, kemajuan Linley sungguh ketara hinggakan ia bukan hanya sekadar peningkatan, malah satu bentuk transformasi!

Semasa dia sedang bersungguh-sungguh berlatih…

Dia merasai, buat pertama kalinya, kegembiraan apabila berjaya menyerap intipati unsur ke dalam tubuhnya, dan kemudian mengubahnya menjadi daya sihir.

Dia merasai, buat pertama kalinya, berada jauh dalam keadaan takafur sehingga dia hampir tidak sedarkan diri.

Dan dia merasai, buat pertama kalinya, keterujaan melakukan sihir gaya tanah walaupun cuma menghasilkan 'Pancang Bumi' kecil yang hanya setinggi 20 sentimeter.

Kerja keras, hari demi hari…

Usaha dan kepantasan kemajuan Linley membuat Doehring Cowart, seorang ahli sihir berusia lima ribu tahun menghela nafas kekaguman.

Latihan fizikal harian menyebabkan tubuh Linley semakin tegap. Oleh sebab dia kerap bertakafur dan menyerap intipati tanah, Linley menjadi semakin tenang dan tenteram. Perubahan Linley membuat bapanya, Hogg dan juga Hilman kagum dan gembira.

Musim bunga berakhir dan musim luruh pun tiba. Dalam sekelip mata, musim luruh sudah bermula.

Hanya ada sebulan sahaja lagi sebelum hari ujian daya tarikan ahli sihir dan pengambilan kemasukan akan dijalankan.

Di dewan pusaka di dalam manor puak Baruch.

'Uhh... Akhirnya siap juga mengemas. Masa untuk latihan sihir. Semalam, aku berjaya melaksanakan teknik 'Gegaran Bumi'. Ia sangat menakjubkan.' Pada ketika itu, angin Linley sangat baik. Dia segera melangkah keluar dari dewan pusaka lalu menutup pintunya.

Berjalan di atas tangga jubin biru, langkah Linley tegas dan pantas tetapi hanya menghasilkan bunyi lemah.

Ini merupakan kebolehan hampir semua ahli sihir unsur tanah. Oleh sebab kuasa mereka berasal dari bumi, mereka dapat menutup hampir semua bunyi langkah mereka.

"Eh?" Linley berkerut.

Telinganya mengerenyet ketika dia menoleh dan merenung ke arah bangunan yang jauh dari situ. 'Aku terdengar sesuatu?' Dia melangkah secara diam-diam ke arah itu. Langkahnya hampir tiada bunyi. Selalunya semasa berjalan seperti biasa, dia boleh menutup bunyi langkahnya. Kini dia sengaja mahu menyembunyikannya jadi semakin kurang bunyinya.

Langkahnya semakin mendekati, langkah demi langkah.

Apabila Linley sampai ke pintu bangunan tersebut, dia mengintai ke dalamnya…

'Apakah itu?' Mata Linley terbuka luas.

Dia nampak seekor tikus hitam sepanjang 20 sentimeter sedang mengunyah seketul batu runtuhan. Dan dalam sekelip mata, tikus hitam itu muncul 10 meter jauhnya di arah yang berbeza dan mula menggigit sekeping jubin biru. Bulu tikus hitam itu kelihatan sangat lembut. Matanya nampak naif dan kakinya berbulu. Dalam kata yang lain, ia sangat comel.

Ia juga melompat hanya menggunakan dua kaki belakangnya untuk bersuka-suka.

'Comel sungguh tikus itu. Dan ia sangat pantas!' Bersembunyi di belakang pintu, Linley teruja dalam diam.

Kebanyakan tikus tidak akan mencapai saiz sebesar itu dan kebanyakannya tikus ialah makhluk yang menjijikkan. Akan tetapi tikus itu kelihatan comel pula. Matanya seolah-olah penuh makna, seakan-akan boleh bercakap. Yang paling penting… ia sangat pantas.

'Pantasnya… Saya yakin Pak Cik Hilman, pahlawan tahap keenam, juga tak mampu menangkapnya. Bagaimana ia boleh begitu pantas?' Melihatkan tikus comel itu bergerak 10 meter jauhnya dalam sekelip mata, Linley semakin kagum.

Doehring Cowart keluar dari cincin Naga Pusar. Sambil berdiri di sebelah Linley, dia agak terperanjat melihat tikus hitam itu. "Makhluk ajaib, seekor Tikus Bebayang? Berdasarkan saiznya, bayi Tikus Bebayang."

"Makhluk ajaib? Seekor Tikus bebayang? Ia sangat besar! Tak mungkin ia masih bayi." Linley melihat Doehring dengan wajah yang terkejut.

Ini kali pertama Linley melihat makhluk ajaib selain daripada makhluk ajaib Lembu Penghisap Darah, Griffin, naga Veloci dan Naga Hitam yang pernah dilihatnya. Tikus hitam yang comel itu sebenarnya makhluk ajaib? Makhluk ajaib dengan kebolehan sihir?

Nächstes Kapitel