webnovel
avataravatar

Bukan Seseorang Yang Mudah Ditentang

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Chengwu merasakan dunia seakan berputar.

"Ayah-" Jerit Xia Zhi sambil berlari menyambut Chengwu sebelum dia terjatuh.

Chengwu kelihatan pucat dan matanya tidak fokus.

Xinghe mendekati mereka dan memberi arahan. "Xia Zhi, panggil ambulans."

"Baiklah." kata Xia Zhi dengan suara terketar-ketar. Ketika dia mengeluarkan telefonnya untuk memanggil ambulans, Xinghe cuba untuk menyedarkan Chengwu.

Dia tiada pengetahuan mengenai bantuan kecemasan, tapi dia membaringkan Chengwu di atas sofa, berharap tindakan itu boleh melancarkan pernafasannya.

Tuan tanah dan orang ramai terkejut dengan kejadian itu.

Orang ramai perlahan-lahan beransur pergi kerana takut mereka akan dikaitkan dengan perkara yang buruk jika apa-apa yang serius terjadi kepada Chengwu.

"Ini tiada kaitan dengan saya, saya tak sentuh dia pun. Dia yang pengsan sendiri," tuan tanah itu berkata sambil terburu-buru pergi.

Xinghe mengangkat kepalanya dan memberikan renungan tajam kepada tuan tanah itu. Renungan itu menghentikan langkahnya.

Tuan rumah itu berkata, "Saya dah cakap saya tiada kaitan, jangan nak salahkan saya pula!"

"Kalau kamu pergi sekarang, saya bersumpah akan menggunakan seluruh kudrat tenaga yang saya ada untuk membawa kamu ke mahkamah. Pergi lah kalau berani." Xinghe berkata dengan senyuman. Nada ramah suaranya terasa mengerikan dengan ugutan itu.

Tuan tanah itu masih hendak melawan tetapi Xinghe sudah memalingkan wajahnya.

Tergamam, dia cuma berdiri di situ, kaku dengan amaran Xinghe.

Setelah ambulans sampai dan mengusung Chengwu ke dalam, Xinghe melangkah ke arah tuan tanah.

Melihat wanita kecil dan kurus di hadapannya, tuan tanah mendengar kata hatinya berkata wanita ini tidak patut ditentang.

Kemudian, dia berfikir dua kali. Dia lebih baik daripada segi fizikal berbanding Xinghe, boleh sahaja dia mencekik wanita itu dengan sebelah tangan, jadi kenapa merasa begitu takut terhadapnya?

Sebelum sempat berbuat apa-apa, Xinghe membuka mulut untuk bertanya, "Siapa yang arahkan kamu berbuat begini?"

"Apa?" tuan tanah itu terperanjat.

Xinghe tiada masa untuk berputar belit jadi dia terus mengulang soalannya tadi, "Bagitahu saya siapa yang mengarahkan kamu untuk menghalau kami dari rumah ini dan saya akan lepaskan kamu. Kalau tidak kita akan berjumpa di mahkamah."

Wanita ini tidak bergurau. Dia bukan setakat menggertak. Inilah yang dirasakan oleh naluri tuan rumah. Dia rasa lebih baik untuk berkata benar.

Walaupun sudah dinasihati untuk tidak mendedahkan identiti dalang sebenar tetapi jelas sekali bahawa Xinghe tidak akan melepaskannya jika dia tidak memberitahu nama dalang tersebut.

Dia berfikir masak-masak terlebih dahulu dan membuat keputusan yang tidak berbaloi baginya dikenakan tindakan undang-undang untuk kesalahan orang lain.

Tuan tanah itu mengangkat bahu dan berkata, "Seorang perempuan yang memberikan saya wang untuk menghalau kamu sekeluarga. Saya tidak tahu apa-apa tentang dia kecuali nama keluarganya Wu."

Wu Rong!

Nama yang terus terlintas di minda Xinghe. Dia memang sudah merancang untuk menguruskan perempuan keji itu namun Wu Rong terlebih dahulu menemuinya.

'Memandangkan dia begitu mahukan kematian awal, saya akan berikan kepadanya!'

Xinghe berpusing dan terus menaiki ambulans. Tuan tanah itu pun menghembuskan nafas lega.

Di hospital, Xia Zhi dan Xinghe diberitahu bahawa Chengwu tidak menghadiri dua sesi dialisis.

Rupa-rupanya dia menyimpan wang daripada kos perubatannya sendiri untuk membiayai perubatan Xinghe.

Penyakitnya melarat dan mereka hampir kehilangannya.

Doktor menjelaskan dalam nada yang sendu, "Situasi pesakit sudah pun stabil tapi dia takkan dapat bertahan lama tanpa pembedahan secepatnya. Nasib baik, ada satu kekosongan. Jadi dengan persetujuan kamu, kami akan jadualkan pembedahannya dilakukan esok."

"Doktor, berapa kos pembedahan itu?" Xia Zhi bertanya dengan hati yang berat.

Nächstes Kapitel