webnovel

Kau Ada Wang Sebanyak Itu?

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Yu Lili merasakan hari ini ialah hari yang teruk. Bukan sahaja dia diarah sesuka hati oleh Xu Jing untuk mengambilkan laptopnya, malah dia turut dilanggar kereta. Tidak cukup dengan itu, dia bertemu pula dengan Ou Ming…

Kehidupan sememangnya begini. Sekali kamu bernasib malang, semuanya akan mula menjadi buruk. Yu Lili kelihatan teruk dengan balutan di sana sini. Apabila dia kembali ke syarikatnya, pengawal-pengawal di situ memandangnya. Salah seorang di antara mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Yu Lili. Melihat keadaan wanita itu, dia segera mendekatinya dan bertanya dengan nada terkejut, "Apa yang berlaku kepada kamu? Ya Tuhan, tengoklah keadaan kamu!" Dia tidak berani menyentuh Yu Lili walaupun berada di sebelahnya.

Yu Lili tersenyum. "Kenapa buat muka begitu? Kamu tak pernah tengok mangsa kemalangan macam saya?"

"Tak mungkin, kamu pergi ambilkan laptop untuk Xu dan kemalangan?"

"Janganlah sebut!" Yu Lili kelihatan kecewa. "Laptop tu dah rosak dan orang yang langgar saya belum bayar. Nanti saya ceritakan kepada kamu."

Pengawal itu kelihatan bersimpati. "Lili, lihatlah kamu. Jangan naik. Xu itu sangat panas baran. Tak mungkin dia akan faham hanya disebabkan kamu cedera. Hmm… apa kata saya yang naik dan jelaskannya bagi pihak kamu?"

"Tak perlu. Buat kerja kamu saja. Pergilah." Yu Lili melambaikan tangan lalu bergegas masuk ke dalam bangunan syarikatnya.

Bau ubat pada lukanya menarik perhatian ramai orang. Sebaik melihat keadaannya, terdengar suara di sana sini bertanya, "Apa yang terjadi kepada kamu?" Yu Lili hanya tersenyum dan masuk ke dalam.

Dia tiba di pintu bilik Xu Jing lalu menekan loceng sebelum masuk. Xu Jing sedang memarahi seorang pekerja baru. Yu Lili telah bekerja di Shengfeng selama hampir satu tahun. Xu Jing ialah ketua jabatan yang terkenal sebagai 'harimau betina'. Dia amat garang. Seseorang pernah berhenti kerja hanya disebabkan kata-kata yang dilemparkan Xu Jing. Walaupun Yu Lili agak popular di kalangan rakan sekerjanya di jabatan itu, Xu Jing tidak pernah menyukainya. Sebab utamanya ialah kecantikan Yu Lili.

Sebagai seorang wanita berumur 30-an yang kaya, Xu Jing sudah lama berkahwin. Di rumah dia turut berkuasa ke atas suaminya. Kira-kira dua minggu lalu, suaminya datang menjemputnya pulang daripada kerja. Ketika itu suaminya memandang Yu Lili berkali-kali sehingga akhirnya ditampar oleh Xu Jing di hadapan ramai orang. Sejak hari itu, Xu Jing telah menggunakan pelbagai cara untuk mencari salah Yu Lili.

Yu Lili berasa amat takut sehingga tidak lagi memakai solekan. Walau bagaimanapun, tindakan Yu Lili tidak membuatkan Xu Jing mengubah sikapnya. Malah semakin hari dia semakin rancak mencari salah Yu Lili. Yu Lili melepaskan keluhan berat lalu berjalan terdengkot-dengkot ke dalam bilik pejabat itu. "Puan Xu."

Xu Jing berpaling dan melihat keadaan Yu Lili lalu berkata sinis, "Oh, bunga jabatan kita rupanya, Yu Lili. Apa yang berlaku? Kenapa kamu begitu?" Cemburu, nada suaranya tidak lepas daripada berbaur cemburu.

Yu Lili tunduk dan berkata, "Waktu dalam perjalanan balik dari kedai laptop, saya dilanggar kereta."

Xu Jing kelihatan terkejut lalu terus bertanya, "Laptop itu macam mana?" Yu Lili berasa tidak gembira. Wanita ini langsung tidak bertanya keadaannya dan hanya bertanya tentang laptop itu?

"Laptop itu… dilanggar kereta."

Riak wajah Xu Jing terus berubah. "Tak mungkin! Kau tahu tak betapa mahalnya laptop itu! Ia berharga 120,000! Kau ada wang sebanyak itu?!"

Nächstes Kapitel