webnovel

Dia Tidak Tahu dan Tidak akan Pernah Tahu

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Sejak dahulu lagi Lu Yihan sentiasa hanya terlibat dengan bidang IT. Walaupun syarikatnya berkembang pantas dengan dibantu rakannya, mustahil Lu Yihan akan masuk ke bidang hartanah. Adakah lelaki itu terlibat dengan hartanah secara sembunyi demi membantunya dan syarikat LS? Adakah disebabkan itu… Lu Yihan memilih untuk membantunya secara senyap-senyap berbanding memberitahunya secara berhadapan? Semakin Su Qianci memikirkannya, perkara itu semakin kelihatan tidak mustahil. Walau bagaimanapun, Su Qianci berasa semakin kecewa apabila merasakan kemungkinan sangkaannya itu benar.

Sejak bertahun-tahun lalu, Su Qianci sangat tahu bagaimana Lu Yihan telah melayannya. Malah orang-orang di sekelilingnya turut mula memujuknya untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama Lu Yihan. Kata mereka, tiada gunanya menanti orang yang sudah tiada untuk kembali. Walaupun Lu Yihan tidak pernah menyuarakan pendapatnya mengenai perkara itu, Su Qianci tahu dia sanggup menerimanya, malah lebih daripada sanggup.

Tetapi mana mungkin dia…

Semakin baik layanan Lu Yihan terhadapnya, Su Qianci berasa semakin kecewa. Dia mahu bersembunyi dari lelaki itu. Jika tidak, apabila Li Sicheng kembali nanti, apa pula yang difikirkan suaminya itu? Tetapi L… Jika L benar-benar ialah Lu Yihan, dia tidak mungkin akan dapat membalas budinya. Ketika Su Qianci sedang kebingungan, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Su Qianci bangun dari katil dan pergi membuka pintu.

Li Jinnan sedang berdiri di hadapan pintu dengan berpakaian biasa dan tampak keletihan. Sebaik melihat Su Qianci, dia kelihatan lega lalu bertanya, "Apa yang berlaku?"

"Mari kita bercakap di ruang tamu." Su Qianci menolak Li Jinnan perlahan dan menutup pintu di belakangnya. Walaupun Li Jinnan adik iparnya dan bapa saudara kepada anak-anaknya, tidak manis untuk mereka berdua-duaan.

Li Jinnan yang faham dengan tindakan Su Qianci mengangguk, kemudian menyedari Su Qianci tidak memakai selipar. "Kakak ipar."

"Ya?" Su Qianci berpaling.

"Selipar."

"Tak perlu…"

"Kalau Abang lihat, dia mesti sedih."

Su Qianci menundukkan kepalanya sebaik mendengar kata-kata itu. Kemudian dia terus turun ke ruang tamu dengan suara yang sebak, "Dia tak akan lihat."

Li Jinnan hanya memandang belakang Su Qianci tanpa berkata apa-apa. Jauh di dasar hatinya, ada perasaan sayang yang tersembunyi. Bukan sahaja Li Sicheng, tapi ada orang lain akan turut sedih. Cuma Su Qianci tidak tahu dan tidak akan pernah tahu.

Su Qianci duduk di sofa sambil memegang telefon bimbitnya dengan bahu yang kelihatan bergetar. Kemudian dia membuka satu aplikasi dan memainkan rakaman rahsia di dalamnya lalu menghulurkan fon kepala kepada Jinnan. Mata Su Qianci dipenuhi rasa takut dan tidak berdaya.

Li Jinnan mengambil fon kepala itu sambil cuba menenangkan Su Qianci. "Jangan panik, bertenang."

Su Qianci mengangguk dan duduk dengan diam. Li Jinnan duduk berhadapan dengannya dan memakai fon kepala itu. Jeritan kesakitan dan rintihan seorang lelaki serta ketawa yang menggila seorang wanita membuatkan matanya berubah dingin.

Su Qianci menutup mulut dan jari kakinya mengerekot dalam kengerian. Kepalanya membayangkan pelbagai jenis penyeksaan yang mungkin sedang dihadapi Li Sicheng. Susuk tubuh suaminya yang tinggi dan tampan bertembung dengan bayangannya tentang rupa seorang penagih dadah… Dia tidak dapat membayangkannya…

Selepas lebih setengah jam, barulah Li Jinnan selesai mendengar segalanya.

Su Qianci sudah tidak sabar. Sebaik melihat Li Jinnan menanggalkan fon kepala itu, dia meletakkan tangannya di atas meja kopi di hadapan mereka dan memandang adik iparnya itu. "Dia sedang diseksa oleh Tang Mengying. Mari kita pergi cari dan selamatkan dia, okey?"

Li Jinnan memandang Su Qianci dan bertanya perlahan, "Apa bukti yang ada selain ini?"

Nächstes Kapitel