webnovel

Masuk ke Dalam Kereta

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Su Qianci berjalan ke arah kereta itu dan tingkapnya diturunkan perlahan-lahan. Dia melihat wajah Li Sicheng yang dingin seperti biasa… Dia tidak dapat menahan dirinya daripada merenung lelaki itu.

Li Sicheng menoleh ke arahnya dengan pandangan yang tajam dan dingin. Seolah-olah perhatiannya terganggu. Su Qianci sengaja berpaling ke arah lain dan mahu berjalan melepasi kereta itu. Namun Li Sicheng menghalang jalannya dengan keretanya.

"Masuk." Li Sicheng mengarahkan dengan tegas. Suaranya dalam dan membuatkan hati Su Qianci sedikit terpesona. Li Sicheng memandangnya dan berkata, "Atuk suruh kamu balik ke rumah lama untuk makan malam."

Atuk… Su Qianci menjuihkan bibirnya sambil membuka pintu sebelah pemandu dan masuk. "Mari pergi."

Li Sicheng merenungnya dengan lebih mendalam. Su Qianci yang menyedari renungan itu berasa agak gementar, tetapi dia cuba berlagak tenang dan memandang ke hadapan sambil menggenggam tali beg galasnya. Tiba-tiba, Li Sicheng merapatkan wajahnya dan membuatkan hampir tiada jarak antara mereka. Su Qianci terkejut dan mengundurkan badannya. Dia menoleh dan melihat mata Li Sicheng yang dingin seakan tasik waktu musim sejuk. Su Qianci menahan nafasnya tanpa sedar dan merenung Li Sicheng kembali.

Li Sicheng melihat isterinya itu menggeletar seolah-olah di hadapannya ialah musuh. Dia menyangka hatinya telah tidak dapat merasai apa-apa setelah dia menyibukkan diri dengan kerja, tetapi sekarang ia terasa seolah dipukul dan teramat sakit. Adakah dia begitu menakutkan pada mata isterinya? Dia tidak mampu memahami bagaimana dirinya yang tergambar dalam fikiran Su Qianci.

Su Qianci terkejut dan tersentuh apabila melihat pandangan Li Sicheng berubah sedih. Walau bagaimanapun, Li Sicheng telah kembali duduk di tempatnya sebelum sempat dia meneliti apa yang difikirkan suaminya itu. Mereka kembali ke rumah lama tanpa bercakap sepatah kata di dalam kereta. Disebabkan tiada antara mereka yang memulakan perbualan, keadaan di dalam kereta itu sangat sunyi dan janggal. Mereka tiba di rumah lama pada jam enam petang, iaitu waktu makan malam.

Liu Sao sedang menyiapkan meja makan ketika dia melihat Li Sicheng masuk. Dia terkejut dan segera memanggil, "Kapten Li, Tuan Sicheng dah datang."

Kapten Li berjalan keluar dengan tongkatnya dan bersedia untuk memarahi Li Sicheng. Walau bagaimanapun, kemarahannya terus hilang sebaik melihat Su Qianci di belakang cucunya. Kapten itu mendengus dan berjalan menghampiri pasangan itu.

Su Qianci memaut lengan Kapten Li dan bertanya, "Atuk, Atuk nak jumpa saya?"

"Atuk nak jumpa kamu berdua sebenarnya," jawab Kapten Li dengan nada kecewa. "Mari makan malam dulu."

Qin Shuhua berjalan keluar dan sengaja merenung pasangan itu. Li Xiao yang jarang berada di rumah berasa gembira melihat anak dan menantunya. Dia menyiku isterinya dengan lembut dan berkata, "Ayuh makan sekarang."

Keluarga itu duduk di meja makan dan Kapten Li duduk di kerusi utama seperti biasa. Dia mengambil semangkuk nasi daripada Liu Sao sebelum memandang Li Sicheng dan bertanya, "Di mana kamu cakap nak buat majlis perkahwinan kamu?"

Majlis perkahwinan… perkataan itu seolah-olah sudah lama tidak didengari mereka. Su Qianci terhenti sebaik mendengar soalan itu dan menoleh ke arah Li Sicheng. Suaminya itu hanya menunjukkan wajah tiada perasaan dan memandangnya sekilas sebelum menjawab perlahan, "Saya dah lupa."

Su Qianci merasakan hatinya bagai ditikam.

Nächstes Kapitel