webnovel

Sangat Besar dan Hebat

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Tang Mengying sedang duduk di atas katilnya dengan tingkap yang terbuka. Dia memilih gambar-gambar yang baru diambilnya dan menghantarnya kepada Su Qianci.

Kelas pertama sesi petang baru sahaja bermula. Telefon Su Qianci berdering tanpa henti ketika pensyarahnya melangkah masuk. Dia berasa malu dan segera meminta maaf sebelum meletakkan telefonnya dalam mod senyap. Telefonnya terus bergetar dan Su Qianci melihat dia sedang menerima beberapa gambar.

Gambar-gambar itu dihantar oleh Tang Mengying.

Su Qianci langsung tidak ingin melihatnya. Ketika dia mahu meletakkan telefon itu ke dalam beg dan fokus kepada kelas, satu mesej muncul pada skrin: Lihat, ini hadiah daripada Abang Sicheng…

Dahi Su Qianci berkerut dan dia menekan mesej itu. Mesej penuh terpapar: Lihat, ini hadiah daripada Abang Sicheng. Rumah yang sangat besar dan hebat…

Su Qianci melihat lebih 20 gambar yang dihantar itu. Ia rumah di Jiang Zhou, iaitu tempat Atuk meninggal pada kehidupannya yang lalu. Rumah itu sememangnya kepunyaan Li Sicheng. Selepas perceraian mereka pada kehidupan lalu, rumah itu telah diberikan kepadanya sebagai sebahagian daripada alimoni. Tetapi kenapa sekarang Li Sicheng memberikan rumah itu kepada Tang Mengying?

Ketika Su Qianci sedang keliru, telefonnya bergetar lagi. Mesej daripada Tang Mengying muncul: Pergi dulu. Abang Sicheng dah datang untuk jumpa saya [emoji senyum] [emoji nakal]

Wajah Su Qianci berkerut sebaik melihat mesej itu. Li Sicheng ada di situ untuk berjumpa Tang Mengying? Sekarang? Bukankah lelaki itu ke trip perniagaan?

Su Qianci membalas: [emoji senyum]

Dua minit kemudian, Tang Mengying membalas mesejnya dengan gambar swafoto. Tang Mengying kelihatan pucat di dalam gambar itu kerana sedang mengandung. Walau bagaimanapun, bibirnya mengukir senyuman lebar. Wajahnya dari sisi kelihatan cantik. Di belakang Tang Mengying, kelihatan satu susuk tubuh tinggi yang dikenali Su Qianci. Li Sicheng sedang tunduk meneliti dokumen-dokumen di hadapannya dengan wajah dingin seperti biasa, kelihatannya sedang bekerja. Bahagian belakangnya menghadap kamera, bermakna Tang Mengying mengambil swafoto itu secara sembunyi di belakangnya.

Melihat daripada hiasan dalaman dan latar belakang rumah itu, ia benar-benar menunjukkan gaya Li Sicheng. Ia juga langsung tiada beza daripada rumah yang diduduki Su Qianci selepas mereka bercerai pada kehidupannya yang lalu. Su Qianci menggenggam telefonnya dengan kuat dan melihat lelaki di dalam gambar itu dengan rasa tidak percaya.

Ini… Li Sicheng… Bukankah dia perlu ke trip perniagaan? Bukankah dia sepatutnya sedang berada dalam kapal terbang sekarang? Kenapa dia boleh ada di rumah di Jiang Zhou? Kenapa dia ada bersama Tang Mengying?

Fikiran Su Qianci terus bercelaru sepanjang kelasnya. Sebaik sahaja kelas itu berakhir, dia terus menelefon Li Sicheng, malangnya telefon lelaki itu sedang dimatikan.

Kemudian dia terus menelefon Cheng You yang segera menjawab panggilannya. "Helo, Puan Li."

Su Qianci diam seketika sebelum berkata, "Cheng You, saya nak tanya sesuatu dan saya harap kamu boleh jawab dengan jujur."

Kebiasaannya, ayat itu tidak diiringi dengan berita baik. Cheng You menjawab, "Baiklah."

"Di mana Encik Li?"

Cheng You terus mempunyai firasat yang buruk. Kenapa dia merasakan seolah-olah Su Qianci telah mengetahui kesemuanya? Walau bagaimanapun, setelah berfikir, Cheng You menjawab sebagaimana yang sepatutnya, "Dia ke Amerika Syarikat untuk mesyuarat selama beberapa hari. Sekarang dia sepatutnya dalam penerbangan."

"Betul?"

Cheng You berasa semakin bimbang. Walau bagaimanapun, sebagai seorang pembantu profesional, dia menjawab dengan tenang, "Betul."

"Okey, terima kasih."

Su Qianci memutuskan talian dan berasa semakin berserabut. Fikirannya dipenuhi dengan satu perkara: Li Sicheng telah berbohong kepadanya…

Nächstes Kapitel