webnovel

Ada Saya Cakap Saya Akan Pergi?

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Pegawai polis itu tidak memanggilnya Cik Su, tetapi Puan Li. Su Qianci agak terkejut. Sangkaannya Liu Anan akan dikeluarkan sejurus selepas dia ditangkap. Su Qianci tidak tahu Li Sicheng telah mempunyai pengaruh sedemikian dalam kalangan polis pada umur semuda itu.

Su Qianci tersenyum dan berkata, "Saya akan menghantar peguam saya. Ini adalah kes fitnah. Kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu rasa betul. Terima kasih." Dia tidak menyatakan apa-apa niat dengan perkataannya. Walau bagaimanapun, polis itu bukan seorang bodoh dan segera memahami maksudnya. "Baiklah, terima kasih, Puan Li."

Kurang dari sepuluh minit, dia menerima panggilan lagi. Nama yang sangat dikenali, Tang Mengying.

Ia sudah bermula.

Su Qianci menjawab panggilan itu dan bersandar sambil melihat pandangan di luar tingkap. Dia hanya diam. "Su Qianci, apa yang kamu cuba lakukan?" Tang Mengying memulakan percakapan dengan soalan.

"Saya tidak faham apa yang kamu maksudkan."

"Apa yang saudara saya telah lakukan kepada kamu? Kamu akan menghancurkan hidupnya."

Tang Mengying dan Liu Anan tidak rapat, tetapi mereka masih berhubungan baik. Apabila Tang Mengying menghantar seseorang untuk membantu Liu Anan keluar, polis memberitahu mereka tidak boleh berbuat demikian. Tang Mengying berasa sangat marah disebabkan hal itu. Jika tiada sesiapa yang mengarahkan polis tersebut, tidak mungkin mereka akan mengambil risiko untuk menganggu keluarga Tang dengan menahan Liu Anan. Li Sicheng pasti tidak akan menghabiskan masanya untuk perkara sebegitu, maka Tang Mengying terus terfikirkan Su Qianci.

Su Qianci ketawa kecil dan bertanya, "Ketika kamu mengkhayalkan saya dan suami saya, ada kamu terfikir yang kamu akan memusnahkan hidup saya?" Dalam kehidupan Su Qianci yang lalu, apabila Tang Mengying memberitahu semua orang Su Qianci seorang pelacur, ada dia terfikir itu akan menghancurkan hidup Su Qianci? Dalam kehidupan itu juga, Tang Mengying telah menghubungi sekumpulan pemuja untuk menculik Li Sicheng dan hampir membuatkan lelaki itu terbunuh. Akhirnya Su Qianci yang menyelamatkannya, tetapi Tang Mengying telah membuat semua orang percaya Su Qianci ialah penculiknya. Pada masa itu, ada Tang Mengying terfikir ia akan menghancurkan hidup Su Qianci?

Pada kehidupan itu juga, Tang Mengying telah mendorong Puan Tang untuk mengenakan Su Qianci di hadapan ramai. Ada dia terfikir ia akan menghancurkan hidup Su Qianci? Walaupun dalam kehidupan ini perkara-perkara tersebut belum berlaku, Su Qianci akan mengingati segala kejadian itu buat selama-lamanya. Su Qianci akan mendapatkan kembali apa yang sepatutnya menjadi miliknya. Sekarang, Tang Mengying cuba menyalahkan Su Qianci untuk segala-galanya dan cuba menjadikannya kelihatan wajar.

"Mari berjumpa saya di kafe di Jalan XX. Saya ada sesuatu mahu tanya kepada kamu." Setelah mengatakan itu, Tang Mengying mematikan panggilan.

Su Qianci yang masih memegang telefonnya tidak memberi perhatian terhadap kata-kata itu dan terus berehat. Su Qianci menggunakan pembesar suara, jadi pemandu Yang turut mendengar kata-kata Tang Mengying.

Sambil memandang Su Qianci melalui cermin pandang belakang, Yang bertanya, "Puan, kita sudah melepasi kafe. Puan mahu saya pusing semula?"

Su Qianci membuka mata dan tersenyum, "Ada saya cakap saya akan pergi?"

Yang terdiam, tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

Benar, Su Qianci tidak menyatakan akan pergi. Walau bagaimanapun, bukankah dia selalu mengikuti arahan Tang Mengying? Tang Mengying ialah kawan lama Encik Li. Adakah ia tindakan bijak untuk tidak menghiraukannya?

Yang ingin mengatakan sesuatu, tetapi Su Qianci telah menutup matanya seolah-olah dia telah tidur. Qu Qianci membisu, dan tidak ada cara untuk Yang memahami apa yang sedang difikirkannya. Wanita itu kelihatan agak berbeza.

Nächstes Kapitel