webnovel

Su Qianci dan Anjing Tidak Dibenarkan Masuk

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Setelah memberi bayaran dengan rasa berat hati, Tang Mengying mendapati Su Qianci terus menang untuk beberapa pusingan yang seterusnya. Apa yang paling penting, Su Qianci telah memilih Tang Mengying untuk dikalahkan secara khusus.

"Saya tidak mahu bermain lagi. Qianci asyik menang apabila suaminya ada di sini. Tiada peluang untuk saya," kata salah seorang wanita di situ.

"Betul. Saya juga berhenti. Saya akan pergi bergosip dengan Shuhua," kata seorang lagi.

Setelah permainan tersebut ditamatkan, Su Qianci menyedari dia telah memenangi semula majoriti wang yang dia telah kalah. Berasa lega, dia gembira kerana tidak mengalami kekalahan yang banyak. Dia berpaling ke belakang dan tiba-tiba melihat ke dalam mata Li Sicheng. Su Qianci tidak pernah melihat sepasang mata seperti itu. Ada kegelapan di dalamnya seperti dakwat yang paling hitam, tetapi ia juga amat terang.

Hari telahpun malam. Dia kelihatan sangat tampan di bawah cahaya lampu rumah. Tidak kira berapa kali pun dia sudah melihatnya, Su Qianci masih tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada wajah suaminya itu. Namun, dia tiba-tiba teringatkan kata-kata terakhir suaminya itu terhadap dirinya pada kehidupan yang lalu : "Su Qianci dan anjing tidak dibenarkan masuk". Dia terus menunduk dan berkata dengan cepat, "Saya akan berikan duit ini kepada ibu." Selepas berkata demikian, dia terus beredar. Li Sicheng mengecilkan matanya sekali lagi melihat isterinya itu melarikan diri.

Puan Li tidak pernah suka untuk menyambut hari lahirnya secara besar-besaran. Hari tersebut berlalu dengan beberapa orang kawan datang bermain mahjung dan bersembang. Setelah menghantar kesemua tetamu yang hadir pulang bersama dengan Puan Li, Su Qianci berasa sungguh letih dan hampir sahaja pitam.

Sejurus sampai di biliknya, dia terus mandi. Ketika menanggalkan pakaian, dia teringatkan peristiwa semalam apabila melihat kesan di leher dan pangkal bahunya. Dia masih berasa sedikit sakit pada bahagian intimnya. Su Qianci menggosok kulitnya dengan kuat, cuba untuk menghilangkan tanda pada lehernya. Namun, usahanya sia-sia kerana tanda tersebut tidak sedikitpun pudar sama sekali.

Pada kehidupannya yang lepas, Li Sicheng yakin dirinya telah dikhayalkan oleh Su Qianci. Dia lebih rela tidur di bilik tetamu daripada tidur bersama-sama dengan isterinya. Keesokan harinya, dia telah balik ke rumahnya sendiri dan hidup berasingan dengan Su Qianci sejak dari itu. Kesemuanya ialah perancangan Tang Mengying. Namun, Su Qianci langsung tidak tahu apa-apa. Su Qianci menerima 'pertolongan' Tang Mengying untuk memenangi semula hati Li Sicheng, tanpa mengetahui setiap 'tips' yang Tang Mengying berikan kepadanya telah membuatkan Li Sicheng semakin jauh daripadanya. Salah faham di antara mereka kian menebal, dan Li Sicheng semakin tidak menyukai Su Qianci. Apabila Su Qianci menyedari perkara yang sebenarnya, ia sudah terlambat.

Su Qianci menarik nafas yang dalam dan mengeringkan dirinya, tetapi mendapati dia tidak membawa pakaian untuk disalin di dalam bilik mandi tersebut. Berasa kesal, dia membalut tubuhnya ringkas dengan pakaian yang dipakai tadi sebelum melangkah untuk keluar. Walaupun Li Sicheng tidak berada di situ, dia berasa malu untuk berbogel. Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik mandi, dia terdengar suatu bunyi. Su Qianci berhenti dan memasang telinga. Seseorang sedang berada di situ! Mustahil Li Sicheng akan muncul di situ, jadi siapakah yang berani menceroboh tempat itu?

Nächstes Kapitel