webnovel

Jamuan Makan (7)

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Lei Yuan membentak "Takut? Kesihatan Ayahanda semakin buruk setiap hari. Adinda ketiga Beta tu tak berguna dan Adinda keempat pula amat baik dengan Kakanda Beta. Kalau Beta tak menentang selagi Ayahanda masih hidup, Beta tak akan ada sedikit peluang pun di masa hadapan!"

Ada dua sebab mengapa Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas Lei Chen untuk diuruskan. Pertamanya, Maharaja mahu Lei Chen belajar mengenai pengurusannya dan yang kedua adalah kesihatan Maharaja Negara Yan yang semakin hari semakin merosot. Sekumpulan besar Tabib Diraja kini berkumpul di dalam istana untuk merawat penyakit Maharaja. Negara Yan nampak damai pada luarannya, tetapi masalah sudah mula timbul secara dalaman.

"Jangan fikir Beta tak sedar. Beta tahu Kakanda inginkan gadis dari Akademi Panji Perang, Qu Ling Yue. Dia adalah anak Ketua Besar Bandar Seribu Binatang. Kakanda Beta mahu berkahwin dengan gadis itu untuk menawan hati Ketua Besar. Kamu fikir Beta tak sedar? Semua orang kata Kakanda memiliki personaliti yang ramah dan mesra tapi semua itu bohong." Lei Yuan amat tidak sukakan Lei Chen. Bagi orang luar, Lei Chen mungkin waris paling ideal untuk memiliki takhta. Namun Lei Yuan yang sudah membesar bersama-sama Lei Chen tahu sikap sebenar kakandanya. Kalau sehingga tiba masa Lei Chen menaiki takhta pun Lei Yuan masih belum mendapatkan kekuatan untuk melindungi dirinya, satu-satunya pilihan yang ada untuknya pada ketika itu hanyalah kematian.

Demi menyelamatkan diri dan merebut pertaruhan terakhir, Lei Yuan bersusah-payah cuba menggapai peluang terakhir ini untuk menawan hati orang-orang dari Akademi Pembunuh Naga.

"Kalau Putera Mahkota sudah pun ada memikirkan rancangan sebegitu, lebih lagilah kita perlu mengesyaki yang Putera Mahkota ada niat tersembunyi di sebalik perhatian yang ditunjukkan terhadap Akademi Zephyr. Bukankah tak lama dulu ada khabar angin yang mengatakan Dekan Kehormat Akademi Zephyr, Wen Xin Han, sudah berjaya mencapai tahap roh ungu?" Pembantu Lei Yuan cepat-cepat bertanya.

Lei Yuan mengecilkan mata dan tersenyum mengejek.

"Kalau mahu menarik perhatian Akademi Zephyr pun Kakanda perlulah tengk dulu sama ada wujud peluang untuk berbuat begitu. Dekan Kehormat Wen Xin Han dari Akademi Zephyr itu memanglah hebat. Tetapi setahu Beta, Wen Xin Han ada hubungan yang baik dengan Penasihat Agung Negara Yan. Kamu benar-benar fikir Wen Xin Han yang baik dengan Penasihat Agung kita, Wen Yu, akan termakan umpan Kakanda Beta?"

Pembantu itu tiba-tiba terkejut. "Maksud Yang Mulia, Putera Mahkota tak baik dengan Penasihat Agung?"

Lei Yuan menggigit bibirnya. Dia sedar yang dia telah terlalu cepat dan terlalu banyak bercakap. Dia menjeling pembantunya lalu berkata, "Kenapa kamu banyak tanya ni? Orang yang tahu banyak sangat biasanya tak hidup lama."

Muka pembantu itu menjadi pucat dan dia segera menutup mulutnya.

Lei Yuan langsung tidak berminat dengan Akademi Zephyr, sebaliknya Akademi Pembunuh Naga yang berada di dalam senarainya. Jadi dia langsung tidak berniat untuk membela Jun Xie pada ketika itu. Sebaliknya dia amat ternanti-nanti pelajar Akademi Pembunuh Naga bertindak. Hasil yang mahu dilihatnya adalah tercetusnya masalah yang besar nanti.

Kalau Lei Chen tidak masuk campur dalam hal ini, tak kiralah sebab apa pun dia mahukan Akademi Zephyr, dia akan gagal. Kalau Lei Chen memarahi pelajar Akademi Pembunuh Naga disebabkan insiden ini pula, itu akan membuatkan dia berada di pihak lawan. Lebih mudahlah untuk Lei Yuan menarik Akademi Pembunuh Naga ke sisinya nanti.

Lei Yuan yang amat teruja itu memandang situasi yang sedang berlaku di taman tersebut. Matanya menunjukkan perasaan gembira. Dia bersungguh-sungguh berharap yang pelajar Akademi Pembunuh Naga akan menyerang dan membunuh budak kecil dari Akademi Zephyr itu di situ juga. Insiden ini kemudiannya akan menjadi kekecohan yang amat besar.

Para pelajar Akademi Pembunuh Naga tidak habis-habis menghamburkan sindiran dan cemuhan pada Jun Xie, tapi mereka langsung tidak mendapat sebarang reaksi. Setelah mendapati mereka tidak dipedulikan, mereka menjadi semakin marah. Malah sewaktu memandang wajah kecil yang dingin dan tidak berperasaan itu, mereka mula berasa sedikit terhina. Mereka membuat bulatan yang lebih kecil di sekeliling budak tak guna itu dan bersedia untuk memberi budak yang bisu dan pekak ini satu pengajaran yang tidak akan dia lupakan.

Nächstes Kapitel