Mana mungkin mereka dapat mencapai roh ungu!?
Ning Rui tidak percaya dengan matanya sendiri. Namun cahaya roh ungu terang yang memancar dari tubuh Fan Jin dan Fan Zhuo sedang memeritkan matanya ketika itu!
Ketika ketua lelaki itu terlihat pancaran cahaya ungu dari badan Jun Xie serta rakan-rakannya, matanya dipenuhi perasaan tidak percaya. Anak-anak muda itu pastinya datang dari Alam Bawahan. Macam mana mereka dapat belajar teknik peningkatan sementara kuasa rohani mereka?
Namun Jun Wu Xie tidak akan memberikan lelaki itu masa untuk mempertimbangkan situasi ini. Dia telah bergabung dengan Fan Zhuo dan meluru pada salah seorang lelaki yang sedang menghampiri mereka. Fan Jin pula meluru pada lelaki yang seorang lagi. Ketua kumpulan lelaki itu tiba-tiba mendapati dia berseorangan. Ketika itu, Ye Sha terus membuat serangan balas dan mereka berdua bertembung dengan kuat!
Dalam sekelip mata, enam pancaran terang cahaya ungu dan satu cahaya hitam daripada kuasa rohani penempur-penempur ini saling berjalin dan berlaga. Gelombang kuasa rohani yang menderu keluar hasil pertembungan yang berterusan itu lebih kuat berbanding ketika Ye Sha bertempur dengan Gu Ying tadi!
Inilah kali pertama Jun Wu Xie bertempur menggunakan kuasa roh ungu. Dia masih belum dapat memahami dan mengawal kuasa baru ini dengan sempurna manakala Fan Zhuo pula baru sahaja sembuh. Keadaan badannya masih belum mencapai tahap yang baik. Sebab itulah mereka bergabung, dua lawan satu, untuk menghalang lawan mereka. Situasi ini tidak akan menjadi terlalu sukar jika pertempuran ini tidak berpanjangan.
Satu pertempuran hebat tercetus di hadapan pintu pagar utama Akademi Zephyr.
Ye Sha menumpukan sepenuh perhatian pada pertempurannya dengan ketua kumpulan itu. Kali ini dia tidak menahan dirinya. Dia arif tentang keadaan kuasa rohani Cik Muda. Tempoh masa Cik Muda dapat mengekalkan kuasa rohani ungu amat singkat. Kalau Ye Sha tidak dapat mengalahkan lawannya secepat mungkin, Jun Wu Xie akan kehabisan kuasa rohani dan akan kalah teruk!
Pada saat itu, Ye Sha tidak berani bertindak cuai. Setiap serangannya ditujukan pada titik penting musuhnya.
Ketua itu tahu bahawa Ye Sha yang telah mencederakan Gu Ying, jadi dia juga turut berwaspada. Tetapi sebaik mereka saling bertukar serangan, dia terus sedar yang musuhnya ini lebih kuat daripada yang dibayangkan. Apa yang lebih mengejutkan ialah cahaya hitam dari kuasa rohani yang menyelubungi tubuh Ye Sha!
Di seluruh Alam Bawahan dan Alam Pertengahan, dia tidak pernah melihat sesiapa pun yang memiliki kuasa rohani sebegini.
Ketua itu ditolak ke belakang oleh Ye Sha, selangkah demi selangkah. Tiba-tiba jantungnya tersentak. Matanya terbeliak ketika menatap renungan Ye Sha yang menggerunkan.
"Kamu dari Rejim Kegelapan?"
Siapa lagi yang akan memiliki kuasa aneh seperti ini kalau bukan orang-orang dari Rejim Kegelapan?
Selepas kemangkatan Maharaja Kegelapan, Rejim Kegelapan telah mengasingkan diri. Sekarang ini, ahli-ahli Rejim Kegelapan amat jarang dapat dilihat di Alam Pertengahan. Sungguhpun begitu, tak ada siapa yang berani menyinggung angkatan yang pernah menyatukan Alam Pertengahan dan mendominasi mereka semua. Walaupun Maharaja Kegelapan sudah mangkat, kuasa aneh yang dipupuk oleh Rejim Kegelapan masih amat menggerunkan orang-orang di Alam Pertengahan!
Mata Ye Sha bersinar sekilas selepas ketua itu bercakap. Tanpa berhenti walau sedetik, pukulannya bertambah pantas seperti hujan dan sekali lagi dia cuba menjatuhkan lelaki tersebut!
Lelaki itu mengetap gigi. Dia sendiri berasa terkejut dengan tekaannya.
[Kenapa pula orang Rejim Kegelapan boleh muncul sejauh ini di Alam Bawahan?]
[Mungkinkah mereka sudah dapat tahu tentang tindakan Dua Belas Istana?]
Di sudut yang lain, Jun Wu Xie baru sahaja menemui kehebatan kuasa roh ungunya. Tetapi semakin masa berlalu, dia dapat merasakan kuasa rohaninya menyusut dengan begitu pantas! Kelajuan penyusutan kuasa rohaninya berkali ganda lebih cepat berbanding ketika dia berlatih sebelum ini!
Dia menyangkakan akan dapat mengekalkan kuasa roh ungunya selama sekurang-kurangnya sepuluh minit. Namun dalam pertempuran yang sengit ini, Jun Wu Xie merasakan kuasa rohani di dalam badannya hampir lenyap setelah hanya lima minit berlalu!
Ketika bertempur, kuasa rohani akan digunakan untuk melancarkan serangan. Ini akan menyusutkan kuasa rohani seseorang itu dengan banyak. Jun Wu Xie ketika ini berada di roh tahap kuning. Dia tidak akan dapat mengekalkan kuasa rohaninya di tahap ungu untuk jangka masa yang panjang!