webnovel

Penyamaran (2)

Redakteur: EndlessFantasy Translation

"Bunuh Ke Cang Ju dan kamu ambil alih tempat dia." Jun Wu Xie mengecilkan mata sambil mendedahkan rancangannya.

Seluruh tubuh badan Hua Yao dan Qiao Chu merasai kejutan.

Mereka tidak pernah menyangka yang Jun Wu Xie akan terfikir untuk membunuh Ke Cang Ju pada malam pertama dia masuk ke Puncak Awan Tersembunyi!

Jun Wu Xie mungkin telah menyatakan objektifnya datang ke Kumpulan Qing Yun, iaitu untuk menghapuskan mereka sepenuhnya. Tetapi, rancangannya ini berjalan terlalu pantas, bukan?

"Bolehkah ia dilakukan?" Qiao Chu merenung Jun Wu Xie dalam keadaan terperanjat. Dia tidak dapat menerima hakikat yang idea mengejutkan ini datang daripada pemuda kecil molek di hadapannya ini.

Wajah Jun Wu Xie berkerut.

Hua Yao pula yang menjawab, "Bagaimana kamu mahu saya lakukannya? Saya mungkin boleh mengubah struktur tulang saya, tetapi saya tak boleh mengubah keadaan kulit saya. Kalau saya tukar struktur tulang muka saya untuk menyerupai Ke Cang Ju sekalipun, saya tak akan dapat mereplikasi mukanya itu."

"Saya ada caranya." Jun Wu Xie memandang Hua Yao, "Kamu tak perlu buat apa-apa selain tunggu di sini sahaja."

Hua Yao merenung Jun Wu Xie seketika, seolah-olah cuba meneka niat pemuda itu. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak berkata apa-apa lagi dan memberikan persetujuannya dalam diam.

Ketiga-tiga pemuda itu membuat perjanjian mereka yang pertama di dalam ruang bawah tanah yang gelap, lembap dan basah itu. Kerjasama mereka kali ini adalah permulaan kepada kekusutan yang ditakdirkan akan mengikat kehidupan mereka bersama-sama.

Sebaik fajar menjelang, Jun Wu Xie dan Qiao Chu meninggalkan ruang bawah tanah itu. Sebelum mereka pergi, Jun Wu Xie menyaksikan Hua Yao menusuk kayu pancang ke tubuhnya, menggantung dirinya ke cangkuk dinding itu kembali dan membelenggu dirinya dengan rantai daripada siling itu.

Keadaannya kembali seperti ketika mereka menemuinya tadi.

Selepas diseksa semalaman, rekrut-rekrut baru itu semuanya teramat letih. Sebelum sampai ke ruang tempat tinggal mereka, Jun Wu Xie dan Qiao Chu terlihat lebih dua puluh orang pemuda yang dalam keadaan lebam-lebam dan keletihan, bersandar di tepi bekas-bekas air yang besar itu. Pada ketika itu, mereka semuanya seperti sudah kehilangan semangat dan tenaga, terkulai layu seperti anak patung kain. Ramai di antara mereka yang dalam keadaan basah lencun. Baldi yang digunakan untuk mengangkut air terbiar begitu sahaja kerana mereka sudah kehabisan tenaga. Setelah berlapar sehari semalam, perut mereka sudah berkeroncong. Kerja keras sepanjang malam itu membuatkan mereka begitu letih sehinggakan kebanyakan daripada mereka yang tidur sambil duduk.

Ketibaan Jun Wu Xie dan Qiao Chu tidak disedari oleh orang lain dan mereka terus memilih tempat untuk duduk. Tanpa disedari sesiapa, Jun Wu Xie memberikan eliksir kepada Qiao Chu.

"Apa ni?" Qiao Chu memerhatikan eliksir berwarna kelabu di tangannya, kemudian memandang Jun Wu Xie dengan bingung.

Jun Wu Xie menjeling sekilas ke arah Qiao Chu tetapi tidak mahu menjelaskan apa-apa. Dia mengambil eliksir itu dari tangan Qiao Chu kemudian menampar tangannya ke mulut pemuda itu. Tindakannya ini menyebabkan eliksir itu ditolak masuk ke mulut Qiao Chu. Jun Wu Xie kemudiannya turut makan sebiji eliksir.

"...…" Eliksir yang teramat pahit itu bergerak masuk ke tekak Qiao Chu dan membuatkan air matanya mengalir. Dia menyeringai terseksa sambil memandang Jun Wu Xie, lalu memicit hidungnya sendiri.

Budak ini memang selamba dan kejam!

Sewaktu cahaya fajar menyinari kawasan itu, para pemuda yang keletihan itu mula terjaga. Mereka bangun dengan lemah dan berjalan terhuyung-hayang menuju bilik masing-masing.

Tak ada apa yang mereka mahukan selain kembali ke bilik, merebahkan diri ke katil dan meneguk air kosong untuk melegakan kelaparan.

Tidak ada seorang pun di antara mereka yang berjaya menyelesaikan tugas yang diberikan. Menurut apa yang telah diberitahu oleh senior Puncak Awan Tersembunyi, mereka tidak akan diberikan sarapan.

Sayangnya, seksaan mereka belum berakhir. Sewaktu rekrut baru yang keletihan ini sedang mengheret diri mereka kembali ke bilik, mereka ditahan oleh para pengikut senior Puncak Awan Tersembunyi yang baru sahaja terjaga.

Nächstes Kapitel