Qin Chu mengangkat kepalanya dari belakang timbunan dokumen. Dia tidak membuat sebarang bunyi, tetapi matanya dengan jelas memaksudkan 'cakap sahaja apa yang kamu nak cakap.'

"Presiden Qin, kereta Encik sudah sedia. Orang dari kedai itu baru sahaja menghantarnya dan meninggalkannya di garaj. Encik boleh gunakannya bila-bila masa sahaja."

"Okey, faham." Dengan hanya balasan dua patah perkataan, Qin Chu kembali melakukan kerjanya.

Namun, lagu itu masih berulang-ulang dimainkan.

"Aku berharap ada seseorang denganku semasa aku sunyi,

Biar pada hari paling sibuk sekali pun, ada seseorang untuk sarapan denganku,

Walaupun pemikiran begini sudah jelas terlalu naïf,

Tidak kira di mana hari esok tiba, aku hanya mahu seseorang denganku.

Tidak ada ruang dalam cinta untuk melakukan pelbagai kerja,

Bukankah rugi jika terlepas pertemuan yang begitu natural,

Jika aku memutuskan untuk memberi hatiku padamu,

Bolehkah seseorang beritahunya, jangan lukakan aku.

Tiap kali cinta menghampiri,

Kau rasa dia memelukmu ketat sekali.

Dia menggoncangkan hatimu, menutup matamu. Tetapi dia tidak memberitahumu ke mana dia pergi,

Tiap kali cinta menghampiri, dia bagaikan menanti kau bereaksi.

Syurga dan bumi terdiam, hanya keputusanmu menjadi gangguan."

Sebab kenapa Yang merasakan hal ini aneh kerana sebelum ini, Presiden biasanya memainkan muzik piano sama ada daripada Chopin, Mozart, Richard Clayderman atau Franz Liszt.

Yang bukanlah seorang lelaki yang mahir dalam muzik. Maka, semasa mendengar muzik Sonata Cahaya Rembulan oleh Beethoven sekali pun, dia tidak dapat menghargainya.

Tetapi, bosnya berbeza. Orang sekeliling berkata yang Presiden itu seorang genius. Memandangkan dia menuntut di luar negara selama tujuh tahun, logiklah jika dia mempunyai kegemaran yang berbeza berbanding mereka semua.

Namun, hari ini, muzik daripada pemuzik legenda tiba-tiba ditukar kepada "Cinta itu Hampir" oleh Rene 'Si Teh Susu' Liu.

Itu benar-benar satu perbezaan yang besar. Paling penting, sejak bila Presiden mula meminati pop-indi yang comel? 

"Presiden Qin?"

"Ada apa-apa lagi?" Qin Chu mendongak memandang Yang yang berdiri tergagap-gagap kerana tidak pasti jika dia patut bercakap.

"Saya sukakan lagu ini juga. Isteri saya dan saya kedua-duanya peminat Si Teh Susu." Sambil tersipu-sipu, Yang menggaru kepalanya dan tersenyum.

"Siapa Si Teh Susu?" Balasan Qin Chu hampir membuatkan Yang terus pitam.

Apa masalah Presiden ini? Jika dia tidak kenal siapa Si Teh Susu, kenapa dia mendengar lagu itu berulang-ulang?

Peminat jenis apa dia ini?

"Si Teh Susu…Ah…Dia Rene Liu, yang menyanyikan lagu ini."

"Oh." Qin Chu akhirnya faham.

USB pada komputernya harini bukanlah USB yang selalu didengarinya.

Semalam, pemindah barang yang dia upah untuk menamatkan sewaan pada pangsapuri Huo Mian memberitahu mereka terjumpa USB ini pada komputer riba Huo Mian.

Memikirkan yang semua ini mungkin lagu-lagu yang digemari oleh Huo Mian, Qin Chu meluangkan seluruh paginya mendengar semua lagu ini tanpa letih.

 

Patutlah Yang begitu pelik dengannya…

Selepas bersarapan, Huo Mian ke tempat kerja. Di dalam bilik VIP, Jing Zhixin sudah mula sedar.

Walaupun dia masih pening-pening, doktor mengatakan semua tanda vitalnya bagus dan dia hanya perlu lebih banyak berehat.

Huo Mian duduk dengan Jing Zhixin buat seketika. Akhirnya, apabila adiknya sudah kembali tidur, dia perlahan-lahan meninggalkan bilik itu.

Sebaik sahaja dia keluar, telefonnya mula berdering berkali-kali.

Huo Mian memandang telefonnya dan perasan ia nombor yang tidak dikenali. 

 

"Helo?"

"Cik Huo Mian. Saya Encik Luo, peguam tempoh hari."

"Apa yang kamu mahukan?" Selepas mendengarkan perkenalannya, nada suara Huo Mian berubah dingin dengan ketara.

"Saya cuma mahu ingatkan kamu untuk mempertimbangkan tawaran kami dengan teliti."

"Saya sudah jelaskan keputusan saya. Saya tidak mahu ulang apa yang saya cakapkan."

"Jika kamu terus bersikap menyusahkan, kami tidak dapat menjamin keselamatan kamu dan keluarga kamu."

"Adakah kamu mengugut saya?"

"Cik Huo, kamu gadis yang pintar. Saya tidak perlu berkata lebih lanjut."

"Macam mana kalau saya katakan yang telefon bimbit saya ada perakam dalaman? Saya boleh berikan rakaman ini kepada mahkamah sebagai bukti menentang kamu." Huo Mian begitu berang.

Encik Luo tergelak kecil. "Kamu ingat saya takut? Lebih baik kamu berhati-hati. Saya sudah katakan sebelum ini, klien saya ada latar belakang yang kukuh. Dia bukannya seseorang yang boleh digoyahkan dengan orang kebanyakan seperti kamu."

"Hanya kerana kami orang kebanyakan, adakah kami patut biarkan kamu memijak kami semua? Lawaknya. Kenapa kamu tidak ke neraka sahaja?" Dengan itu, Huo Mian memutuskan panggilan tanpa belas kasihan.

"Cik Huo, ada seseorang yang mencari kamu."

"Okey, saya datang." Mendengarkan panggilan itu, Huo Mian segera berjalan ke arah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

Apabila Huo Mian mengecam orang yang berdiri di pintu bilik pemeriksaan, dia jelas kelihatan tidak gembira. "Adakah kamu?"

avataravatar
Next chapter