"Huo Mian, kamu tidak perlu cakap apa-apa lagi. Hal ini sudah diputuskan. Jadi, buat sahaja apa yang disuruh. Ini adalah tugasan yang diberikan oleh hospital kepada kamu. Jika pegawai tersebut sembuh dengan baik selepas pembedahan ini, saya akan berikan hadiah kepada semua yang terlibat dalam prosedur ini dengan bonus dan penghormatan."

Di luar jangkaan pengarah tersebut, Huo Mian menggelengkan kepalanya dan berdiri. "Tuan pengarah, saya tidak memerlukan anugerah atau pernghormatan." Katanya. "Saya tidak rasa saya boleh selesaikan tugasan ini. Saya minta maaf, tetapi saya tidak boleh terima perkara ini."

"Kamu memang anak yang degil, bukan?" Suara pengarah tersebut kedengaran sedikit kecewa.

"Tuan pengarah, saya cuma katakan kebenaran berdasarkan apa yang saya lihat. Pembedahan ini terlalu penting. Jika hal ini melibatkan kelahiran bayi atau sesuatu dalam bidang itu, saya mungkin boleh beri pertolongan. Tetapi, dengan prosedur neurosurgeri, saya hanya akan jadi penghalang dalam pasukan. Saya cadangkan Tuan mencari orang yang lebih sesuai untuk tugasan ini."

Selepas selesai berkata-kata, Huo Mian berdiri dan menuju ke arah pintu. Dia tidak akan terlibat dalam isu penuh kontroversi seperti ini.

Dia sebenarnya mempersoalkan kewarasan pengarah tersebut pada saat ini. Hospital Pertama mempunyai ratusan jururawat cemerlang. Jadi, mengapa pengarah perlu memilih dia, seorang jururawat pelatih dari Jabatan OB/GYN untuk menjadi jururawat pembedahan dalam pembedahan yang sangat mustahak? Kejadian ini benar-benar melucukan.

Sebaik sahaja Huo Mian sampai ke pintu dan hampir membukanya, suara pengarah tersebut kedengaran lagi.

"Huo Mian. Sebenarnya, bukan saya yang membuat keputusan untuk memilih kamu sebagai jururawat pembedahan bagi surgeri ini. Pakar bedah neuro yang mengendalikan kes ini memilih kamu sendiri.

"Pakar bedah neuro memilih saya?" Huo Mian berpusing dalam ketidakpercayaan.

"Tepat sekali. Pakar bedah neuro itu mempunyai baran yang sedikit ganjil dan sukar untuk dijemput. Kita berusaha begitu keras untuk meyakinkan dia supaya menjalankan pembedahan ini. Tetapi dia Cuma ada satu permintaan – iaitu kamu perlu menjadi jururawat pembedahan. Kalau tidak, dia tidak akan melakukan pembedahan ini. Kamu perlu tahu yang kita ada nyawa yang perlu diselamatkan. Pegawai berpangkat tinggi itu masih ada di hospital kita. Kalau apa-apa terjadi padanya…bukan kamu dan saya sahaja yang akan terkesan. Seluruh hospital ini akan menerima akibatnya."

"Tapi…" Huo Mian terpinga-pinga. "Saya tidak mengenali mana-mana pakar bedah. Adakah dia tersilap orang? Mungkin ada jururawat lain yang mempunyai nama seperti saya di hospital kita?"

"Tidak. Kamu seorang sahaja yang bernama Huo Mian. Saya tidak tersalah."

"Tetapi…" Huo Mian masih teragak-agak.

"Huo Mian. Tiada tapi-tapi lagi. Kita tidak ada masa untuk dibazirkan. Surgeri ini akan dimulakan dalam tiga jam dari sekarang. Kamu perlu berada di dalam dewan bedah dalam masa sejam untuk mula bersedia. Kamu juga perlu berjumpa dengan ahli pasukan yang lain."

"Pengarah…"

"Huo Mian, ini adalah satu arahan. Kamu mesti menerimanya." Pengarah Wu mula berasa tidak sabar. Wajahnya muram dan gayanya mula kelihatan sedikit memaksa.

Huo Mian terdiam.

Dia berfikir adakah keputusan untuk berhenti serta merta agak keterlaluan untuk masa sekarang. Namun, jika pembedahan itu gagal dan pegawai tersebut tidak dapat diselamatkan, bukankah nasibnya sama teruk juga?

Huo Mian berasa seperti ingin menangis. Dia sepatutnya tahu jika dia dipanggil oleh pengarah sendiri, itu bukannya satu berita baik.

Selepas mendiamkan diri buat beberapa ketika, Huo Mian akhirnya mengangguk.

"Bagus. Kalau begitu, kamu patut bersiap sekarang. Pastikan kamu berada di Dewan Bedah VIP Jabatan Neurosurgeri di tingkat paling atas dalam masa sejam."

"Okey." Huo Mian mengangguk lagi.

Minda Huo Mian dipenuhi rebut perasaan apabila dia melangkah keluar dari pejabat pengarah.

Apabila dia pulang ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, dia perasan ketua jururawat menunggunya dengan beberapa orang jururawat lain. Mereka mengalu-alukannya.

"Huo Mian, pengarah sudah menelefon saya dan menerangkan situasi tersebut secara kasar kepada saya. Cepat, pergi salin pakaian dan kemudian lakukan pensterilan seluruh badan. Apabila kamu sudah selesai, saya akan minta seseorang untuk iring kamu ke dewan bedah di tingkat paling atas."

"Ah…tidak apalah Ketua Jururawat. Saya boleh pergi sendiri." Huo Mian tidak terbiasa dengan layanan istimewa.

"Tidak. Kamu tidak boleh pergi sendiri. Ini adalah tugas yang sangat penting dan kamu mesti buat dengan baik."

"Cik Huo! Kamu sangat bertuah! Saya dengar yang pakar bedah neuro itu sendiri yang memilih kamu."

"Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku sekarang ini."

"Pakar bedah itu kawan kamu kah? Kenapalah sesuatu yang hebat seperti ini tidak pernah berlaku kepada kita semua?" beberapa orang jururawat yang lebih muda merungut tidak henti-henti.

"Saya tidak kenal mana-mana pakar." Huo Mian menidakkan dengan tegas.

"Sudah, berhenti berbual kamu semua. Cepat bersiap, Huo Mian. Saya perlu ingatkan kamu walaupun ia satu perkara yang baik apabila pengarah percayakan kamu dengan tugasan ini, jika kamu melakukan kesalahan, akibatnya bukan setakat diberhentikan kerja. Kamu tahu betapa pentingnya pesakit ini, bukan?" Kata-kata ketua jururawat itu tajam dan cukup jelas.

Huo Mian mengangguk sedikit dan membalas, "Saya tahu. Kalau ia gagal, nyawa saya mungkin akan berakhir juga."

Sebaik sahaja dia habis berkata-kata, jururawat yang lebih muda semuanya bertukar pucat.

"Sekarang, kamu masih rasa yang Huo Mian bertuah?" ketua jururawat bertanya dengan riak muram. "Ada antara kamu yang masih mahu menggantikan Huo Mian?"

avataravatar
Next chapter