62 Pertukaran Kereta

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Mak, saya akan keluar untuk menjawab panggilan. Ia semakin lewat. Mak berehatlah. Esok saya akan selesaikan kertas kerja untuk keluarkan Mak. Kemudian, kita boleh pergi melawat Zhixin." Dengan itu, Huo Mian perlahan-lahan berundur dari bilik hospital itu sambil memegang telefon bimbitnya.

Dia mengangkat panggilan telefon itu dan berbisik, "Helo?"

"Kamu di mana?" Qin Chu bertanya.

"Di hospital."

"Bila kamu akan pulang ke rumah?"

"Saya bekerja shif malam hari ini."

"Bila kamu akan selesai bekerja?"

"Pagi esok."

"Saya akan jemput kamu."

"Tidak perlu, terima kasih."

"Kenapa?" Qin Chu terang-terang tidak berasa gembira. Adakah dia perlu mengingatkan Huo Mian yang mereka kini bergelar suami isteri?

"Kerana Audi R8 kamu menarik terlampau banyak perhatian. Saya tidak mahu orang bercakap mengenai saya di hospital. Lagi pun…kereta pengarah kami sendiri pun tidak sehebat kereta kamu." Jika Huo Mian tidak salah, kereta Tuan Pengarah Penting hanyalah Audi A8.

Jika Huo Mian benar-benar akan menaiki sebuah Audi R8 di depan hospital itu, pasti orang tidak akan berhenti bercakap mengenainya.

Di hujung talian sebelah sana, Qin Chu hanya diam. Huo Mian menganggap yang Qin Chu tidak gembira dengan jawapannya.

"Saya boleh balik sendiri ke rumah dengan bas." Dia menambah.

Klak! Panggilan itu diputuskan dari hujung talian sebelah sana.

Baran lelaki ini masih sama seperti tujuh tahun yang lalu – penuh bangga dan perasan bagus. Apa jenis manusia lah dia ini.

Selepas menyelesaikan tugas shif malamnya, Huo Mian begitu kepenatan. Perkara pertama yang dilakukannya pagi itu ialah menyiapkan kertas kerja untuk proses membawa keluar emaknya dari hospital.

Kemudian, kedua-dua mereka ke bilik VIP bersama-sama. Zhixin masih belum sedarkan diri. Namun, menurut Doktor Liu, semua isyarat-isyarat vital Zhixin dalam keadaan stabil. Dia hanya menunggu masa untuk sedar sahaja. Akhirnya, emak Huo Mian membuat keputusan untuk menjaga Zhixin. Huo Mian menuju ke rumah, berharap untuk mendapatkan tidur yang cukup.

Selepas beberapa hari bergegas turun naik hospital tanpa henti, Huo Mian merasakan dia sudah hampir rebah.

Apabila Huo Mian melangkah keluar daripada pintu hospital itu, sebuah kereta Volkswagen CC berwarna putih berhenti di hadapannya. 

Sebaik sahaja dia sedang memikirkan apa yang berlaku, pemandu kereta itu menurunkan tingkap kereta dan berkata, "Masuk."

"Emmm. Kenapa kamu berada di sini?"

Huo Mian langsung tidak menyangkakan yang Qin Chu akan benar-benar datang. Malah, dia datang dengan memandu kereta Volkswagen CC yang sederhana.

Kereta-kereta yang menunggu di belakangnya mula membunyikan hon mereka. Pemandu yang perasan bagus ini telah meletakkan keretanya di hadapan pintu dan menghalang pergerakan kenderaan lain.

Huo Mian tidak berani menunggu lama. Dia segera membuka pintu tempat duduk penumpang.

Kemudian, barulah Qin Chu menghidupkan enjin dengan gaya bangga dan memandu pergi.

"Kamu…beli kereta baru?" Huo Mian bertanya dengan perlahan.

"Ini kereta pembantu saya. Saya pinjam dengannya." Nada Qin Chu acuh tidak acuh.

Tuhan sahaja tahu yang dia terus menghubungi Yang pada awal pagi itu untuk memberitahu yang dia ingin menukar kereta.

Tuhan sahaja tahu bagaimana anehnya perasaan Yang. Dia tidak tahu jika dia mampu memandu kereta Audi R8 bosnya ke tempat kerja.

Lagi pun, apa yang hebat sangat dengan kereta CCnya yang berharga kurang daripada 30 ribu yuan itu sehingga bosnya tertarik?

Selepas perbualan singkat itu, Huo Mian tidak lagi bersuara. Kedua-dua mereka duduk dalam kesunyian yang janggal.

"Apa yang kamu mahu makan?"

"Hah?" Pertanyaan Qin Chu yang tiba-tiba membuatkan Huo Mian terpegun seketika.

"Apa yang kamu mahu makan?"

"Tidak apa. Saya tidak begitu lapar."

"Masakan Cina atau Barat?" Qin Chu bertanya tanpa menghiraukan balasan Huo Mian.

Selepas teragak-agak seketika, Huo Mian terpaksa sedar lelaki ini masih gemar mengarah sama seperti dirinya di waktu dahulu. Huo Mian hanya boleh berkompromi.

"Masakan Cina."

Lima belas minit kemudian, kereta itu berhenti di hadapan Istana Diraja Kelas Pertama.

Qin Chu berjalan mendahului Huo Mian ke dalam kedai itu, menuju terus ke bilik-bilik peribadi di tingkat dua.

Kemudian, dia memesan sedikit ladu udang, bubur ketam dan beberapa jenis dim sum.

Huo Mian sudah lama tidak menikmati sarapan yang mewah begini. Sambil makan, dia kerap kali mencuri pandang pada Qin Chu.

Dia perasan, ketika Qin Chu makan dengan etika meja makan yang sangat teratur, sebelah tangannya sibuk menatal skrin telefon bimbitnya untuk memeriksa pasaran saham hari itu.

Selepas dia selesai makan, Huo Mian meletakkan sudunya. "Saya sudah selesai." Dia berkata dengan perlahan.

"Okey, kalau begitu ambil kad kamu dan bayar bil ini." Qin Chu berkata endah tidak endah.

"Apa? Kenapa saya yang pelu bayar bil ini?" Huo Mian hampir meletup. Dia tidak sangka Qin Chu begini kedekut. Lagi pun, tempat seperti Istana Diraja Kelas Pertama ini pasti mengenakan bayaran paling kurang seribu yuan untuk sarapan.

Macam lah Huo Mian mempunyai wang tunai sebanyak itu dengannya. Dia hanya mempunyai dua ratus yuan sebagai duit baki dalam poketnya.

Qin Chu mendongak. Sambil mengambil sehelai napkin, dia menekan-nekan bucu bibirnya dengan bergaya sebelum berkata-kata,

"Saya sudah pindahkan gaji saya untuk bulan ini kepada kad kamu malam semalam." Dia berkata dengan wajah selamba. "Sudah tentulah kamu yang akan membayar bil ini."

"Saya…"

Huo Mian terperanjat besar.

avataravatar
Next chapter