"Zhixin." Apabila Huo Mian mengangkat panggilan itu, nada suaranya bertukar menjadi penuh kasih sayang.

"Kak, adakah Kakak tidak bekerja hari ini?"

"Ya."

"Kalau begitu, mari bersihkan kubur Ayah bersama-sama tengah hari ini."

"Okey." Huo Mian memang bercadang mahu pergi jika Zhixin tidak menelefon sekalipun.

Sudah tujuh tahun semenjak Pak Cik Jing meninggal dunia. Tepat pada hari ini, tujuh tahun lalu, Pak Cik Jing meninggal kerana nahas kenderaan maut.

"Saya sudah pergi dengan Emak pagi ini tapi mood dia tidak baik. Saya akan pergi lagi dengan Kakak tengah hari nanti."

"Kamu tidak ada kelaskah hari ini?"

"Tidak. Saya akan ke perpustakaan untuk belajar pada petang nanti."

"Baik. Tunggu saya. Kita jumpa di pintu pagar perkuburan awam…"

"Okey."

Selepas mengakhiri panggilan, mood Huo Mian segera menjadi suram.

Dia masih ingat malam tujuh tahun yang lalu. Dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kelas petang apabila sebuah van komersial Buick berwarna hitam datang meluru ke arahnya. Kenderaan itu terlampau laju untuk dielaknya.

Pada ketika itulah, Pak Cik Jing yang ada di sana untuk menjemputnya dari sekolah, tiba-tiba datang meluru dan menolaknya ke tepi.

Akhirnya, dia hanya mampu melihat Pak Cik menghembuskan nafas terakhir di bawah tayar kenderaan itu. Darah merahnya membentuk sungai di atas jalan raya tersebut.

Huo Mian hanya mengalami kecederaan kecil dan calar-balar. Tetapi, kemalangan tersebut meragut nyawa Pak Cik Jing.

Jika bukan kerana dia, Pak Cik Jing tidak akan meninggal dunia.

Pada asalnya, dia menyangkakan itu hanyalah kemalangan. Namun, dia terkejut apabila dia kemudiannya mengetahui pemandu kenderaan yang bertanggungjawab untuk kemalangan itu merupakan pemandu Keluarga Qin.

Betapa beraninya Keluarga Qin sehingga mereka langsung tidak kisah untuk menutup kebenaran bahawa mereka menggajikan orang untuk membunuh? Perlukah mereka menghantar pemandu mereka sendiri untuk melakukan kerja kotor mereka?

Orang kaya raya ini memang langsung tidak kisah mengenai rakyat biasa. Emak dan adik lelakinya sangat berduka cita.

Dia ke mahkamah berulang kali, menyaman pemandu bersalah itu. Ketika itu, Keluarga Qin sudah menghantar Qin Chu ke luar negara.

Dia pula, terpaksa menanggung beban yang tidak terduga seorang diri. Akhirnya, Huo Mian dan keluarganya bertegas untuk menolak pampasan itu.

Pemandu yang bersalah itu tidak ada pilihan lain selain menerima dakwaan dan masuk ke penjara. Namun, dia hanya didakwa atas kesalahan memandu secara mabuk dan diberikan hukuman penjara remeh selama lima tahun.

Pada ketika itulah dia benar-benar merasakan ketidakadilan dalam semua hal ini dan perbezaan antara orang yang berduit dan tidak berduit.

Tambahan pula, dia mengerti, dengan latar belakang seperti dirinya, dia tidak akan mampu bergaul dengan keluarga kaya yang mempunyai rangkaian luas seperti Keluarga Qin.

Ketika itu jugalah dia membuang semua fikiran untuk bersama dengan Qin Chu.

Huo Mian membasahkan mukanya dengan sedikit air selepas mengimbau kenangan lalu yang begitu berat. Dia menukar pakaian kepada sepasang seluar hitam, baju-T hitam dan sepasang kaca mata hitam. Kemudian, dia melangkah keluar. Apabila dia berjalan melintasi kedai bunga dalam perjalanannya, dia berhenti untuk membeli sejambak bunga kekwa berwarna putih.

Perkuburan awam itu terletak di pinggir bandar dan ia memerlukan tiga kali pertukaran bas untuk sampai ke sana. Apabila Huo Mian sampai di pintu pagar tersebut, ia sudah hampir tengah hari.

"Kakak." Jing Zhixin melambai Huo Mian dari jauh.

"Kamu sudah tunggu saya agak lama, kan?" Huo Mian menepuk kepalanya penuh kasih sayang.

"Tidak lama pun. Lebih kurang lima belas minit sahaja. Kak, Kakak nampak kehilangan berat badan kebelakangan ini. Adakah Kakak terlampau banyak bekerja untuk shif malam?"

Huo Mian tersenyum lembut dengan keprihatinan adiknya. "Tidak, saya sedang berdiet."

Selepas itu, kedua-dua mereka berjalan masuk ke perkuburan awam bersama-sama. Mereka meletakkan bunga segar yang dibelinya tadi di atas batu nisan kubur Pak Cik Jing.

Di atas batu nisan itu juga terdapat buah-buahan dan bakul bunga yang diletakkan oleh emak mereka ketika dia melawat pagi tadi.

"Zhixin, sepanjang beberapa tahun yang lepas, pernahkah kamu salahkan saya seperti Emak?" Riak wajah Huo Mian begitu sayu semasa dia menanggalkan kaca matanya.

Jing Zhixin merenung kakaknya. Dengan riak keliru, dia menyeru, "Kak, apa yang Kakak cakap ini? Kenapa saya mahu buat begitu? Apa yang berlaku pada masa dahulu bukan salah Kakak. Keluarga Qin yang jahat. Kalau Ayah tidak meninggal, Kakak yang akan meninggal. Kakak dan Ayah dua-dua orang yang paling rapat dalam hidup saya."

"Tetapi, jika saya tidak mengabaikan amaran itu dan terus berpasangan dengan Qin Chu, kejadian ini mungkin tidak berlaku." Huo Mian menggigit bibirnya. Dadanya sesak dengan rasa bersalah.

Balasan Jing Zhixin untuk kenyataan ini benar-benar memeranjatkan Huo Mian. Dia tidak percaya adik lelakinya yang berumur 19 tahun boleh berkata-kata begitu.

avataravatar
Next chapter