Selepas Huo Mian selesai menukar pakaian, dia menolak tawaran jururawat daripada jabatan yang sama untuk menemaninya. Huo Mian berjalan ke bahagian VIP di tingkat paling atas seorang diri.

Dalam perjalanan ke sana, Huo Mian cuma mampu berfikir sekiranya prosedur itu gagal, dia mungkin tidak berpeluang untuk bertemu keluarganya lagi.

Memikirkan kemungkinan tersebut, Huo Mian segera membawa keluar telefon bimbitnya dan membuat panggilan kepada emaknya. Bunyi deringan kedengaran buat seketika, namun tiada sesiapa yang mengangkat panggilannya. Emaknya masih tidak mahu bercakap dengan Huo Mian.

Dia mengeluh dan menelefon adik lelakinya, Jing Zhixin.

"Kak!" Suara muda Jing Zhixin kedengaran daripada hujung talian.

"Zhixin, adakah kamu berada di dalam kelas?"

"Kelas sudah tamat. Hari ini saya tiada banyak kelas. Jadi, saya berada di perpustakaan untuk membuat sedikit bacaan. Semua baik-baik kah kakak?"

"Oh, semua baik-baik sahaja. Saya sedikit sibuk hari ini. Jadi, mungkin saya tidak dapat ke Hospital Rakyat Keempat. Jika kamu ada masa, jangan lupa jenguk emak."

"Saya tahu. Saya akan pergi melawat emak apabila saya selesai kerja di sini. Saya akan belikan emak makan malam."

"Baiklah." Fikiran Huo Mian bercelaru dengan perkara lain.

"Kak, saya akan bercakap dengan kakak nanti."

"Zhixin, kalau saya terlampau sibuk, saya mungkin tidak dapat menjaga kamu berdua. Kamu perlu menjaga emak untuk saya."

"Baiklah, kak." Kemudian, Jing Zhixin mengakhiri panggilan.

Huo Mian memegang telefonnya sekali lagi dan membelek senarai kenalannya sehingga dia tiba pada nama Ning Zhiyuan. Dia tidak nampak sebarang keperluan untuk menelefon lelaki itu.

Sebaliknya, dia menelefon nombor Zhu Lingling. Namun, panggilan itu tidak disambungkan. Mungkin Zhu Lingling berada dalam penerbangan.

Huo Mian menyimpan telefonnya, menarik nafas dalam dan mengosongkan fikirannya. Dia menolak pintu ruang rehat yang bersambung dengan bilik bedah tersebut.

Seorang lelaki yang berusia sekitar 30-an menyapanya terlebih dahulu, "Kamu Huo Mian, kan?"

"Ya, saya."

"Saya jururawat pembedahan bagi Jabatan Neurosurgeri, Song Heng. Kamu boleh panggil saya Song."

"Helo." Huo Mian menegurnya.

"Ini adalah nama-nama dan profil mereka yang terlibat dengan pembedahan hari ini. Tengok lah."

Song Heng menghulurkan satu fail kepada Huo Mian. Dia membeleknya perlahan-lahan.

Pembantu Doktor Bedah: MD Wang Qi, lelaki, 47, pakar bedah neuro terkenal, graduan Universiti Perubatan Jing

Pembantu Doktor Bedah: MD Huang Xiaoning, perempuan, 43, pakar bedah neuro terkenal, graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Auckland

Doktor Anestesia: MD Fang Xu, 42, pakar anestesia, graduan Universiti Perubatan Osaka

Jururawat Pembedahan: NP Song Heng, 35, jururawat pembedahan neuro, graduan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Singapura

Jururawat Pembedahan: Huo Mian, 24, jururawat (pelatih) pembedahan obstetrik, graduan Program Kejururawatan Lanjutan di Akademi Perubatan Bandar C.

Berbanding dengan profil di hadapannya, Huo Mian berasa seperti seekor semut yang dikelilingi gergasi.

Jika begitu ramai pakar ada di hospital ini, kenapa mereka perlu menghantar jururawat pelatih daripada Jabatan OB/GYN ke sini untuk membahayakannya nyawanya sendiri?

Oh ya, pengarah tersebut mengatakan dia dipilih oleh ketua doktor bedah itu sendiri. Di mana profilnya?

Huo Mian mengangkat kepalanya. "Umm…" dia bertanya, "kenapa profil ketua doktor bedah itu tidak berada di sini?"

"Oh, ia tiada di dalam fail. Ketua doktor bedah itu tidak gemarkan perhatian. Dia enggan mendedahkan maklumat peribadinya. Apa yang saya dengar ada lah dia lelaki yang sangat muda dengan ijazah pasca kedoktoran dari Sekolah Perubatan Harvard."

"Dia ada ijazah pasca kedoktoran dari Sekolah Perubatan Harvard?" Huo Mian sangat terperanjat.

Seseorang yang begitu menakjubkan seperti lelaki ini ada di dalam bandar kelas ketiga yang mereka diami? Kenapa dia tidak pernah tahu mengenai lelaki ini?

"Okey, yakin lah sedikit. Kita pasti akan berjaya!" Song Heng tersenyum.

"Saya harap begitulah." Huo Mian berkata dan membalas senyumannya.

Pada saat itu, pintu ruang rehat ditolak terbuka dan empat orang doktor dalam kot makmal berwarna putih memasuki bilik tersebut.

Apabila Huo Mian melihat orang terakhir berjalan masuk, dia merasakan seolah-olah otaknya terkena renjatan elektrik.

Itu…Qin Chu…kan?

avataravatar
Next chapter