Dia baru sahaja katakan yang dia sudah pindahkan gajinya bulan ini kepada kad Huo Mian? Maklumat ini diberikan secara terlampau mengejut untuk diterima oleh Huo Mian sepenuhnya.

"Pelayan, berikan bil ya." Qin Chu berkata.

"Ya Tuan. Jumlah keseluruhannya 1080 yuan."

"Dia akan bayar." Qin Chu berkata malas sambil menuding ke arah Huo Mian.

Huo Mian menarik keluar kad debit ICBC daripada dompetnya. Jika dia ingat dengan tepat, baki dalam kadnya ialah kurang daripada 800 yuan. Dia tidak tahu sebanyak mana wang yang Qin Chu pindahkan padanya. Lelaki itu tidak bergurau dengannya, kan?

Selepas meleretkan kad debit tersebut, pelayan itu mengembalikan kad itu kepada Huo Mian dengan berhati-hati. Kemudian, dia dan Qin Chu berjalan keluar dari restoran itu bersama-sama.

Huo Mian masih memikirkan soalan yang dia terlampau malu untuk bertanya secara terus terang.

"Kamu mahu tanya saya mengenai jumlah gaji bulanan saya, kan?" Qin Chu yang melihat Huo Mian teragak-agak, menanyakan soalan itu bagi pihaknya.

Huo Mian segera mengangguk.

Gerak isyaratnya yang menawan hati itu membuatkan hujung bibir Qin Chu terangkat sedikit.

"Apa kata kamu periksa aplikasi perbankan kamu nanti?"

"…"

Balasan busuk jenis apakah itu? Adakah lelaki ini cuba mencari masalah dengannya?

Sejurus kemudian, telefon bimbit Qin Chu berdering.

"Baik, saya faham. Tetapi saya ada hal penting untuk diuruskan sekarang. Beritahu mereka untuk menangguhkan mesyuarat itu selama 30 minit."

Apabila dia selesai bercakap, Qin Chu mengakhiri panggilan tersebut.

"Memandangkan kamu ada urusan penting, mari berpisah di sini. Saya boleh pulang ke rumah dengan bas."

Qin Chu menjeling pada Huo Mian. Matanya kelihatan dingin. "Urusan penting yang saya cakapkan itu ialah membawa kamu pulang ke rumah." Kata Qin Chu.

Riak wajah Qin Chu jelas memaksudkan Huo Mian seorang yang bodoh.

Kadang-kala, dia terfikir adakah Huo Mian yang pernah dikatakan genius dengan IQ setinggi 130 tergolong dalam kalangan mereka yang aneh yang mempunyai IQ tinggi tetapi EQ mereka rendah?

Mendengarkan apa yang dikatakan oleh Qin Chu, riak wajah Huo Mian jelas kelihatan terjeda dalam sekelip mata.

Kemudian, satu perasaan yang hangat memenuhi ruang dadanya.

"Ayuh pergi. Masuk ke dalam kereta."

Dua puluh minit kemudian, Qin Chu menurunkan Huo Mian di bangunan pangsapurinya.

"Baiklah, saya sudah tiba di rumah. Terima kasih kerana tumpangkan saya."

Huo Mian masih tidak terbiasa dengan layanan baik Qin Chu. Lagi pun, mereka sudah berjauhan selama lebih daripada tujuh tahun.

Dia memerlukan sedikit masa sebelum terbiasa dengan hubungan intim yang begitu tiba-tiba ini.

"Apabila saya selesai bekerja, saya akan datang jemput kamu."

"Tidak perlu."

"Tamatkan sewa untuk pangsapuri ini. Kamu akan berpindah masuk dengan saya." Nada suara Qin Chu penuh dengan arahan.

"Tidak." Huo Mian segera menolaknya.

Qin Chu merenungnya dengan riak wajah bercampur baur. "Kita merupakan pasangan suami isteri. Kita tidak akan bercerai selepas berkahwin, kan? Melainkan kamu berfikir yang selepas semua bantuan saya berikan pada kamu, kamu boleh tinggalkan saya keseorangan selama setengah tahun dan kemudian menuntut cerai. Adakah kamu tidak akan menunaikan janji kamu selepas kamu tidak perlukan saya lagi?"

"Bukan itu maksud saya." Huo Mian membangkang.

"Kalau begitu, ia sudah selesai. Saya akan datang dan jemput kamu malam ini. Kamu tidak perlu bawa apa-apa. Saya sudah sediakan semuanya di tempat saya." Tanpa menunggu balasan Huo Mian, Qin Chu berpusing dan berlalu pergi.

Sambil memerhatikan bahagian belakang tubuhnya yang tinggi dan lebar sewaktu Qin Chu berjalan pergi, Huo Mian mengeluh sedikit.

Sudah tujuh tahun berlalu. Sikap suka mengarah dan perasan bagusnya langsung tidak berubah. Jika ada perubahan sekali pun, ia kerana sikapnya makin teruk.

Namun, berpindah masuk dengan Qin Chu? Adakah perkara itu sesuatu yang baik? Bukankah Qin Chu tinggal dengan ibu bapanya?

Huo Mian pernah berjumpa pasangan Qin itu beberapa tahun yang lalu. Mereka memang bencikannya.

Huo Mian juga tidak sukakan mereka. Selepas kematian Pak Cik Jing, dia mula melihat ibu bapa Qin Chu sebagai pembunuh Pak Cik Jing.

Huo Mian tidak dapat membayangkan bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung yang sama dengan orang yang dia dendami.

Qin Chu tiba di pejabatnya lima minit sebelum waktu mesyuarat ditetapkan untuk bermula.

Dia berjalan masuk terus ke bilik perbincangan. Sambil memegang dokumen yang diberikan oleh pembantunya, Qin Chu menyelak muka surat tersebut dan kemudian mendengar laporan yang dibentangkan oleh eksekutif daripada setiap jabatan.

Sejam kemudian, mesyuarat itu berakhir. Qin Chu tidak menyuarakan sepatah perkataan, dari mula hingga akhir.

"Encik Qin, mesyuarat ini sudah selesai. Ada apa-apa yang Encik mahu tambah?" Yang bertanya dengan berhati-hati.

Qin Chu menutup fail yang dipegangnya dengan perlahan-lahan dan kemudian mengamati seluruh bilik itu.

Seorang demi seorang eksekutif menundukkan kepala mereka. Mereka tidak berani bertentang mata dengan bos mereka kerana bimbang jika melakukan sebarang kesalahan.

"Maklumkan Jabatan Kewangan untuk menggandakan semua gaji pekerja korporat untuk bulan ini."

"Encik Qin, ini…" Berita baik itu datang dengan terlampau tiba-tiba sehinggakan Yang kehilangan kata-kata.

Eksekutif lain juga turut terpinga-pinga. Adakah hari ini merupakan hari yang istimewa?

avataravatar
Next chapter