webnovel

Tunggu aku di syurga~

Sayup-sayup alunan surah kedengaran di deria pendengarannya. Bahkan, rentak suara yang mendayu-dayu yang disulami tangisan, merobek tangkai hatinya. Terasa perasaannya dibalun rotan berduri. Luka yang berdarah, membuat air matanya tumpah membasahkan wajah.

"Akif? tak nak masuk?" suara serak yang kedengaran sengau, menyapanya dari dalam rumah.

Akif menoleh pandang. Wajah basahnya, dikesat dengan lengan baju Melayunya. Matanya merah. Wajah ibu kepada sahabatnya, dipandang seraya mengangguk memberi jawapan.

Dia melangkah lambat. Terasa kakinya mengangkut beban berat, apabila dia melangkah masuk. Malah, langkahnya kian memberat saat dia melangkah mendekati sahabatnya yang terkujur beku, tanpa nafas. Kain nipis yang menutup wajah Hakimi, direnung. Berat hatinya, melihat wajah terakhir sahabatnya.

Pegun berdiri dengan gejolak perasaan yang tak tentu. Tak mampu ditahan, air matanya tumpah lagi. Membasahkan ego lelakinya. Seakan dia tak berkudrat menahan rasa tangisnya. "Allah…" gumam bibirnya.

Puan Rohana mengalihkan pandangan buat ketika. Wajahnya yang lencun dengan deraian air mata, basah lagi. Reaksi sahabat anaknya, meruntun jiwanya. Bukan dia seorang sahaja yang merasa kehilangan.

"Bukalah.."ujar Puan Rohana. Dalam tangis yang reda.

Akif mengeleng pantas. Tak bersuara, dia mengeleng tidak mahu. Matanya yang basah, kabur dengan air mata. "Kemudian." jawabnya lembut. Kepingan surah nipis yang dicetak, di dalam bentuk buku di ambil. Dia duduk di sisi sahabatnya, kitab nipis dibuka dan dibaca.

Puan Rohana sudah hilang di pandangannya. Walau rawan hati bersulam luka, dia tetap melayan tamu yang datang menjenguk.

Akif tak pedulikan akan suara yang membisik di belakang. Sedih yang bertaut di tangkai hati, tak dapat dilurutkan dari hatinya. Andai sahabatnya pergi sebagai mana fitrah biasa, mungkin hatinya tak terlalu perit untuk menerima hakikat tersebut. Tetapi, perginya kerana aniaya manusia. "Bismillah..hirahman..nirrahim. Ya, sin..…" bibirnya bergetar.

"Walquran nil hakim.." lafaznya, tertib dan bertajwid. Namun, deria pendengarannya terganggu. Bicara mereka, menyusup masuk.

"Aku dengar, mereka tak mengaku." Darahnya menyirap. Dia berhenti seketika. Mendengar bicara mereka dengan teliti.

"Mereka orang kaya. Aku dapat tahu, mereka upah peguam handal." suara yang membisik seakan menambah minyak di dalam hatinya, sehinggakan dia merasa bahang amarahnya mula meluap-luap.

Bukan dimarah pada bisikkan-bisikkan itu. Tetapi marah pada pembunuh yang membunuh sahabatnya. Kerana apa yang didengar, bukanlah rekaan penduduk.

"Betul..kau tak baca surat khabar?"

"Iya..mereka bangga. Senyum lagi masa masuk mahkamah, kau tahu!!" tokok suara.

"Orang kayakan..berlagak! Kesian..Hakimi. Ana?!" suara yang berceloteh, kedengaran perlahan tika terpandangkan Puan Rohana.

Tangan Akif yang mengenggam mengigil, bergetar hebat. Air matanya berderai jatuh ke bawah. Kepala yang ditunduk, seakan cuba menawarkan hatinya dengan perasaan sabar yang masih tersisa. Kitab nipis ditutup. Dia bangun, dengan surah yang di baca dua baris.

"Akif?" Puan Rohana yang terkejut melihat ulah sahabat anaknya, yang termenung dalam keadaan berdiri. Menegur lembut.

Akif yang tersentak, tersedar akan khayalannya, lalu memandang Puan Rohana. Wajah tua itu tersenyum memandang ke arahnya. Namun, hatinya terluka melihat senyuman tawar yang ikhlas di wajah Puan Rohana. Seolah-olah hatinya disiat mentah-mentah.

"Mari kita bawa jenazah ke tanah perkuburan. Sesiapa yang masih ingin lihat wajah arwah, buat kali terakhir. Silakan. Sebab sebelum zuhur, kita akan kebumikan arwah." suara Pak Hashim, sebagai ahli masjid bersuara. Suara para penduduk yang menyahut, bersahut dalam redup suara yang sayu. Masing-masing membawa rasa terkilan, atas pemergian Hakimi.

Kain nipis yang menutup wajah, dibuka. Akif pantas mengalihkan pandangan ke arah luar. Hatinya sedih. Jiwanya sebak.

"Mari." pujuk Azri, menepuk bahu Akif. Mengajak sahabat anaknya, mendekati anaknya. Bukan hatinya tak terguris, tatkala menatap anak yang dijaga dan dipeluk sewaktu kecil, pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang memilukan. Namun, apa yang membuatkan hatinya kecewa, apabila dia melihat parut-patut yang kelihatan di tubuh kurus itu, seakan hancur memakan kulit.

Pasti! pasti anaknya sakit! Pasti ketika itu, anaknya memanggil nama mereka berdua. Air matanya yang tumpah, diseka selekasnya.

Raut wajah Hakimi yang pucat lesi, bercahaya tenang. Seolah-olah derita yang dialaminya kini, sudah meragut kesengsaraannya, luput dari tubuh kerdilnya.

Akif mengangguk. Hatinya sebak. Raut sahabatnya dipandang. Masing-masing menghadiahkan ciuman perpisahan, di dahi Hakimi. Akif yang sudah mendekat, mengusap lembut rambut sahabatnya. "Tunggu aku di syurga, ya sahabat." bisiknya sebelum dia mengucup dahi sahabatnya. Wajah Sahabat, di tutup kembali dalam bungkusan kafan.

Akif melangkah laju. Deras amarah, tak mampu ditahan perasaannya lagi. "Aku, akan buat solat hajat! aku tak akan biarkan penzalim dan pembunuh seperti mereka, bebas menginjak bumi. Darah dibalas dengan darah. Mati dibalas dengan mati! Jika keadilan bumi, mereka boleh perkotak-katikkan. Tapi, pada adilan Allah. Mereka tak akan terlepas walau sebesar zarah!" hentakkan kaki yang berazam, membuatkan dia tidak betah menahan gejolak perasaannya.

Namun langkahnya makin lemah, dan perlahan-lahan air matanya menghujani hatinya. Dahan rendang yang berdekatannya, dipaut menyokong tubuhnya yang tak berkudrat lagi.

"Kau…kau orang tak akan tenang!!" marahnya. Dadanya yang perit, ditumbuk berkali-kali. Jiwanya sakit tika terbayang siksanya sahabatnya dilayan sehina-hinanya oleh mereka yang durjana.

Dunia ini, di monopoli manusia kejam seperti mereka. Mereka tak boleh hidup!! "ALLAH!!! Ragutlah nyawa mereka!! ragutlah nyawa mereka! mereka siksa sahabatku..Ya Allah…Allah…Allah" rintihnya, dalam doa. Kakinya yang lemah, tak mampu menongkat jasadnya lalu dia terduduk ke atas tanah.

"Allah…Allah…" gumam Akif dalam suara yang merintih. Kedua tangannya, meraup wajah. Mungkin ini adalah satu jihad buat sahabatnya. "Syurgalah Hakimi..syurgalah buat kau disana. Penzalim yang menzalimi engkau takkan bebas. Mereka mesti dihukum mati." doanya, bersungguh-sungguh.

"Mereka tak akan tenang!"gumam Akif dalam tadahan doa.

Semoga, mereka akan diadili selayaknya. Diadili dalam karma Allah. Allah maha adil.

Tamat~

P/s: Nukilan ini saya buat ini, khas buat saudara Zul Farhan. Moga orang-orang yang menyakiti dan menzalimi Zul Farhan akan dikenakan hukuman yang setimpal.

Ingat..dunia yang kita berpijak, adalah sama. Tiada beza darjat atau kuasa. Di sana, pengadilannya secara terus. Disini hanya saksi akan perbuatan dosa-dosa yang kita lakukan. Jangan menongkat langit sedangkan bumi yang dipijak, adalah pinjaman yang sementara.

Buat beberapa manusia yang gah, cuba menyelamatkan diri dari undang-undang manusia, selamatkanlah roh-roh kamu dahulu. Taubatlah selagi pintu keampunan terbuka, jangan biarkan ianya terlewat apabila tanah menimbus jasad.

"Syurga buat saudara, Zul Farhan~" Aina Sfaz