26 Ujian Bermula

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jelas dapat dilihat, kanak-kanak generasi ini mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi. Tidak kira betapa marahnya Luo Lang, dia masih mengekalkan postur tegaknya. Satu-satunya tanda kemarahannya ialah pada ekspresi mukanya.

Ling Lan rasa bersalah sedikit kerana telah membuatkan Luo Lang marah. Lagipun, dia sudah berumur lebih daripada 30 tahun, dan sudah boleh dianggap sebagai seorang makcik. Sampai hati dia membuli seorang kanak-kanak seperti ini?

Dengan rasa serba salah, Ling Lan senyum pada Luo Lang dan berkata, "Saya bergurau sahaja. Tolong jangan marah. "

Senyuman Ling Lan telah memeranjatkan Luo Lang, begitu juga dengan sikapnya yang cepat menyerah kalah. Dia berdiri di situ sambil ternganga, tidak bergerak, manakala yang lain tergelak sekali lagi. Tidak boleh tahan sebenarnya, kerana muka terperanjat Luo Lang terlalu comel, sehingga kembarnya juga ketawa sedikit. Namun, dia dengan cepat menyembunyikannya. Dia memandang kakinya untuk menutup rasa malu sambil dalam diam memarahi dirinya sendiri. Sampai hati dia mentertawakan kembarnya yang telah selalu menjaganya?

Sementara itu, Ling Lan pening kepala memikirkan senyumannya. Menyusahkan betul. Selepas dia tanpa sengaja mendedahkan senyumannya yang 'menggoda' ini sekali lagi, Empat Kecil menjadi kecoh dan dia kini sedang sibuk cuba menenangkan Empat Kecil.

Selain daripada Ling Lan, yang sedang sibuk dengan kerenah Empat Kecil, Luo Lang sekali lagi tersinggung dengan gelak ketawa kumpulan mereka. Apabila dia mendapati yang dia sekali lagi telah memalukan dirinya, mukanya menjadi merah.

Kemudian, dia menggunakan rasa malunya itu menjadi kemarahan, dan menyerang Ling... um, orang di sebelah Ling Lan, iaitu Qi Long, dan menolaknya ke tanah. Kemudian, kedua-duanya mula bergelut dan berguling di atas padang.

Qi Long dan Luo Lang bergelut di antara satu sama lain. Kawan baik Qi Long, Han Jijyun tidak cuba membantu, dan hanya menarik Ling Lan dan Han Xuya ke tepi untuk menonton pergaduhan itu. Sementara itu, kembar Luo Lang juga diam-diam berundur beberapa langkah, sambil mengawasi kembarnya dengan penuh kerisauan.

Selepas bersusah-payah, Ling Lan akhirnya berjaya menenangkan Empat Kecil, dan apabila dia kembali sedar, dia nampak yang tiada siapa cuba menghentikan pergaduhan itu. Ling Lan menjadi bingung. Di dunia masa silamnya, jika terdapat kanak-kanak yang bergaduh, mereka akan diasingkan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah mereka dengan aman. Tetapi di sini, walaupun terdapat staf yang berdiri agak dekat dengan mereka, tiada siapa ambil peduli. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Apakah semua ini? Ling Lan merasakan seperti pandangan dunianya dicabar dengan gaya hidup di dunia baru ini.

Ling Lan tidak dapat menahan rasa ingin tahunya lalu dia berpaling untuk bertanyakan Han Jijyun tentangnya. Sekali lagi Han Jiyun memandangnya dengan pelik. Namun, apabila dia nampak yang Ling Lan benar-benar tidak faham apa yang sedang berlaku, dia agak terkejut. Ini pengetahuan umum yang asas, yang sepatutnya diajar oleh bapanya. Bapa Ling Lan tidak memberitahunya?

Walaupun Han Jijyun ragu-ragu, dia masih menjelaskan pada Ling Lan, "Ini kebiasaan yang kami pelajari sejak kecil. Sekiranya kami perlu menyelesaikan masalah dengan seseorang, kami dibenarkan bergaduh. Walau bagaimanapun, tidak kira siapa yang menang atau kalah, masalah itu dianggap telah selesai selepas pergaduhan. "

Anehnya cara mereka mendidik anak mereka... adakah mereka tidak takut akan menggalakkan keganasan? Sekali lagi Ling Lan terkejut dengan perbezaan nilai dan prinsip pendidikan masa silamnya dengan mentaliti perjuangan antara yang terkuat dunia ini. Sebagai contoh, tidak kira asal usul seorang kanak-kanak, sama ada daripada keluarga biasa, elit, atau bangsawan, cita-cita pertama semua kanak-kanak di sini ialah untuk menyertai ketenteraan. Cita-cita kedua, menyertai ketenteraan, dan cita-cita ketiga... juga menyertai ketenteraan. Ini kerana kekuatan bermakna kekuasaan, dan lelaki yang menyertai pasukan tentera dianggap yang terkuat. Terutama jika mereka berjaya menjadi pengendali mecha. Hanya mereka yang mempunyai badan yang tidak memenuhi syarat ketenteraan akan berhenti mengejar cita-cita mereka, dan terpaksa memilih kerjaya lain.

Sejak kecil, pendidikan yang diterima oleh Ling Lan bertujuan mempersiapkannya untuk menjadi pengendali mecha, menjadi antara orang yang paling kuat. Semua yang dia telah pelajari menuju ke matlamat ini. Ibunya dan penjaganya, Ling Qin, tidak pernah bertanya sama ada dia mahukan kerjaya itu ataupun tidak.

Secara jujurnya, dia tidak peduli dengan kerjaya sebagai pengendali mecha. Lagipun, dia seorang gadis yang tidak berapa berminat dengan pertempuran. Dia tidak pernah menjangka yang dia akan pergi ke dunia berperang yang mempunyai ramai tentera. Lebih tidak disangka-sangkakan lagi, dia akan mempunyai alat pembelajaran mecha sebagai pendamping berkontraknya...

Ling Lan menggosok dagunya. Adakah ini semua takdir? Adakah segala-galanya yang telah terjadi sebenarnya untuk memberitahunya yang dia ditakdirkan untuk menuju ke arah kerjaya pengendali mecha?

Qi Long dan Luo Lang masih lagi bergaduh. Walaupun Qi Long sebenarnya lebih hebat sedikit dari segi kekuatan, Luo Lang tidak akan menyerah kalah dengan mudah. Jadi, walaupun Luo Lang tidak sekuat Qi Long, dia masih mampu bertahan.

Ling Lan teringin sangat hendak tahu keputusan pergaduhan mereka. Tetapi apabila dia nampak staf yang bertanggungjawab memanggil setiap kumpulan untuk memulakan ujian, semakin dekat mahu menyebut angka mereka, dia tahu yang pergaduhan itu tidak akan sempat berakhir. Dia mengeluh dan berkata, "Nampaknya giliran kita tidak lama lagi. Kamu berdua masih mahu terus bergaduh?"

Kedua-dua mereka berhenti pada masa yang sama, tetapi Luo Lang bertindak lebih cepat daripada Qi Long. Dia menolak Qi Long ke tepi dan bergegas bangun, kemudian mula membetulkan pakaian dan penampilannya. Dia tidak dapat kembali ke rupa asalnya yang kemas seperti seorang putera, sekalipun telah mencuba sehabis baik. Tetapi pendiriannya tidak akan membenarkannya menghadap pemeriksa dalam keadaan yang tidak terurus.

Qi Long tidak sempat bersedia dan tergolek dua kali akibat tolakan Luo Lang. Dia cepat-cepat bangun dan merengus, "Tunggulah sehingga ujian berakhir, kita akan sambung selepas ujian." Dia tidak peduli dengan penampilannya, hanya mengelap dahinya dua kali untuk mengeringkan peluh sebelum kemudiannya membiarkannya sahaja.

Luo Lang juga pastilah enggan mengalah. Jadi kedua-duanya bersetuju yang mereka akan menentukan pemenang sebenar selepas ujian berakhir.

Oh, anak-anak muda yang bersemangat dan berdaya saing! Ling Lan merasakan dirinya sudah tua kerana dia tidak faham tujuan pergaduhan mereka. Pada masa ini, Ling Lan telah lupa yang dia sebenarnya penyebab pergaduhan di antara Luo Lang dan Qi Long.

Ujian dijalankan dengan pantas. Qi Long dan Luo Lang hampir tidak sempat berehat ketika kumpulan mereka telah dipanggil oleh staf. Semua kanak-kanak di dalam kumpulan Ling Lan tidak berani berlengah-lengah, maka mereka cepat-cepat berlari ke tempat ujian.

Mereka semua berdiri di trek dan membuat persiapan terakhir. Kemudian, seorang pemeriksa menerangkan bagaimana ujian itu akan dijalankan. Dia meminta mereka bersiap untuk berlari dari garisan permulaan, dan menjelaskan yang mereka perlu selamat tiba di garisan penamat untuk menyelesaikan ujian ini. Pemarkahan bergantung pada masa yang diperlukan untuk mereka menyelesaikan ujian ini.

Sementara Ling Lan bersiap sedia, dia mengawasi kumpulan di hadapan mereka. Ini tabiat biasanya selepas beberapa pertemuan dengan Nombor Satu. Setiap kali Nombor Satu muncul, setiap pergerakannya mungkin merupakan satu ujian, jadi Ling Lan terpaksa sentiasa bersedia dan memastikan dia menangkap setiap petunjuk daripada pergerakan serta kata-kata Nombor Satu. Tabiat berhati-hati ini telah menjadi sebahagian daripada naluri asasnya.

Ling Lan menyaksikan kumpulan itu mula berlari sebaik diarahkan pemeriksa, kemudian tiba-tiba bayang-bayang mereka juga tidak kelihatan.

"Kamu nampak tadi?" Han Jijyun mendekati Ling Lan dan berbisik padanya. Dia juga ternampak sesuatu yang pelik.

"Hm, walaupun matahari terang, tetapi trek berkabus..." Ling Lan membuat pemerhatian yang menjelaskan mengapa kumpulan sebelum mereka telah hilang dengan begitu cepat.

"Nampaknya trek di sini menggunakan teknologi ilusi kawasan, ujian ini tidak semudah yang dijangkakan." Han Jijyun seorang budak lelaki pintar yang mempunyai pemahaman yang mendalam tentang teknologi canggih, tidak seperti kanak-kanak lain (seperti Ling Lan).

Ling Lan menjadi lebih berhati-hati selepas amaran Han Jiyun.

Tidak lama kemudian, pemeriksa di garis permulaan memanggil kumpulan Ling Lan. Sebaik sahaja dia mengesahkan mereka sudah bersedia, dia memberikan arahan dan mereka mula berlari.

Qi Long dengan serta-merta berlari ke hadapan, mengetuai kumpulan mereka, dengan Luo Lang di belakangnya. Seolah-olah mereka bertekad untuk bersaing di sini juga.

Di belakang Luo Lang adalah Ling Lan, dan Han Jijyun pula berada di belakang Ling Lan. Han Jiyun mempunyai idea yang sama seperti Ling Lan, mereka merancang untuk mengekori Qi Long buat masa sekarang sambil memerhatikan persekitaran mereka. Manakala yang lain pula berada di belakang Han Jijyun.

avataravatar
Next chapter