12 Ujian Ada di Mana-Mana

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan menelan air liur dan cuba bertenang ketika bertanya, "Adakah kamu akan mengajar saya kemahiran fizikal?" Ling Lan memang berminat untuk belajar kemahiran ini. Di dalam kehidupan sebelum ini, Ling Lan sering terbaring di katil, tetapi dengan tubuh yang sihat sekarang, dia mahu belajar sebanyak mungkin untuk tidak mensia-siakan kesihatan yang diperolehi.

Lelaki itu tetap tidak menunjukkan riak di wajahnya, hanya menjawab, "Tidak, saya di sini untuk memperkenalkan laluan kemahiran yang boleh dipilih."

Ling Lan menarik nafas lega tetapi sedikit kecewa. Walaupun berasa tertekan ketika berdepan dengan lelaki ini, seolah-olah dia dihempap gunung, ini juga bermaksud, lelaki ini seorang yang mengagumkan. Kalaulah lelaki ini menjadi jurulatih Ling Lan, tentu dia akan mendapat manfaat.

Lelaki ini tidak menghiraukan perasaan Ling Lan, tetapi memperkenalkan dirinya. "Awak boleh memanggil saya Nombor Satu."

Nombor Satu? Adakah ini satu kod nama? Apakah di dalam ruang pembelajaran ini, semua jurulatih tiada nama dan dipanggil dengan gelaran kod nama? Adakah nama tidak penting? Atau ada sebab lain?

Nombor Satu menyambung, "Seterusnya saya akan memperkenalkan pilihan yang kamu ada di bawah peringkat tertinggi latihan kemahiran fizikal. Ada tiga set. Siri Serangan, Siri Seimbang dan Siri Pertahanan."

Ling Lan mendengar dengan teliti kerana pilihan ini akan memberi kesan pada hidupnya. Dia tidak boleh terlalu cuai.

"Siri Serangan, seperti namanya, akan merangkumi kemahiran fizikal yang diperlukan untuk membina asas bagi serangan yang berkuasa. Siri Seimbang pula merangkumi asa kemahiran fizikal yang sesuai bagi gabungan serangan dan pertahanan manakala Siri Pertahanan akan memfokuskan pada pertahanan diri. Setiap orang hanya boleh memilih satu set untuk berlatih." Nombor Satu nampaknya puas hati dengan sikap Ling Lan yang serius dan dia menyambung penjelasannya, "Ketiga-tiga set asas kemahiran fizikal ini tidak boleh digunakan serentak kerana boleh mengakibatkan tubuh badan cedera parah."

Ling Lan terkejut. Dia memang sedang mempertimbangkan idea yang bercita-cita tinggi iaitu mempelajari lebih daripada satu set. Dia tidak menyangka Nombor Satu dapat membaca niatnya dan memberikan amaran kepadanya. Dengan penuh bersyukur dia berkata, "Terima kasih Jurulatih Nombor Satu!"

Walaupun Nombor Satu sudah mengatakan yang dia tidak akan menjadi jurulatih Ling Lan dia merasakan Nombor Satu cukup kuat untuk menjadi jurulatih sesiapa sekalipun. Oleh itu dia layak menerima gelaran yang Ling Lan berikan.

Nombor Satu kelihatan terperanjat dengan gelaran yang diberikan oleh Ling Lan tetapi dia kemudian tidak mempedulikannya. Dengan nada suara yang mendatar seperti biasa, dia bertanya, "Set mana yang kamu pilih?"

Ling Lan mempertimbangkan ketiga-tiga set. Secara jujurnya, Ling Lan lebih tertarik dengan Siri Seimbang memandangkan siri itu merangkumi kemahiran serangan dan pertahanan diri. Maksudnya set ini tidak ada kelemahan yang ketara manakala dua set yang lain jelas mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ling Lan tidak merancang untuk menjadi pengamal yang pakar, tetapi hanya mahu menguatkan badannya. Sebaik dia mahu menjawab, tiba-tiba dia mendapat inspirasi lalu berkata, "Jurulatih Nombor Satu, saya mahu dengar cadangan kamu. Set mana yang terbaik untuk saya?"

Renungan Nombor Satu bertukar tajam. Pandangannya itu seperti pisau belati yang sedang terbang tepat ke arah Ling Lan. Namun wajah Ling Lan masih lagi menguntum senyuman yang neutral. Seolah-olah dia langsung tidak dapat merasai kemarahan Nombor Satu.

Mereka berdua saling merenung di antara satu sama lain. Tekanan yang datang daripada Nombor Satu menjadi semakin berat. Walaupun Ling Lan masih kelihatan tenang, dia sudah menggigil hingga ke tulang. Dia bermati-matian cuba menggalakkan dirinya untuk terus bertahan. Dia memberitahu dirinya untuk bertahan sekejap saja lagi.

Akhirnya Ling Lan berjaya. Nombor Satu menarik kembali renungan membunuhnya dan satu senyuman yang hampir tidak kelihatan muncul di wajahnya. Hati Ling Lan kembali tenang, dia tahu dia telah membuat pilihan yang betul.

Seperti yang dijangka, Nombor Satu memberikan cadangannya. "Saya cadangkan kamu pilih Siri Pertahanan."

Sebenarnya kehadiran Nombor Satu bukanlah sekadar untuk mengenalkan set-set ini sahaja. Dia sebenarnya salah seorang daripada pemeriksa. Daripada ayatnya yang pertama lagi dia telah mengelirukan ramai orang. Dia memberikan mereka tanggapan palsu yang mereka bebas memilih mana-mana set kemahiran fizikal yang telah diterangkan olehnya.

Sudah tentu, sebaik seseorang itu sudah membuat pilihan, Nombor Satu akan membenarkan dia berlatih set kemahiran fizikal itu. Persoalannya, adakah set yang dipilih itu benar-benar sesuai dengannya?

Pada mulanya alat pembelajaran direka untuk memupuk kecemerlangan di kalangan mereka yang berbakat luar biasa. Walaupun cara pemilihan ini masih dapat menghasilkan beberapa orang yang hebat, ia tidak selaras dengan matlamat asal alat-alat pembelajaran itu.

Jadi, satu-satunya penjelasan yang masuk akal ialah semua ini hanya satu ujian. Ujian yang menaksir kemahiran pengamatan dan pentaakulan logik seseorang. Sesiapa yang bijak akan menyedarinya. Adakah kehadiran jurulatih yang menggerunkan seperti Nombor Satu diperlukan untuk memberi pengenalan mudah mengenai set kemahiran fizikal? Sungguh tidak masuk akal.

Tentulah Ling Lan tidak sebijak itu. Dia langsung tidak perasan perkara yang tidak logik ini, dan sebenarnya memang telah tertipu. Namun begitu, dia amat pasti tentang satu perkara iaitu Nombor Satu amat kuat. Lagipun dia percaya tiada siapa yang tahu mengenai kelebihan dan kekurangan ketiga-tiga set kemahiran fizikal itu lebih daripada Nombor Satu. Memandangkan ada jurulatih yang mengagumkan di hadapannya, bukankah sia-sia jika dia tidak meminta nasihat?

Jadi pada saat-saat genting itu, Ling Lan membuat keputusan untuk bertanya pada Nombor Satu. Secara kebetulan Ling Lan telah berjaya melepasi satu lagi ujian. Nampaknya dia memang amat bertuah.

Setelah Nombor Satu memberikan cadangan, pastilah Ling Lan tidak memandai-mandai memikirkan dia boleh buat pilihan yang lebih baik. Dia terus memilih untuk belajar kemahiran fizikal dalam Siri Pertahanan.

Sebaik Ling Lan mengesahkan pilihannya secara verbal, pemandangan di hadapan matanya berubah. Ketika ini Nombor Satu sudah menghilangkan diri dan orang di hadapannya kini seorang askar perempuan yang kelihatan lemah lembut. Askar itu senyum dan berkata, "Helo. Dalam tempoh waktu ini, saya yang akan bertanggungjawab di atas latihan kamu. Kamu boleh panggil saya Nombor Sembilan."

Badan Nombor Sembilan kurus dan dia tidak mempunyai aura yang kuat seperti Nombor Satu. Kuasanya datang dari dalaman. Dia ibarat arnab liar yang berdiri kaku sebelum menyerang dengan pantas sebaik mendapat peluang.

Ling Lan percaya jika berlaku pergaduhan, pahlawan wanita ini mampu mengalahkan lelaki bertubuh sasa hanya dengan satu pergerakan. Dia berkata dengan hormat, "Jurulatih Nombor Sembilan, tolong ajar saya."

Nombor Sembilan tidak berkata apa-apa lagi tetapi terus melakukan beberapa senaman regangan, jelas mengisyaratkan kepada Ling Lan untuk mengikut pergerakannya.

Ling Lan mendapati walaupun pergerakan ini nampak mudah, hakikatnya tidak. Mereka meregangkan setiap bahagian tubuh badan sehingga ke tahap ekstrem. Tujuannya, meningkatkan kelenturan badan. Pergerakan ini hampir sama dengan pergerakan yoga yang popular 10000 tahun dahulu mengingatkan Ling Lan pada zamannya sebelum ini.

Set pergerakan ini mempunyai sejumlah sembilan posisi. Selepas Nombor Sembilan melakukan kesemua pergerakan sebanyak tiga kali, dia menyedari yang Ling Lan sudah mengingati kesemuanya. Tanpa memberi Ling Lan peluang untuk bertanyakan soalan, dia menghantar minda sedar Ling Lan kembali ke dewan belajar utama dengan hanya menggerakkan jarinya.

Ling Lan menjadi pening akibat keadaan yang tidak diduganya ini. Dia memeluk kepalanya dan duduk mencangkung. Dia tidak bergerak dan menantikan rasa peningnya hilang. Sebaik rasa pening itu perlahan-lahan hilang, dia menyedari Empat Kecil telah menantinya di luar dengan penuh kebimbangan. Empat Kecil berpusing-pusing di sekeliling Ling Lan untuk memastikan dia tidak apa-apa.

"Saya tak apa-apa, Empat Kecil. Cuma letih sedikit. Saya perlu keluar dan berehat sebentar." Ling Lan berusaha untuk senyum bagi meyakinkan Empat Kecil. Dia merasakan tenaga rohani dan mentalnya habis digunakan. Dia sangat penat dan hanya mahu tidur.

Dia terus mengucapkan selamat tinggal kepada Empat Kecil, kembali ke badan fizikalnya dan kali ini dia benar-benar tidur mati.

Dalam keadaan Ling Lan tidak sedarkan diri, dia tidak tahu Empat Kecil yang resah telah menggunakan tenaganya secara rahsia untuk membantu Ling Lan mengaktifkan peredaran tenaga Qi. Empat Kecil melakukannya berulang kali sehinggalah tenaga Qi Ling Lan dapat beredar dengan sendirinya. Kemudian barulah Empat Kecil berhenti dan menyimpan tenaganya.

Setelah selesai, imej Empat Kecil di dalam ruang pembelajaran mula menjadi semakin malap...

avataravatar
Next chapter