27 Tujuan Sebenar Ujian Ini

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tidak lama selepas mereka memulakan larian, langit yang cerah berubah menjadi mendung dan menakutkan. Awan ribut mula berkumpul, dan guruh berbunyi. Qi Long yang berada di hadapan sekali berkata, "Nasib kita tidak baik! Kenapa hujan hendak turun ketika giliran kita? Cepat semua, kalau tidak nanti lebih sukar untuk berlari apabila betul-betul hujan dan keputusan kita pasti akan terjejas. "

Selepas selesai bercakap, Qi Long baru sahaja ingin mempercepatkan lariannya, apabila Han Jijyun bersuara dari belakang, "Long, jangan lari lebih laju. Teruskan sahaja lari sebegini. "

Qi Long keliru. Dia tidak faham mengapa Han Jijyun tidak mahu dia mempercepatkan lariannya. Jika hujan turun, mereka perlu menggunakan lebih banyak tenaga untuk berlari. Hujan juga akan menjejaskan kelajuan mereka. Markah mereka dalam ujian ini berdasarkan kelajuan mereka tiba di garisan penamat. Jadi bukankah mereka sepatutnya lari sejauh yang mereka mampu sebelum hujan?

Walaupun Qi Long berasa ragu-ragu, salah satu kekuatannya ialah dia mempunyai kesedaran diri. Dia tahu yang Han Jijyun jauh lebih bijak daripada dia, terlalu bijak sehingga membuatkan Qi Long iri hati. Memandangkan Han Jiyun telah berkata begitu, pasti ada sesuatu yang dia terlepas pandang. Lagipun telah terbukti berkali-kali sebelum ini yang kata-kata Han Jiyun sering terbukti benar, jadi Qi Long akan mempercayainya.

Oleh itu, Qi Long menolak tepi keraguannya dan mengekalkan kelajuannya. Nampaknya selain Luo Lang, tiada siapa dalam kumpulan Ling Lan yang seuka bersaing. Walaupun Luo Lang mempunyai sikap bangga diri, dia juga seorang yang bijak. Jadi apabila dia terdengar nasihat Han Jijyun pada Qi Long, dia juga memutuskan untuk tidak mempercepatkan lariannya dan hanya mengikuti Qi Long.

Di kalangan rakan sebaya mereka, semua orang tahu akan kebijaksanaan Han Jijyun. Luo Lang juga mengaguminya tetapi malangnya, Han Jijyun telah berkawan dengan Qi Long, si dungu itu, sebelum Luo Lang dapat bertemu dengannya. Dia sangat menyesal yang dia telah terlambat dan merasakan ini satu kerugian. Kalau dia mengenali Han Jijyun terlebih dahulu, Qi Long tidak akan mempunyai peluang untuk berkawan dengannya.

Yang lain juga mengekalkan kelajuan mereka dan jarak yang rapat dengan kumpulan supaya mereka tidak ketinggalan. Sesiapa sahaja yang layak mengambil ujian pendaftaran Pusat Akademi Pengakap Doha ini bijak berfikir. Pergaduhan di antara Qi Long dan Luo Lang telah menunjukkan yang mereka berdua ini lebih kuat daripada yang lain, jadi jika mereka berdua tidak takut untuk membazirkan masa, mengapa ahli kumpulan yang lain perlu takut?

Han Jijyun mempercepatkan langkahnya untuk mengejar Ling Lan, dan berlari di sebelahnya. Dengan suara perlahan dia bertanya, "Ling Lan, apa pendapat kamu?" Han Jijyun merasakan yang Ling Lan tahu sesuatu.

"Bukankah kamu sendiri sudah perasan?" tanya Ling Lan dengan perasaan terluka. Tak guna, ini rupanya maksud mempunyai tuah. Han Jijyun baru berusia enam tahun, tetapi dia sudah cukup bijak untuk menemui sesuatu yang tidak kena dengan keadaan ini. Ling Lan menjadi malu apabila membandingkan dirinya dengan Han Jiyun.

Dia menyedari ada yang tidak kena dengan ujian ini hanya kerana pengalaman daripada dua hayatnya, serta latihan dan ujian yang intensif di ruang minda pembelajaran. Tahun ini terutamanya, Ling Lan tidak mempunyai misi dan latihan khusus, tetapi telah diseksa dengan pelbagai cara oleh Nombor Satu. Ini membuatkannya kini melihat segala-galanya dengan syak wasangka. Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk meneliti setiap perkara.

Han Jijyun tidak menyedari kesedihan Ling Lan. Dia berkata dengan tegas "Hm, tiada beza sama ada kita mempercepatkan kelajuan atau tidak. Kita tak boleh elak apa yang akan terjadi. Mungkin mereka mahu melihat cara kita bertindak balas di bawah tekanan. "

"Pemeriksa tidak memberikan laluan yang jelas untuk kita, saya syak... ujian ini mungkin tidak mempunyai garisan penamat biasa," kata Ling Lan. Kebijaksanaan Han Jijyun membuatkan Ling Lan tidak bimbang untuk berbincang dengan bebas.

Dia akhirnya tidak perlu berpura-pura sebagai seorang kanak-kanak! Bersembang dengan kanak-kanak yang berbakat ini bermakna bakatnya sendiri tidak akan kelihatan terlalu pelik. Ling Lan berasa sangat gembira sehingga mahu menangis. Tidak mudah berpura-pura menjadi seorang kanak-kanak selama enam tahun.

Han Jijyun memikirkan kata-kata Ling Lan. Selepas beberapa ketika, dia menjawab, "Mungkin ujian sudah bermula sejak kita melangkah masuk ke padang."

"Apa maksud kamu?"

"Adakah tempat ini padang sebenarnya?" Kata-kata Han Jijyun menyedarkan Ling Lan. Dia teringat kembali ketika dia mula-mula memasuki padang ini, pintu masuk itu tidak kelihatan seperti pintu masuk padang yang biasa.

"Tunggu dan lihat," Ling Lan dan Han Jijyun berpandangan sesama sendiri dan berkata dengan serentak. Oleh kerana mereka telah terperangkap dalam ilusi ini, mereka hanya boleh meneruskan sahaja larian mereka.

Selepas mereka berlari jauh sedikit, hujan mula turun dengan lebat. Ahli kumpulan Ling Lan terus basah kuyup dan hujan itu mengaburkan penglihatan mereka serta menukarkan tanah yang mereka pijak menjadi lumpur. Pakaian mereka menjadi berat kerana telah menyerap air hujan dan melekat pada badan mereka. Ini memperlahankan pergerakan mereka. Selepas berlari beberapa ribu meter, tambahan pula dengan masalah baru ini, mereka semakin letih. Terutama sekali bagi kedua-dua orang budak perempuan dalam kumpulan mereka. Mereka berdua sudah mula tercungap-cungap.

"Ini air sebenar, bukan ilusi," Ling Lan membuat kesimpulan selepas memerhatikan keadaan badannya. Nampaknya ujian ini menggunakan ilusi dan alatan sebenar. Ling Lan pasti di dalam ruang ini, penyiram telah dipasang pada siling...

Oleh kerana mereka sudah tahu yang mereka berada dalam persekitaran maya di dalam sebuah bilik, Ling Lan memutuskan untuk mengabaikan apa yang dia dapat lihat, dan dia cuba membayangkan bilik itu dalam mindanya.

Padang maya ini memang telah direka dengan baik. Trek padang ini sebenarnya ialah litar bulat yang besar. Jadi walaupun mereka yang terperangkap di dalam ilusi itu berlari beberapa pusingan di atas trek, mereka tidak akan mengesyaki yang mereka hanyalah berada di dalam sebuah bilik tertutup.

Kumpulan Ling Lan berlari beberapa ribu meter lagi - walaupun mereka rasa yang mereka telah melakukan banyak pusingan, tiada seorang pun pemeriksa datang untuk memaklumkan pada mereka tentang jumlah pusingan yang mereka masih perlu lakukan. Ujian yang seolah-olah tidak berkesudahan ini menggoyahkan hati beberapa kanak-kanak yang lemah. Kelajuan kedua-dua orang budak perempuan itu telah berkurangan dengan ketara, dan mereka semakin perlahan sehingga berada di bahagian belakang kumpulan mereka.

Kedua-dua ahli keluarga mereka, Luo Lang dan Han Jijyun, berpura-pura tidak nampak, dan meneruskan larian mereka.

Dahi Ling Lan berkerut. Bukankah mereka patut cuba membantu budak-budak perempuan itu?

Han Jijyun seolah-olah perasan reaksi Ling Lan, dan dengan cepat menjelaskan, "Untuk menjadi seorang tentera, seseorang harus bergantung pada kekuatan diri sendiri. Membantu dia akan membahayakannya. Di medan perang, kamu tidak boleh bergantung pada orang lain untuk terus hidup."

Ada benarnya kata-kata Han Jijyun itu dan Ling Lan juga bukan seorang yang terlalu baik hati yang akan berkeras mahu membantu. Sewaktu dia mula tidak mempedulikan budak-budak perempuan itu, dia terfikirkan sesuatu lalu berhenti sejenak.

Adakah ini benar-benar ujian stamina dan kelajuan sahaja? Jika ya, matlamat itu boleh dicapai dengan mudah di padang biasa, perlukah mereka menggunakan teknologi ilusi berharga ini untuk mencipta persekitaran maya? Tambahan pula, apa perlunya memecahkan mereka ke dalam kumpulan yang banyak?

Dia mengimbas kembali maraton yang dia pernah tonton pada zaman silamnya. Berpuluh-puluh ribu orang boleh berlari secara serentak. Ling Lan telah memerhatikan kelebaran trek itu, kira-kira 50 meter lebarnya. Walaupun tidak semua orang berlari pada masa yang sama, trek itu masih boleh memuatkan ratusan atau ribuan orang. Tidakkah itu akan mempercepatkan proses ujian dan menjimatkan masa?

Mungkin ujian ini bertujuan untuk menguji bahagian lain juga. Apakah tujuan sebenar ujian ini? Ling Lan tahu yang jawapan pada soalan ini ialah kunci pada ujian ini. Jika dia dapat jawapannya, dia akan tahu cara untuk lulus.

Apakah maksud di sebalik ucapan pemeriksa tadi? Empat Kecil membantu Ling Lan dengan memainkan semula kata-kata pemeriksa tadi.

Ish, hanya mendedahkan apa yang dia mahu kamu ketahui, dan membiarkan maklumat lain kekal misteri. Seperti yang dia jangkakan daripada pemeriksa khas yang dipilih daripada pasukan tentera...

Tunggu sekejap. Dipilih daripada pasukan tentera? Tentera? Ling Lan telah menyedarinya. Dia faham! Semua pemeriksa mereka ialah ahli tentera, inikah petunjuknya? Selain itu, unit ketenteraan paling kecil mempunyai sepuluh orang ahli, sama seperti kumpulan mereka sekarang!

avataravatar
Next chapter