2 Tuan Muda Ling Lan Dilahirkan!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan kembali sedar sekali lagi tetapi kali ini dia merasakan sesuatu yang pelik dengan matanya. Oleh itu, dia hanya mengharapkan deria rasanya. Dirinya seolah-olah berada di dalam kantung air suam, dan dikelilingi cecair. Kadangkala, kantung itu seperti digerakkan oleh seseorang dan dia akan berlanggar sesuatu.

Mungkinkah dia belum mati? Adakah dia diletakkan di dalam larutan nutrisi oleh pihak hospital untuk menjaga badannya?

Sebelum dia dapat memahami apa yang sedang berlaku, kesedarannya kelam dan dia diselubungi kegelapan sekali lagi.

Setelah beberapa ketika berlalu, Ling Lan sedar kembali tapi dia masih berada di dalam kantung air suam itu. Namun kali ini, dia sedar lebih lama dari sebelumnya. Kali ini juga dia mendengar bunyi-bunyian yang perlahan seperti berada di sebalik beberapa buah dinding. Jadi dia tidak dapat mendengar bunyi-bunyi itu dengan jelas. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku kepadanya tetapi pergerakkannya terbatas. Maka dia hanya mampu mentafsirkan bunyi-bunyian tersebut. Sebelum dia dapat meneruskannya, dia kembali tidak sedar.

Jahanam! Tak bolehkah dia dapat sedikit masa lagi? Sewaktu Ling Lan hilang kesedaran, dia tidak dapat menahan dirinya daripada memprotes.

Seolah-olah rungutannya didengari, tempoh waktu Ling Lan sedar semakin bertambah panjang sehinggalah pada satu hari, dia mendapati yang dia boleh bergerak.

Setelah lama terperangkap, tentulah dia menghayun penumbuknya dan menendang sekuat hati. Namun, setelah hanya melakukan beberapa pergerakan, dia keletihan dan mengantuk semula.

Ini tak boleh jadi. Dia tidak boleh berterusan lemah seperti ini, jika tidak, bagaimana dia dapat menahan kesakitan terlampau itu apabila tiba masanya? Bercakap tentang kesakitan, dia sudah lama tidak merasakannya. Mungkinkah kesakitan itu hanya dirasai sewaktu dia tidak sedar? Tiba-tiba Ling Lan merasakan mungkin berada dalam keadaan tidak sedar itu bagus juga.

Namun, Ling Lan bukanlah gadis yang suka mengelak daripada masalah. Jika ya, tidak mungkin dia dapat hidup setiap hari dalam kesakitan yang tidak tertahan selama 24 tahun. Dia menghimpunkan semangatnya dan mula melakukan latihan kesihatan Qi yang diajar oleh seorang doktor Cina tua yang pernah merawatnya sewaktu dia pertama kali masuk ke hospital tentera itu.

Walaupun dia masih tidak merasakan tenaga Qi terbentuk setelah berlatih selama lebih 10 tahun, kesakitan badannya akan berkurangan dengan banyak selepas setiap sesi dan mudah untuk dia bertahan. Mungkin ini disebabkan oleh khayalannya sendiri ataupun sejenis kesan plasebo, tetapi hal ini telah memberikan dia motivasi untuk terus berlatih.

Dia hilang kesedaran semasa sedang melakukan latihan itu dan apabila dia sedar semula, dia tidak tahu berapa lama masa telah berlalu. Dia menggerakkan badannya dan mengalih-alih kedudukannya sebelum berhenti untuk mengamati keadaan badannya dan dia terus tergamam. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini...sesuatu seperti tenaga Qi. Rasa seperti berada dalam mimpi atau fantasi. Mungkinkah dia orang berbakat yang direstui oleh syurga dan kematian palsunya telah menyebabkan meridian luar biasanya, iaitu Ren dan Du, terbuka lalu mengubahnya menjadi seorang pakar seni mempertahankan diri?

Ling Lan tidak faham kenapa dia berjaya kali ini sedangkan usaha keras selama lebih 10 tahun tidak menampakkan sebarang kesan. Namun, kejayaannya mengesan tenaga Qi amat baik. Doktor Cina tua itu pernah berkata jika dia berjaya mengesan tenaga Qi, kemungkinan penyakitnya dapat disembuhkan. Selama 24 tahun dia berharap penyakitnya sembuh supaya dia tidak perlu lagi hidup dalam kesakitan yang tidak tertahan setiap hari. Kesakitan ibarat seluruh badannya dihancurkan.

Ling Lan sangat gembira dan keghairahannya untuk terus berlatih semakin membuak-buak. Dia mula berlatih setiap kali dia terjaga dan ini berterusan sehingga dia mencapai tahap meditasi. Sehingga sekarang, dia masih tidak sedar yang dia sudah menjadi janin dan dia tidak lagi perlu bimbang tentang perkara yang berlaku pada kehidupan silamnya. Kebimbangannya itu hanya sia-sia.

********

Lan Luofeng mengusap perutnya dengan wajahnya menunjukkan kebimbangan. Kandungannya sudah masuk 5 bulan tetapi dia tidak dapat merasakan pergerakan bayinya. Jika tidak kerana keputusan ujian perubatan yang menunjukkan bayinya sedang membesar dengan normal, dia pasti akan berasa tertekan.

Sebenarnya, dia tidak boleh lagi menerima sebarang berita buruk. Sebulan selepas suaminya Ling Xiao pergi berperang, ada berita mengatakan telah berlaku kemalangan sewaktu armada yang diketuai suaminya itu memasuki sebuah terowong kematian ketika ingin merusuki kem musuh. Pihak ibu pejabat telah terputus hubungan dengan armada itu.

Kemudiannya, mereka mengesahkan armada itu telah bertembung dengan gangguan tenaga semasa melalu zon meteorit bintang mati semasa melepasi terowong kematian, dan seluruh armada telah diserap oleh tenaga dahsyat ini. Tiada seorang pun terselamat. Semua ahli pasukan itu hilang dan tiada mayat yang dijumpai.

Sebelum sempat dia menerima berita yang dahsyat ini, sesuatu yang lebih buruk telah berlaku. Seorang ahli keluarga jauh daripada beberapa generasi berbeza dengan Ling Xiao telah "menawarkan diri" untuk mewarisi kehormatan dan keistimewaan yang diperoleh daripada pengorbanan Ling Xiao. Dia juga berani menyatakan dia sedang menolong Lan Luofeng dan akan menjaganya seumur hidup.

Lan Luofeng segera menghalau keluar lelaki keji itu tetapi manusia-manusia tidak berperikemanusiaan itu tidak berputus asa. Mereka telah membawa wakil dari kerajaan persekutuan untuk membincangkan perkara itu.

Lan Luofeng bukanlah seorang yang lemah. Dia tahu tangisan akan menyebabkan pengorbanan Ling Xiao diambil kesempatan oleh manusia-manusia hina itu. Tanpa mempunyai sebarang pilihan, dia dengan pantas membuat keputusan. Di hadapan mereka yang penuh kebencian dan penghinaan itu, dia mengumumkan Ling Xiao mempunyai anak lelaki yang sedang dikandungnya dan anak lelakinya itu mempunyai hak untuk mewarisi segala penghormatan Ling Xiao.

Berat sebelah sebenarnya wujud dalam undang-undang pewarisan Persekutuan berkaitan dengan faedah ketenteraan iaitu hanya ahli keluarga lelaki dapat mewarisinya. Hal ini menyebabkan sejak dari mula lagi Lan Luofeng tidak mendedahkan dia sedang mengandung. Dia dan penjaganya, Ling Qin, tahu anak di dalam kandungannya itu perempuan, tetapi dalam keadaan ini, dia tidak boleh menyerah kalah. Ling Qin menyetujui serta menyokong sepenuhnya keputusan itu.

Mereka sudah memikirkan segalanya. Sebaik Ling Lan dilahirkan, mereka akan mengambil seorang bayi perempuan untuk dibesarkan bersama-sama Ling Lan sebagai pengawalnya yang juga akan dikahwinkan dengan Ling Lan apabila mereka dewasa kelak.

Mereka juga akan memikirkan cara untuk menguruskan identiti Ling Lan yang satu lagi supaya dia akan dapat muncul di khalayak ramai sebagai seorang gadis juga. Sudah semestinya semua perkara ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam lagi. Lan Luofeng percaya apabila Ling Lan dewasa kelak, dia boleh mendapatkan penyelesaian yang membolehkan Ling Lan menikmati kehidupannya sebaik mungkin.

Dalam fikiran Lan Luofeng hanya satu perkara iaitu semua harta miliknya dan Ling Xiao hanya boleh diwarisi oleh Ling Lan. Kesemua keparat yang entah dari mana datangnya itu tidak akan diberi peluang untuk mengambil kesempatan terhadap Ling Lan. Dia tidak akan membenarkan perkara itu berlaku, walau apa pun akibatnya.

Sudah tentu salah satu sebab Lan Luofeng berasa yakin ialah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh semua pekerja keluarga Ling Xiao. Mereka bersatu menjaga keselamatan keluarga Ling dan sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling supaya manusia-manusia tamak itu tidak dapat membahayakan Tuan Muda mereka. Tambahan pula, keluarga Ling mempunyai hospital persendirian mereka, maka lebih mudah bagi Lan Luofeng untuk merahsiakan jantina sebenar Ling Lan.

Di bawah kawalan ketat seperti ini, akhirnya tibalah waktu untuk Lan Luofeng bersalin. Sudah tentulah hospital persendirian milik keluarga mereka menjadi tempat pilihan untuk dia bersalin. Tiada ruang untuk berlakunya kesilapan dalam langkah terakhir ini. Doktor dan jururawat yang bertanggungjawab untuk menjaga Lan Luofeng sewaktu bersalin ialah orang-orang yang setia dan dipilih khas oleh Keluarga Lin. Mereka tidak mungkin akan membocorkan rahsia ini.

********

Ling Lan masih lagi berlatih apabila jeritan demi jeritan mengganggunya bermeditasi dan membuatkan dia berasa sakit hati. Pada masa yang sama dia dapat mendengar bunyi air mengalir dan kemudian badannya ditolak oleh satu daya yang tidak diketahui dan dia mula meluncur ke bawah.

Terkejut dengan keadaan tersebut, dia cepat-cepat mengangkangkan kakinya untuk mengekalkan posisinya, menghentikan tubuhnya daripada terus meluncur ke bawah.

"Jahanam, kenapa budak ini tak keluar? Cecair amnion sudah hampir kering." Doktor dan jururawat perbidanan semakin berpeluh. Segalanya nampak seperti berjalan lancar tetapi bayi itu enggan keluar. Semakin lama keadaan ini kelihatan seperti masalah pelahiran tersekat. Kalau begitu maka mereka perlu melakukan pembedahan Caesarean. Kalau pembedahan dilakukan, lebih ramai yang akan terlibat dan ini meningkatkan peluang untuk rahsia mereka bocor.

Lan Luofeng mengetap gigi dan membelai perutnya sambil berkata, "Sayangku, jangan seksa ibu lagi. Cepatlah keluar jumpa ibu. Walaupun kamu marahkan ibu kerana jadikan hidup kamu tak normal, kamu masih perlu keluar untuk memarahi ibu, bukan?"

...Baiklah, IQ Lan Luofeng telah menjadi negatif kerana kesakitan tidak tertanggung jadi apa yang dikatakannya tidak patut diambil serius. Ibu mana mahu dimarahi anak sendiri?

Tetapi, kata-kata Lan Luofeng didengari oleh Ling Lan dan bersama-sama dengan apa yang baru saja dirasainya serta keadaannya tidak berapa lama dulu, Ling Lan tiba-tiba menyedari yand dia telah menjadi janin. Patutlah lama dia tidak dapat bergerak...

Namun, bukankah dia mati? Adakah ini penjelmaan semula? Kenapa dia tidak minum sup Meng-Po1? Adakah memori kehidupan lepas terlalu kuat tertanam di dalam fikirannya? Suara yang lembut dan merdu dari ibu barunya itu membuktikan ini bukanlah ibunya daripada kehidupan lepas, jadi ini bukan kelahiran semula.

'Tolonglah, masih ada masa nak fikirkan tentang jelmaan dan kelahiran semula? Ibu kamu sedang bertarung nyawa akibat pelahiran tersekat yang disebabkan oleh kamu...luruskan kaki sekarang!' Suara keanak-anakan itu berbunyi dalam fikirannya dalam nada panik, mengingatkan dia tentang apa yang perlu dilakukannya sekarang.

Ling Lan mendengar dan meluruskan kakinya. Kemudian terdengar jeritan yang menyayat hati dan satu lonjakan tenaga menolak badannya keluar.

Dengan segera dia dapat mengesan kehadiran cahaya...

Sebelum dia dapat melakukan apa-apa, dia merasakan jari-jari mengorek mulutnya membuatkan dia mahu muntah. Dia membuka mulut untuk membantah dan kemudian dia mendengar pekikannya sendiri!

Itulah dia, pekikan! Ling Lan tidak akan mengaku itu ialah raungannya kerana ia sangat memalukan.

"Puan, Cik Muda sihat!" Doktor keluarga Ling akhirnya menghela nafas lega. Tugas mereka selesai dengan kedua-dua ibu dan anak selamat. Dia tersenyum sambil membawa Ling Lan yang dengan degilnya mendiamkan diri kepada Lan Luofeng.

Lan Luofeng membuka matanya yang kepenatan dan membelai anaknya dengan penuh kasih sayang. Kemudian wajahnya bertukar serius. Dia berkata dengan tegas, "Beritahu Pak Cik Qin, Tuan Muda Ling Lan dan saya dalam keadaan baik!"

"Baik Puan!" Doktor berhenti tersenyum dan wajahnya bertukar serius.

Kelahiran Cik Muda, tidak, Tuan Muda ini tidak bermaksud perkara ini telah berakhir. Bagi menyelamatkan penghormatan yang ditinggalkan oleh Mejar Jeneral Ling Xiao, masih banyak lagi halangan yang perlu mereka tempuhi.

avataravatar
Next chapter