14 Takut pada Ketinggian ialah Masalah Besar

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila kereta apung itu memasuki sebuah bandar yang luas, Ling Lan dapat melihat pencakar langit yang tinggi dan bangunan lain di sekelilingnya. Ini membuatnya merasakan dia benar-benar berada di dunia masa depan. Hampir setiap tingkat pada setiap bangunan mempunyai tempat letak kereta dan Ling Lan nampak banyak kereta apung berada pada pelbagai tingkat pada bangunan-bangunan tinggi tersebut. Pemandangan tersebut membuatnya teringatkan pokok Krismas yang dihias indah, sangat unik dan menarik. Ini kerana kereta-kereta apung tersebut mempunyai pelbagai warna. Semua warna-warna itu terang dan menarik perhatian.

Dengan cepat, Ling Lan tiba di destinasinya. Ling-Kosong-Tujuh berhenti seketika sambil terapung di udara sementara meminta kelulusan pendaratan dari bangunan yang menjadi destinasi mereka. Kelulusan diterima dengan cepat dan mereka diberitahu untuk meletakkan kereta di Kawasan B Nombor 77-9.

Kereta apung tersebut mula mengelilingi bangunan sehingga tiba di bahagian tertentu. Kemudian, kereta itu mula naik dan terus naik ke tingkat yang tidak diketahui, sebelum akhirnya mendarat pada satu tempat pendaratan yang kosong.

Selepas Ling-Kosong-Tujuh selesai meletakkan kereta dengan betul, pintu kereta sekali lagi terbuka dengan sendirinya. Ketika Lan Luofeng melangkah keluar dari kereta, dengan membongkok sedikit, Ling Lan memandang lantai di bawah kaki ibunya...dan kemudian, berlaku tragedi!

Lantai tersebut lutsinar, segala-gala yang berada di bawah dapat dilihat dengan jelas. Dan dengan begitu sahaja, Ling Lan menjadi pening dan kepalanya berpusing.

Habislah, nampaknya dia takut pada ketinggian! Memandangkan dia telah terlantar atas katil sejak pada usia yang muda dan hampir sepanjang hidupnya, dia tidak pernah tahu dia mempunyai kelemahan seteruk ini.

Ling Lan hampir menangis. Dia mula terfikir yang datang ke masa depan ialah sesuatu yang teruk. Dalam perjalanan dari rumah ke sini, dia mendapati yang hampir semua bangunan di dunia ini mempunyai 100 tingkat atau lebih. Tambahan pula, nampaknya mod pengangkutan utama di sini ialah kereta apung, yang boleh berada beberapa ratus meter di udara. Semua ini hanya membuktikan yang dia tidak akan dapat melarikan diri daripada tempat yang tinggi dalam kehidupan ini.

Ling Lan berasa takut...bagaimana dia hendak hidup? Tanpa menyedari perasaan Ling Lan, Lan Luofeng membawanya masuk ke dalam bangunan dan memasuki lif lutsinar.

Selepas itu, tidak hairanlah Ling Lan pengsan secara dramatik. Er...maksud dia, tertidur. Sekurang-kurangnya itulah yang dipercayai oleh ibunya, Lan Luofeng. Dia tidak perasan air mata membasahi bulu mata Ling Lan.

Jika Lan Luofeng perasan sekalipun, dia hanya akan menganggap yang air mata itu ada kerana bayinya mengantuk. Lihat, tidakkah air matanya membuatkan matanya berkilau dengan comel sekali?

Ling Lan tidak tahu berapa lama dia telah pengsan...eh, tidur, sebelum dia dikejutkan dengan bunyi pekikan. Membuka matanya yang masih agak kabur, dia nampak sseeorang yang menyerupai seekor naga betina yang mengamuk dan sedang menghembuskan api.

"Lan Luofeng, kamu fikir kamu masih layak datang ke sini?" Wanita yang terpekik-pekik itu agak cantik, tetapi sikapnya yang tidak begitu menyenangkan telah merendahkan nilai dirinya.

Pada pandangan pertama, Ling Lan telah mengkategorikannya sebagai watak yang menjijikkan. Dia tidak suka sesiapa yang menghina ibunya.

Namun, Ling Lan masih berasa ingin tahu. Sehingga kini, dia langsung tidak nampak orang yang berwajah hodoh. Semua orang sekurang-kurangnya mempunyai wajah yang manis. Ling Lan meneka yang dunia masa depan ini mungkin teknologinya cukup maju. Cukup sehingga ciri seseorang boleh diubahsuai sewaktu masih dalam kandungan?

Oh, Ling Lan, kamu fikir janin itu apa? Sesuatu program atau mesin? Diubahsuailah sangat...

Kelak, Ling Lan akan mengetahui, walaupun memang ada kaitan dengan teknologi seperti yang dijangkakannya, namun perubahan tersebut tidak dibuat sebelum kelahiran, tetapi selepas. Sesiapa yang penampilannya tidak sesuai dengan parameter kecantikan tertentu boleh memilih untuk menggunakan agen pembetulan kecantikan untuk memperbaiki penampilan mereka. Walaupun kedengaran mengagumkan, pada dasarnya prinsip ini sama seperti pembedahan kosmetik, hanya lebih maju dari segi teknologi supaya segala-galanya boleh dilakukan melalui suntikan tanpa perlu pembedahan.

Sudah tentu, ini tidak menghalang golongan ekstremis, iaitu mereka yang menolak penggunaan agen dan memilih untuk membuat pembedahan demi kecantikan.

Lan Luofeng tidak mengatakan apa-apa pada wanita yang sedang merenungnya itu. Dia hanya memandang sekilas ke arah wanita itu, sebelum mengabaikannya dan terus menuju ke bilik VIP yang kosong bersama Ling Lan.

Kelakuan Lan Luofeng membuatkan wanita tersebut lebih berang. Dia memegang bahu Lan Luofeng dan hampir mengatakan sesuatu apabila Lan Luofeng memarahinya, "Lepaskan!"

Sebelum wanita tersebut dapat berbuat demikian, Ling Qin yang selama ini berdiri beberapa langkah dari Lan Luofeng, segera bertindak dengan tegas.

Wanita tersebut menjerit apabila ditolak selangkah dan cengkamannya terlepas. Kekaguman terpancar pada mata Ling Lan. Dia tidak menjangkakan Ling Qin yang lemah lembut mempunyai kemahiran seperti itu. Pergerakan kecil yang hampir tidak dapat dilihat itu telah ditangkap oleh mata Ling Lan yang terbuka luas.

"Puan, sila masuk ke bilik VIP dengan Tuan Muda. Terlalu ramai pengacau di sini, mereka tidak sepatutnya mengganggu Puan." Tanpa sebarang ekspresi pada wajahnya, Ling Qin melangkah di antara wanita tersebut dan Lan Luofeng. Jika dia berdiri lebih dekat dengan Lan Luofeng tadi, wanita ini tidak akan mempunyai peluang untuk meletakkan tangan pada Puannya.

Ling Qin kecewa dengan dirinya sendiri. Disebabkan kecuaiannya, wanita tersebut telah berjaya mendekati Puan dan Tuan Muda. Sekiranya dia mempunyai niat jahat… Ling Qin merasakan yang badannya menggigil ketakutan memikirkan kemungkinan itu.

Sebenarnya, Ling Qin terlalu tegas pada dirinya sendiri. Jika seseorang benar-benar mempunyai niat untuk mengapa-apakan Lan Luofeng dan Ling Lan, seorang pakar yang berkaliber sepertinya pasti telah dapat mengesannya dan mengambil langkah pertahanan yang sesuai. Dia hanya terkejut kerana dia tidak mengesan niat membunuh daripada orang di sekelilingnya. Selain itu, seksyen VIP ini dikhaskan untuk wanita, jadi orang di sekelilingnya hanyalah wanita bangsawan atau wanita dari keluarga yang kaya dan berpangkat tinggi. Ini membuatkan Ling Qin melambatkan langkahnya tanpa disedari.

"Baiklah Pak Cik Qin!" Lan Luofeng tidak berminat bertengkar dengan wanita tersebut dan menjadi tontonan awam.

Semenjak Ling Xiao mati dan Lan Luofeng memutuskan hubungan dengan keluarga Ling, dia tahu yang dia akan diabaikan oleh beberapa kumpulan wanita bangsawan. Selama beberapa tahun ini, walaupun keluarga Ling tidak menjalankan strategi perniagaan yang hebat, mereka proaktif dalam mengatur perkawinan dengan pelbagai keluarga elit dan bangsawan. Walaupun kadang-kala mereka tidak dapat berkahwin dengan anak sulung keluarga tersebut, mereka masih dapat membina hubungan dengan keluarga berkenaan.

Wanita yang telah memegang Lan Luofeng tadi termasuk salah seorang yang bakal mengahwini salah seorang ahli keluarga Ling. Keluarganya telah bersetuju dengan ikatan perkahwinan kerana mereka berminat dengan kehebatan Ling Suzheng dan Ling Xiao dalam aspek ketenteraan. Mereka berharap keluarga Ling dapat membantu mereka dengan kuasa tersebut. Walau bagaimanapun, setelah kematian mengejut Mejar Jeneral Ling Xiao, keluarga Ling telah gagal merampas kuasa daripada Lan Luofeng dan terpaksa meninggalkan Doha, menyebabkan rancangan wanita ini gagal. Penyebab utama semua ini ialah perangkap Lan Luofeng yang bijak, sebab itulah kebenciannya memuncak sebaik sahaja dia melihat Lan Luofeng. Ini menyebabkan dia bertindak ganas seperti anjing gila untuk melepaskan kemarahannya dan Lan Luofeng tidak terkejut dengan apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun, Lan Luofeng tidak kisah. Dia tidak pernah menginginkan kuasa dari awal lagi. Kalau bukan kerana dia ingin menunjukkan dunia luar pada bayinya, dia sudah cukup gembira tinggal di rumah tanpa memikirkan tentang dunia luar. Jadi, mengapa dia perlu ambil peduli jika orang lain memulaukannya dan menghinanya?

Tidak dapat dinafikan yang Lan Luofeng ialah seorang wanita yang bermaruah tinggi. Semasa Ling Xiao masih hidup, dia masih sanggup berusaha untuk bergaul dengan wanita-wanita bangsawan ini. Tetapi sekarang, dia tidak mahu melakukannya. Kematian Ling Xiao telah mematikan separuh jiwanya, manakala separuh lagi didedikasikan untuk membesarkan Ling Lan dan mempertahankan faedah ketenteraan premium yang diperolehi secara susah payah oleh Ling Xiao.

Lan Luofeng mengabaikan bisikan orang lain selepas kejadian tersebut dan masuk ke dalam salah satu bilik VIP yang kosong. Pada masa yang sama, seorang kakitangan perkhidmatan VIP memasuki bilik tersebut untuk berkhidmat padanya.

Ling Lan mengeluh. Sistem kelas yang tidak munasabah ini masih wujud 10000 tahun ke masa hadapan walaupun terdapat usaha untuk membuangnya. Nampaknya kesamaan hak di kalangan semua manusia benar-benar hanya wujud dalam teori.

avataravatar
Next chapter