4 Suara Keanak-anakan dalam Minda!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan bersungguh-sungguh melakukan latihan kali ini. Seluruh badannya berasa sangat selesa, seolah-olah dia sedang berendam dalam mata air panas, membuatnya tidak mahu mengakhiri sesi latihannya. Malangnya, terdapat suara makhluk yang tidak dikenali berdengung di sebelah telinganya tanpa henti, dan asyik mengganggunya. Dia tiba-tiba menyedari sesuatu yang dia tidak pernah faham sebelum ini, makna yang lebih mendalam di sebalik kata-kata Raja Kera, Sun Wukong dalam Hikayat Jelajah Ke Barat: "Seolah-olah seekor lalat mengelilingimu setiap hari ... maaf, bukan hanya seekor, tetapi beberapa ekor lalat mengelilingimu, berdengung...ia benar-benar membuat kamu ingin menjerit meminta bantuan!"

Sekarang, dia teringin melakukan tindakan yang sama seperti Sun Wukong, menangkap lalat tersebut, memicitnya sehingga perutnya pecah, dan menggunakan usus lalat itu sendiri untuk mencekiknya. Ha, sehingga seluruh lidahnya terjelir keluar! Kemudian Ling Lan akan membalikkan tangannya dan mencampakkan lalat tersebut ke atas lantai. Fuh! Seluruh dunia akan kembali aman.

Sudah tentu, dia hanya boleh membayangkannya kerana lalat tersebut sedang hidup dalam kepalanya, jadi tidak ada cara untuknya menuntut keadilan.

Akhirnya, Ling Lan tidak dapat bertahan lagi dan terpaksa menamatkan sesinya dan bangun. Dalam kemarahan, dia menjerit dalam hatinya, 'Jahanam! Siapa kamu ni?'

Seolah-olah takut dengan jeritan Ling Lan yang kuat, suara keanak-anakan tersebut memberikan jawapannya selepas mendiamkan diri untuk seketika. Dengan berhati-hati, suara tersebut berkata, 'Alat pembelajaran mecha nombor 444444444 dari Kerajaan Mekanikal di sistem bintang Mandora! Juga pendamping jangka panjang berkontrak kamu.'

Ling Lan terkejut. Adakah setiap kanak-kanak di dunia yang dia dijelmakan semula ini dilengkapi dengan alat pembelajaran seperti ini? Nampaknya teknologi dunia ini sangat mengagumkan. Dia tertanya-tanya jika terdapat perbezaan yang besar berbanding dengan dunia asalnya.

Seolah-olah dapat mendengar soalan Ling Lan, suara keanak-anakan tersebut berdengung dalam mindanya sekali lagi, dengan nada yang nyaring. 'Mana mungkin dunia ini mempunyai alat pembelajaran yang canggih seperti diri saya sendiri? Lagi satu, kamu mungkin terlupa, tetapi saya yang mengambil kamu kembali apabila diri rohani kamu hampir lesap selepas badan fizikal kamu mati.'

Ling Lan tiba-tiba teringat suara yang dia dengar selepas dia mati di masa silamnya. Ekspresi mukanya berubah serta merta, 'Apa yang telah berlaku?'

Suara keanak-anakan tersebut menjawab, 'Badan kamu sebelum ini tidak dapat menyokong kuasa spiritual kamu yang kuat, lalu kamu sering jatuh sakit. Nasib baik bagi kamu, lubang cecacing yang jarang muncul, terbuka ketika itu. Pada saat akhir, saya berjaya mengumpul tenaga rohani kamu yang hampir lesap dan mengambil peluang untuk menyerap sedikit tenaga lokal untuk membawa diri rohani kamu melalui lubang cecacing tersebut ke dunia yang maju ini, 10000 tahun ke masa hadapan.'

'Apa maksudnya?' Ling Lan sangat hairan, apakah kaitan perkara ini dengan nasibnya?

Suara keanak-anakan tersebut menarik nafas. 'Sekiranya kita kekal di dunia asal kamu, walaupun saya telah mengambil diri rohani kamu dan membiarkan kamu dilahirkan semula di sana, kamu masih akan mati juga akhirnya. Badan fizikal bayi di sana yang lemah tidak akan dapat menyokong diri rohani kamu yang terlalu kuat.'

Seolah-olah merasakan jawapannya tidak berapa jelas, suara keanak-anakan tersebut berkata lagi, 'Badan orang dewasa juga tidak akan berjaya. Hasilnya akan menjadi seperti replika badan kamu sebelum ini.'

Ling Lan menggigil. Dia tidak mahu merasai kesakitan itu sekali lagi. Semua organnya gagal berfungsi, kemudian sembuh tetapi gagal berfungsi semula.

Bimbang dengan kesihatannya, Ling Lan bertanya, 'Sekarang tidak perlu risau tentang itu lagi?'

Suara keanak-anakan tersebut kedengaran seperti bangga dengan dirinya sendiri sambil menjawab. 'Betul, 10000 tahun kemudian, kuasa spiritual telah berjaya ditemui dan diperkembangkan. Badan bayi di sini kuat walaupun masih di dalam rahim ibu, dan ada juga yang dapat menahan kuasa spiritual peringkat-3 atau peringkat-4 sejak lahir. Selagi kamu menjaga diri, kamu tidak akan mati.'

Ling Lan lega mendengar penjelasan suara tersebut. Dia teringin ada umur yang panjang.

Namun, suara keanak-anakan tersebut meneruskan penjelasannya dan membuatkan Ling Lan risau semula. 'Tetapi, saya masih perlu membantu kamu mengawal kuasa spiritual kamu, atau badan kamu ini juga tak akan dapat menanggungnya.'

'Kalau begitu, saya masih dalam bahaya?' Alat pembelajaran ini kedengaran begitu muda...bolehkah alat ini dipercayai? Ling Lan menjadi bimbang.

'Saya hanya boleh menjamin kamu dua tahun tanpa masalah. Jika kamu tidak bekerja keras untuk meningkatkan ketahanan badan kamu dalam tempoh masa ini ... kamu masih akan mati!' Suara keanak-anakan tersebut seperti menyindirnya, membuatkan Ling Lan merasa terancam dan marah pada masa yang sama. Memandangkan mereka telah melintasi masa dan ruang, tidak bolehkah alat ini memilih dunia yang lebih baik yang boleh menghapuskan masalah ini sepenuhnya?

Suara keanak-anakan tersebut terdengar luahan hati Ling Lan. 'Tiada siapa yang tahu di mana penghujung lubang cecacing. Saya sudah mengatakan yang kamu bernasib baik, kalau kita tiba di dunia yang lebih buruk daripada dunia kamu, kamu akan mati serta-merta.'

Ling Lan merasakan dirinya malu selepas mendengar kata-kata ini. Dia hidup hanya kerana bantuan alat pembelajaran ini dan dia tidak sepatutnya membalas kebaikan itu dengan rasa tidak bersyukur.

Tunggu sekejap. Ling Lan teringat yang walaupun dia lemah secara fizikal sebelum usia tiga tahun, sentiasa sakit dan terlantar di katil, tetapi badannya belum gagal berfungsi. Keadaan badannya hanya merosot dengan drastik selepas dia berusia tiga tahun. Mungkinkah...ekspresi wajah Ling Lan menjadi dingin. 'Ada lagi yang kamu belum beritahu saya?'

Suara keanak-anakan tersebut merasakan kebenaran yang ingin disembunyikan telah ditemui oleh hosnya, dan dengan demikian memutuskan untuk mengaku walaupun berasa berat hati. 'Saya juga tidak pasti ... Saya hanya tahu yang apabila saya buka mata, saya telah dikontrakkan pada kamu. Saya telah menguji kuasa spiritual kamu sebelum ini - di dunia kamu, kuasa spiritual kamu jauh lebih tinggi daripada orang biasa, di peringkat-2...mungkin itulah sebabnya saya ditugaskan pada kamu. Sudah tentu, kebangkitan saya menyebabkan kuasa spiritual kamu melonjak naik satu peringkat, dan badan-badan di dunia kamu sebelum ini tidak mampu tahan kuasa spiritual peringkat-3.'

Akhirnya Ling Lan telah menemui punca sebenar di sebalik kematiannya. Emosinya terganggu dan dia tidak tahu reaksi bagaimana hendak diberikan.

Suara keanak-anakan tersebut panik, sambil berkata dengan sedih, 'Saya tidak sengaja melakukannya. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kita disatukan. Saya sangkakan saya hanya boleh wujud di dalam sistem bintang Mandora.' Sehingga sekarang, ia masih tidak tahu bagaimana ia tiba-tiba berada di planet primitif itu.

Ling Lan merupakan seorang yang tidak suka dengan air mata. Dia tidak suka melihat sesiapa sahaja menangis, termasuk dirinya. Ini berpunca daripada penyakitnya - walaupun mereka cuba menyembunyikannya, ibu bapanya menangis hampir setiap hari, dia tahu, tetapi tidak ada cara untuk memujuk mereka, dan dia benci rasa lemah. Oleh itu, 'Dilarang menangis' menjadi salah satu prinsip kehidupan Ling Lan, dan dia membawa bersama prinsip tersebut ke dunia ini juga.

'Baiklah, berhenti, saya tidak menyalahkan kamu. Apa yang boleh saya katakan, ini semua nasib.' Ling Lan berputus asa, membuat keputusan untuk melupakan perkara yang sudah lepas. Walaupun alat pembelajaran mecha ini telah membebankan hidupnya sebelum ini, alat ini juga telah memberikannya kehidupan lain, dan tidak lagi berhutang pada Ling Lan.

Selain itu, ibu bapanya sebelum ini masih ada adik lelakinya untuk menjaga mereka apabila mereka mencapai usia tua. Tanpa beban untuk menjaga Ling Lan, kehidupan mereka pasti lebih mudah dan juga lebih bahagia. Memikirkan semua itu, Ling Lan memutuskan untuk melepaskan kisah silamnya.

Mungkin penderitaan yang dia alami dalam kehidupannya sebelum ini telah memberikannya kekuatan dalaman yang tiada tandingan. Dengan cepat sekali, Ling Lan memutuskan untuk meneruskan kehidupan, dan hatinya mula rasa lebih ringan.

Memandangkan keraguannya telah terjawab, dia mula teringat yang dia telah terjaga disebabkan alat pembelajaran ini. Apa yang ia inginkan? Sukar dipercayai yang mereka telah berbual selama hampir setengah hari tanpa menyentuh hal tersebut. Ling Lan resah. Mungkinkah konsentrasi dan proses pemikirannya telah menjadi lemah sejak dia menjadi bayi semula?

Mengetepikan masalah itu buat seketika, Ling Lan bertanya, 'Jadi, kenapa kamu kejutkan saya?'

avataravatar
Next chapter